Belilah Novel Aku!!!!

Friday, November 19, 2010

Aku, abah dan samping di Pagi Hari Raya Haji

Macam aku katakan dalam entri yang lepas, aku memang slow poke. Dah masuk Hari Raya Haji ke-3 (ada ke Hari Raya Haji ke-3?), baru aku nak buat entri tentang Hari Raya Haji.

Pagi Hari Raya Aidiladha, aku bangun awal. Pergi bilik air, Mandi Sunat Aidiladha. Sejuk. Normal lah air sejuk pagi-pagi buta. Kalau air panas macam Api Neraka, memang pelik lah.

Selesai mandi, aku mengenekan Baju Melayu. Baju Melayu yang sama masa Hari Raya Aidilfitri. Baju warna kuning.

Sampai masa aku kena pakai samping. Aku perlukan pertolongan untuk pakai samping. Aku cari abang aku. Tiada. Mungkin tengah lepak dekat ruang depan rumah dengan Pak Andak.

Aku pergi ke bilik mama dan abah aku. Mama tengah terbaring di atas katil. Minggu lepas, mama baru menjalani rawatan kimoterapi. Kesan keletihan masih ada pada mama.

Abah aku baru lepas pakai Baju Melayu. Belum pakai samping jugak macam aku.

"Abah, tolong Am pakai samping ni?" Ayat pertama aku lontarkan pada Abah aku pada pagi Raya Haji ialah ayat meminta tolong.

Abah tersenyum sinis sambil membalas, "Tu la. Kalau dah kawin kan senang. Ada orang nak tolong pakaikan samping."

Selepas aku selesai pakai samping, giliran Abah meminta tolong pada aku pula.

"Am, tolong abah pakaikan samping pulak."

Aku tersenyum sambil membalas, "Aik? Dah kawin pun, mintak orang lain pakaikan samping jugak?"

Mama aku ketawa. Abah aku tersenyum.

"Terkena jugak pagi-pagi Raya ni ye?", kata Abah.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...