Belilah Novel Aku!!!!

Monday, June 13, 2011

Childhood Memories: Sekolah, Duit Belanja & Waktu Rehat

Beberapa hari yang lepas, aku ada bermain Twitter Hashtag dengan kawan-kawan aku. Nama hashtags tersebut ialah #childhoodmemeories.

Banyak juga kenangan sewaktu zaman persekolah yang kami bualkan. Dan dari situlah timbulnya idea untuk aku menulis entri ini.

Hari ini, aku ingin berkongsi dengan kamu kisah sewaktu azaman persekolahan aku. Kisah duit belanja yang aku dapat sewaktu aku bersekolah.


Sekolah Rendah

Semasa aku bersekolah rendah, aku cuma mendapat RM0.40 untuk duit belanja aku semasa darjah 1 sehinggalah darjah 3. Semasa aku darjah 4, aku mula mendapat RM0.60.

Sikit sangatkah duit belanja aku? Mestilah sikit sebab mak aku sediakan bekal untuk aku makan semasa waktu rehat.

Menu biasa aku untuk bekal waktu rehat ialah mee goreng, nasi lemak, maggi masak dengan telur, kuew teaw dan lain-lain makanan ruji rakyat Malaysia.

Biasanya aku dan kawan-kawan aku makan ditempat port biasa kami, di tangga belakang dewan. Kami akan makan beramai-ramai, berkongsi dan merasa bekal makanan masing-masing.

Jadi, apa aku buat dengan duit belanja tersebut?

Biasanya aku belanjakan selepas waktu sekolah. Depan sekolah aku, ada satu kedai runcit style ala-ala kampung. Buat dari kayu. Kedai tersebut biasanya digelar Kedai Wak Sipon. Sudah pasti tuan punya kedai bernama Wak Sipon.

Benda wajib yang aku beli ialah jajan ataupun orang panggil kudapan atau dalam bahasa penjajahnya, junk food.

Jajan yang paling aku gemar ialah Meow-Meow. Meow-Meow ini ada 2 jenis, satu yang bentuk maruku. Satu lagi yang bentuk bantal. Aku biasa panggil 'Bantal Peluk Saloma'. Aku biasa beli yang bentuk 'Bantal Peluk Saloma'. Tak mahal mana pun Meow-Meow ini. Cuma 10 sen satu paket.

Benda lain yang aku beli dekat kedai Wak Sipon ialah Tikam. Tahu tak Tikam? Bukan tikam bunuh orang tu. Bukan jugak kuih Lompat Tikam. Tikam ini sebenarnya ialah lebih kurang judi secara kecil-kecilan.

Tikam biasanya dijual dalam paket kecil warna hitam. Dalam paket tersebut biasanya ada sikit keropok dan satu kertas yang mempunyai nombor. Bila kita dapat kertasa bernombor tersebut, kita tengoklah samada nombor tersebut kena atau tidak dengan nombor yang dah ditetapkan oleh tuan kedai tersebut.

Biasanya, hadiah Tikam ini bukannya grand sangat. Setakat pensil warna, colouring book, patung mainan yang harga dalam RM3 saja. Tapi pernah juga aku dapat patung robot Flashman yang besar. Kira itulah hadiah paling grand pernah aku dapat dalam karier main Tikam aku selama ini.

Tapi adik-adik ingat ya. Tikam tu haram. Sama haram macam Meatball dekat Ikea tu. Eh? Dah halal ya meatball tu?

Selain dari Kedai Wak Sipon, aku kadang-kadang ada juga membeli benda lain. Salah satunya ialah mee sipot. Aku dah tak ingat siapa yang jual mee sipot ini, tapi rasanya boleh tahan. Sambal mee sipot itu memang pedas (mungkin pedas kerana aku masih kecil ketika itu) tapi pedas yang sedaplah.

Satu lagi ialah goreng pisang di tempat aku mengaji. Yang menjual goreng pisang tersebut ialah anak kepada tok guru aku mengaji. Jadi dengan 40 sen, aku masih boleh dapat beli goreng pisang dalam jumlah yang banyak.


Sekolah Agama

Kalau pagi sudah pergi sekolah kebangsaan, petang pergi sekolah agama pulak lah. Sekolah agama biasanya bermula pada pukul 2 petang. Biasanya aku sudah sempat lunch di rumah. Tapi itu tak bermakna aku tak perlu makan di sekolah agama.

Waktu rehat sekolah agama biasanya bermula dalam pukul 4:30 petang. Rehat tersebut sebenarnya menyuruh murid-murid pergi Sembahyang Asar. Tapi biasalah, selepas sembahyang mesti ada yang mengular ke kantin.

Apa yang ada dijual di kantin sekolah agama? Macam-macam ada. Dari jajan yang tak berkhasiat, sehinggalah kuih-muih tempatan dan juga mee goreng.

Benda yang aku selalu beli ialah mee goreng. Kenapa? Sebab mee tersebut murah dan sedap.

Dengan hanya 20 sen aku dah boleh dapat sepinggan mee. Murah bukan? Itu zaman 90'an, 20 sen pun boleh dapat mee sepinggan. Sekarang? Aku pun tak tahu berapa ketul gula-gula boleh kita dapat dengan 20 sen.

Dengan 20 sen, aku sudah boleh dapat sepinggan mee yang banyak juga. Kadang-kadang aku beli 30 sen kalau terasa lapar sangat. Aku ingat lagi kawan aku pernah beli mee goreng tersebut dengan 50 sen. Punyalah banyak mee goreng mak cik tu bagi, sampai kena bungkus bawak balik. True story.


Sekolah Menengah

Masuk Sekolah menengah, aku sduah tak bawa bekal lagi ke sekolah lagi. Aku kini bergantung 100% daripada makanan kantin.

Walaupun aku bergantung kepada makanan kantin 100%, tidak lah pula aku gemuk seperti apa yang dikatakan oleh orang-orang atasan yang menyatakan makanan di kantin menggemukkan sehingga cuba mengharamkan beberpa menu di kantin sekolah.

Semasa aku berada di tingkatan 1 dan 2, aku mendapat duit belanja sebanyak RM 2. Agak mewah ketika itu. Menu utama aku ialah mee goreng double. Mee goreng double bermaksud mee goreng 2 pinggan.

Mee goreng yang dijual di kantin sekolah menengah aku berharga 50 sen. Tapi bila usia semakin remaja dan selera makan juga sudah sama seperti selera makan seekor dubuk liar, maka aku perlu makan 2 pinggan. Bukan banyak mana pun mee goreng 50 sen tu.

Mee goreng double campur dengan telur, kalau tak salah aku semuanya berharga RM 1.30. Air tak mahal mana pun. 10 sen segelas air. Standard air ceduk.

Apa yang menambahkan selera ialah kantin tersebut menyediakan kuah kari cair dan sambal secara percuma. Mee goreng bercampur kuah kari cair dan sambil, memang satu menu yang membuatkan selera makan terbuka. Punyalah sedap. Bak kata pepatah, bakal mak mertua lalu pun tak perasan. Eh? Itu pepatah ke?

Bila masuk tingkatan 3, duit belanja aku naik menjadi RM 4 sebab aku tak balik rumah selepas habis sekolah. Ada kelas tambahan ataupun tuition. Jadi RM 2 tambahan itu adalah duit untuk makan tengahari aku. Dekat mana aku makan? Sudah semestinya aku makan di kantin sahaja.

Bila masuk tingkatan 5, aku mula dapat duit belanja RM 5. Juga atas sebab aku tak balik untuk makan tengahari. Kenapa duit belanja aku naik RM 1, aku juga tidak berapa pasti. Mungkin kerana selera makan aku yang sudah semakin naik.

Kadang-kadang aku akan makan di gerai makan di Tasik Y, sebuah taman rekreasi yang terletak tidak jauh dari sekolah menengah aku. Tapi tak selalu aku ke sana disebabkan harga makanan di gerai mestilah lebih mahal dari harga makanan di kantin.

===========

Begitulah lebih kurang kisah silam aku tentang waktu rehat, duit belanja dan makanan yang selalu aku makan semasa waktu persekolahan. Bila fikir-fkirkan balik, rindu juga nak pergi ke kantin sekolah aku dan makan apa yang ada di situ. Sudah beberapa kali aku dan kawan aku merancang untuk ke kantin sekolah tapi tak menjadi.

Jadi bagaimana dengan kamu pula? Apa yang kamu makan? Berapa banyak duit belanja yang kamu dapat? Apa bekal yang sering kamu bawa ke sekolah?

11 comments:

Diya said...

Kuatnya ingatan Amie! Sampai boleh ingat berapa posen mak amie bagi duit belanja sekolah + nama2 junk food yang amie suka. Diya terbayang halaman sekolah je ni, haha

Amirul (aremierulez) said...

Diya:
Kalau benda-benda tak berfaedah ni, memang senang nak ingat. Hahaha...

Hujan Malam said...

oh..terimbau kenangan dulu..rindu..

Joey said...

wah..napa aku lebih kurang ko ni...


cuma pagi duit belanja mak bagi...tp petang lagi mau paw bapaku semata-mata nak main counter strike...wakakakaka

Amirul (aremierulez) said...

Hujan Malam:
Haha.. Tu la. Nanti nak tulis pasal pengalaman tengok wayang pulak

Joey:
Nasib baik aku tak jadi penagih game macam kau.
Kalau tidak ,emsti skrip yang sama untuk aku juga.
hahaha...

Joey said...

hahaha...skrg xler..

aku dah insaf...lol

Amirul (aremierulez) said...

Joey:
Dah insaf atau dah install dalam komputer sendiri sekarang? Senang nak main. LOL!

Joey said...

hahaha...aku dah tak main counter strike.. very budak skolah gamaknya...

skrg cuma main Plants vs Zombie kat ofis...itu pun aku dah abis....alahai

Amirul (aremierulez) said...

Joey:
Apa lagi, Angry Bird lah pulak :)

pjah said...

kenangan beb..
aku mase darjah 1 sampai darjah 3..bapak aku bagi 30posen + bekal.
darjah 4 till 6 up sikit..jd 50posen
form 1 singgit ..pastu aku kena dok ostel..dah xde duit saku..
mgu2 bapak aku bg 10inggit..form4..aku dah blah dr ostel kes berbulu sangat dgn warden..so duk umah balik..bapak aku support balik..sari 2inggit..
ok la tu..gpon aku dok kg..xperlu duit blanje banyak2..

sekiat citer dr aku..=p

Amirul (aremierulez) said...

Pjah:
Kau patut buat entri macam ni jugak. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...