Belilah Novel Aku!!!!

Friday, October 28, 2011

Dulu & Sekarang: Harga Makanan

"Masa zaman abah sekolah dulu, kalau bawak 20 sen pergi sekolah, tu memang dah cukup kaya dah." Ayat abah aku yang aku paling ingat kalau nak dikaitkan dengan kisah harga makanan zaman dulu-dulu.

"Zaman abah dulu, kalau rehat abah selalu beli mee kat kantin tu. Ala, jenis mee goreng ceduk (mee lambak) tu. Harga sepinggan 5 sen je. Tapi 5 sen zaman dulu lain. Banyak betul. Makan mee 5 sen tu boleh kenyang sampai petang." Sambung ayah aku.

Memang boleh dikira banyak tu kalau boleh kenyang sampai petang. 5 sen pulak harganya.

Masa zaman aku sekolah dulu, mee goreng ceduk atau mee goreng lambak paling murah aku pernah beli dekat kantin sekolah berharga 20 sen. Yes! 20 sen sahaja. Masa tu aku beli dekat kantin sekolah agama aku, Sekolah Agama Penggaram.

Mesti kamu fikir, "Kalau setakat mee 20 sen, mesti sikit kan?" Kamu salah! Walaupun cuma harga 20 sen, tapi mak cik kantin tu letak banyak juga. Sambal mak cik kantin buat boleh tahan juga. 

Bagi aku, mee goreng ceduk yang aku beli dekat kantin sekolah agama tersebut adalah makanan paling murah tapi mengenyangkan yang pernah aku beli seumur hidup aku.

Masuk sekolah menengah, boleh dikatakan kantin sekolah menjadi tempat untuk aku mengenyangkan perut dan melayan nafsu makan aku.

Mee goreng ceduk atau mee goreng lambak dekat sekolah menengah mahal sikit. Ala, mahal 30 sen saja. Sepinggan dapat RM 50 sen. Walaupun harganya mahal dari harga mee sekolah agama yang aku beli, tapi jumlah kuantiti mee sama banyak.

Oleh kerana usia aku meningkat naik, ini juga bermakna selera aku juga sama naik dengan umur aku. Biasanya aku akan makan 2 pinggan mee goreng tersebut. Campur pulak dengan telur goreng. Telur goreng masa tu cuma 30 sen saja. Jadi, jumlah makan rehat aku RM 1.30 sehari dan ianya sangat mengenyangkan.

Tapi kalau aku bezakan dengan perbelanjaan abah aku, memang jauh berbeza. Abah aku cuma perlu keluarkan 5 sen untuk menikmati kekenyangan tahap maksimum sewaktu waktu rehat. Aku pula kena keluar sampai RM 1 untuk merasa nikmat kenyang yang sama.

Macam mana pula dengan budak sekolah zaman sekarang?

Dari survey yang aku lakukan terhadap 4-5 orang budak sekolah dari sekolah yang berlainan dan juga dari negeri yang berlainan, aku dapat jawapan yang sama sahaja dari mereka.

Kata mereka, harga mee goreng ceduk sekarang biasanya RM 1 sepinggan. 

"Banyak tak isinya?" Tanya aku. Jawapan yang aku terima, "Boleh la..", "Tak cukup. Sikit betul pak cik kantin tu letak", "Bagi saya perempuan, memang cukuplah. Tapi kawan lelaki saya biasanya tak cukup makan mee goreng tu."

Kawan lelaki konon. Kata saja lah boyfriend kau. Macamlah aku tak tahu budak zaman sekarang lagi advance bercinta monyet dari zaman aku.

Eh? Jauh pula terpesong.

Kesimpulannya, memang tak banyaklah. Masa zaman aku, aku boleh dapat 2 pinggan mee dengan harga RM1. Zaman sekarang, budak-budak merungut kata tak cukup.

Dan menurut survey aku, kalau tambah telur, harga akan jadi RM 1.50. 

Memang mahal. Memang tak peliklah budak zaman sekarang bawa duit belanja sampai RM 5-6 ringgit sehari. Itu duit belanja untuk sekolah kebangsaan saja, tak campur duit belanja sekolah agama pula.

Itu kira mee goreng ceduk atau mee goreng lambak, macam mana pula mee goreng yang betul-betul di goreng dekat kedai tu?

Yang aku ingat, harga mee goreng dekat kedai zaman aku sekolah rendah dulu biasanya RM 2 sepinggan. Yes! RM 2 sudah boleh dapat mee goreng yang digoreng di kedai.

Zaman sekarang? Harga mee goreng paling murah aku pernah dapat biasanya RM 4.50. Paling mahal? RM 6 sepinggan. Dan harga ini bukanlah harga mee goreng di kopitiam atau di restoran yang standard, tapi kedai makan biasa saja.

Dan harga yang aku nyatakan di atas biasanya tidak disediakan dengan telur goreng. Cuma mee goreng biasa sahaja.

Itu belum kira makanan lain pula. Kamu pernah makan Kit-Kat Chunky? Ala, Kit-Kat bar besar tu.

Masa pertama kali Kit-Kat Chunky ini diperkenalkan pada tahun 2000 (Kenapa aku boleh ingat bila Kit-Kat Chunky dikeluarkan? Semuanya kerana peristiwa Aku & Amoi satu ketika dulu), saiz Kit-Kat Chunky ini memang besar betul. Sekali makan, memang kenyang gila. Harganya pun cuma RM 2 satu bar.

Sekarang? Sedih aku tengok saiz Kit-Kat Chunky sekarang ini. Kecik betul. Harganya pula? RM 3.90. Harga makin mahal, saiz pula makin kecik.

Rasanya kalau nak bercerita tentang perubahan harga makanan dulu dan sekarang, sebulan cerita pun tak habis lagi. Itu belum aku sentuh harga makanan di KFC dan McDonald. 

Tapi kesimpulannya, harga makanan memang akan sentiasa meningkat dari masa ke semasa tapi saiz hidangan makanan tidak pasti akan kekal atau makin mengecil.

Aku tak terkejut kalau satu hari nanti aku terpaksa membayar harga mee goreng yang aku order di kedai makan dengan not RM10 sekeping tanpa duit baki.

Aku juga tak terkejut kalau satu hari nanti mak dan ayah masing-masing terpaksa bagi RM 15 untuk duit belanja anak-anak mereka ke sekolah.

Tapi sebelum saat itu tiba, aku harap tangga gaji pekerja di Malaysia juga meningkat. Kalau gaji aku masih macam sekarang tapi terpaksa membayar harga nasi lemak sebungkus RM 10, maka aku bakal makan pasirlah tiap-tiap bulan.

Dan ini juga bermakna memang susahlah aku merasa Prosperity Burger tiap-tiap tahun kalau harga makanan akan naik macam ini. Oh, ini memang mimpi ngeri!! Mimpi ngeri!!!!!

Wednesday, October 26, 2011

Lagu Yang Menampilkan Featuring Artist, Tapi Featuring Artist Tersebut Macam Tak Berguna Dalam Lagu Tersebut

Amboi! Kemain panjang lagi tajuk entri kali ini. Aku dah cuba sedaya upaya untuk memendekkan tajuk entri ini, tapi nampaknya tak berjaya.

Trend featuring artist ni memang sudah satu kebiasaan dalam lagu sekarang, terutamanya dalam lagu bergenre Hip-Hop. Ada 3 sebab kenapa seseorang artis menggunakan khidmat featuring artis dalam lagu mereka:

1. Artis tersebut ialah artis baru dan menggunakan artis popular sebagai featuring artist untuk menggunakan populariti artis tersebut sebagai batu loncatan.

2. Mencari sesuatu kelainan dalam lagu.

3. Artis Hip-Hop biasanya tak boleh menyanyi, mereka hanya pandai rapping. Tak percaya, cuba suruh Joe Flizzow, Malique dan Altimet menyanyi. Jadi bahagian chorus memerlukan seorang featuring artist untuk menyanyikan bahagian tersebut.

Tapi kadang-kadang, ada juga featuring artist yang bagaikan tak berguna dalam sesebuah lagu. Aku sendiri pun kadang-kadang tak faham kenapa dijemput artis tersebut sedangkan artis tersebut macam tidak wujud dalam lagu tersebut.

Banyak cerita pun tak guna, mari kita lihat beberapa lagu yang menampilkan featuring artist, tapi featuring artist tersebut macam tak berguna dalam lagu tersebut.


Bryan Adams - When You're Gone ft. Melanie C


Bryan Adams adalah salah seorang penyanyi yang boleh dikatakan kegemaran aku juga. Beliau berasal dari Kanada dan menyanyikan lagu yang bergenre slow rock. Melaine C (Mel C) pula ialah salah seorang anggota Girls Band UK yang terkenal satu masa dahulu, Spice Girls. 

Lagu ini released pada 30 November 1998. Oh, dah lama! Masa ini aku dalam tingkatan 2. Sangat mengimbau memori.

Mel C merupakan salah seorang anggota Spice Girls yang boleh menyanyikan lagu secara live dengan baik tapi aku tak faham kenapa Bryan Adams langsung tak memberikan satu rangkap untuk Mel C menyanyikan lagu secara solo.

Mel C bagaikan bertindak sebagai penyanyi latar dalam lagu ini. Dia hanya mengikut Bryan Adams menyanyi dari awal sehingga akhir. Mungkin lagu ini akan lebih menarik jika Mel C diberikan peluang menyanyikan bahagian solo.

Apa pun, lagu ini tetap menarik. Aku merindui saat Spice Girls sangat hot ketika dulu. Eh? Lain pulak perginya.


Ricky Martin - Private Emotion ft. Meja


Satu masa dahulu, Ricky Martin adalah penyanyi bermuka jambu yang menjadi pujaan semua gadis sunti, anak dara, anak yang dah hilang dara, emak orang dan juga nenek orang.

Tapi segalanya berubah apabila Ricky Martin membuat pengakuan ikhlas dari hati yang dia merupakan seorang gay. Maka dalam sekelip mata, semua tak mengaku yang dia pernah menjadi peminat Ricky Martin.

Lagu ini release pada 8 Februari 2000, menampilkan seorang penyanyi dari Sweden bernama Meja (cara sebutan nama ialah May-Ya. Bukan Meja yang buat tempat letak barang tu).

Sehingga kini, lagu ini kekal sebagai lagu balada terbaik buat Ricky Martin (menurut peminat beliau lah). Tetapi sama seperti Mel C dalam lagu Bryan Adams, nasib Meja juga adalah serupa. 

Meja hanya bagaikan penyanyi latar dalam lagu ini. Meja tidak diberikan sebarang bahagian untuk dia menyanyikan lagu secara solo.

Jika kamu tertanya-tanya siapakan Meja, Meja pernah popular dengan lagu di bawah:


Jika kamu tak pernah dengar lagu ini, ternyatalah kamu adalah generasi yang lahir pada tahun 1990'an.

Oh, ya. Besar betul mulut Meja ni kan?


will.i.am - Heartbreaker ft. Cheryl Cole


Siapa tak kenal will.i.am? will.i.am adalah salah seorang ahli kumpulan Black Eyed Peas (BEP). Tanpa beliau, bagaikan hilang punca. Beliau merupakan jurutera disebalik kejayaan BEP.

Namun, karier solonya tidak menyerlah. Sebaliknya, Fergie mengecapi karier solo yang lebih baik dari will.i.am dan ahli-ahli BEP yang lain.

Untuk memastikan lagunya berjaya, will.i.am telah menjemput Cheryl Cole. Siapa Cheryl Cole ni? Cheryl merupakan salah seorang anggota girls band UK, Girls Aloud. Bagi peminat bola sepak, mereka mengenali Cheryl sebagai janda kepada Ashley Cole.

Walaupun menjemput Cheryl Cole yang hot, tapi will.i.am tidak menggunakan Cheryl dengan betul. Rasanya kedudukan Cheryl lebih teruk seperti Mel C ataupun Meja. Sekurang-kurangnya, mereka berdua tu dapat juga jadi serupa penyanyi latar.

Cheryl pula... Aku pun tak pasti bahagian mana yang dia menyanyi sebenarnya. Nak kata dia menyanyi bahagian khorus... Tak juga. 

Aku juga tak pasti apa tugas Cheryl Cole dalam lagu ini. Mungkin tugas utama beliau ialah berkelakuan seksi dalam video klip ini, mungkin.


Boys Like Girls - Two Is Better Than One


Apa yang ada perlu buat apabila salah seorang penyanyi yang sedang popular setuju untuk menjadi featuring artist untuk lagu anda?

Bagi dia 2-3 baris lirik untuk dinyanyikan dan selebihnya suruh dia jadi macam penyanyi latar sahaja. Dan kemudian, tak payah jemput dia masuk dalam video klip lagu. Cukuplah ada suaranya sahaja.

Itulah yang dilakukan oleh kumpulan Boys Like Girls kepada Taylor Swift. Bagi aku, Boys Like Girls telah membazirkan peluang yang mereka dapat. Kalau bagi Taylor Swift sikit sahaja bahagian untuk dia menyanyi, sekurang-kurangnya bagilah dia keluar untuk video klip. Tapi....

Inilah definasi tak menggunakan featuring artist dengan baik yang sebenarnya. Boys Like Girls, you are a failure!

==================

OK. Korang tahu mana-mana lagi lagu yang tak menggunakan featuring artist dengan sebaik-baiknya? Sila kongsi di ruangan komen.

Friday, October 21, 2011

1980 Mundialito

Nota pengarang:
Oleh kerana aku baru pulih dari demam panas selama 3 hari, aku masih belum ada mood untuk menulis. Jadi aku hidangkan satu lagi entri yang pernah aku tulis di blog Atas Padang satu masa dahulu.

===============

Apa itu 1980 Mundialito?



Ramai yang kurang tahu kewujudan pertandingan ini. 

1980 Mundialito atau dikenali sebagai Copa de Oro de Campeones Mundiales ("World Champions' Gold Cup") ialah pertandingan bola sepak yang diadakan pada tahun 1980 di Montevideo, Uruguay dari 30 Disember 1980 sehingga 10 Januari 1981, untuk meraikan ulangtahun ke-50 tahun World Cup semenjak ia pertama kali diadakan di Uruguay pada tahun 1930. Semua perlawanan diadakan di Stadium Estadio Centenario, Montevideo, yang dibina pada 21 Julai 1929.

Pasukan Yang Bertanding

Uruguay
- Tuan rumah 1930 dan johan pada 1930 dan 1950

Brazil
- Johan pada tahun 1958, 1962 dan 1970.

Jerman Barat
- Johan 1954 dan 1974

Itali
- johan 1934 dan 1938

Argentina
- Johan 1978

Belanda
- Naib johan 1974 dan 1978 (menggantikan England, johan  1966)

6 negara dipecahkan kepada dua kumpulan dengan setiap kumpulan mempunyai 3 negara. Juara tiap-tiap kumpulan akan bertanding di perlawanan akhir.


Kumpulan A


Uruguay 2-0 Belanda
Uruguay: Venancio Ramos & Waldemar Victorino

Uruguay 2-0 Itali
Uruguay: Julio Morales & Waldemar Victorino

Itali 1-1 Belanda
Itali: Carlo Ancelotti
Belanda: Jan Peters



Kumpulan B


Argentina 2-1 Jerman Barat
Argentina: Manfred Kaltz (o.g) & Ramon Diaz
Jerman Barat: Horst Hrubesch

Barzil 1-1 Argentina
Brazil: Edevaldo de Freitas
Argentina: Diego Maradonna

Brazil 4-1 Jerman Barat
Brazil: Junior, Toninho Cerezo, Serginho & Ze Sergio
Jerman Barat: Klaus Allofs


FINAL

Uruguay 2-1 Brazil

Uruguay: Jorge Walter Barrios & Waldemar Victorino
Brazil: Socrates


Trivia
- Penjaring terbanyak ialah Waldemar Victorino dengan 3 gol. Waldemar Victorino menjaringkan gol dalam setiap perlawanan
- Uruguay menewaskan Brazil dengan gol di lewat perlawan, sama seperti perlawanan penentuan di Piala Dunia 1950.
- Jurulatih Uruguay ketika pertandingan ini, Roque Maspoli, menjadi penjaga gol Uruguay semasa perlawanan menetang Brazil pada tahun 1950.

Kapten Uruguay, Rodolfo Rodriguez, menjulang Piala 1980 Mundialito

Wednesday, October 19, 2011

Yo! Yo! Yo!

Sebenarnya, ada sesuatu yang aku ingin tuliskan di sini. Tapi oleh kerana aku dalam keadaan tak sihat, demam panas, maka aku akan tuliskan lain kali.

Jadi aku kongsikan sahaja video di bawah ini.


Aku tak pasti samada kamu pernah lihat video ini, ataupun kamu peminat atau haters Taylor Swift, tapi video ini memang kelakar.

Liriknya memang kelakar. Seorang yang cuba berlagak gangster, tapi tidak pergi clubbing, tinggal dengan parents dan hanya membakar cookies di rumah.

Bila difikirkan balik, lirik ini macam mengejek sesetengah rappers yang selalu berlagak gangster tapi sebenarnya tak gangster mana pun. Poseur saja lebih. Adakah lirik ini merupakan satu sindiran kepada mereka?

Dan endingnya memang tak boleh blah. Sebagai pembawa imej goodie good girl, mencarut di public atau lagu memang perkara yang Taylor Swift. Marah betul dia apabila dia kena bleep tanpa tahu apa sebabnya.

Taylor: I didn't even swear

T-Pain: She didn't even swear 

Taylor: Hello? Urgh!

Sebenarnya Swift banyak buat Spoof, parody & video lawak di dalam Youtube. Kalau kamu rajin, kamu boleh cari sendiri. Aku lebih sukakan Taylor Swift yang kelakar di Youtube berbanding Taylor Swift di alam realiti.

Ok. Aku nak berehat. Jumpa lain kali.

Monday, October 17, 2011

Bakat & Rupa

The talented, Adibah Noor

Semalam TV3 melancarkan satu lagi program realiti TV yang berorientasikan pertandingan nyanyian, Vokal Bukan Sekadar Rupa.

Kenapa aku kata ini realiti TV? Kerana rancangan ini ada juga macam ala-ala Diari Akademi Fantasia, menayangkan aktiviti luar para peserta. Maknyanya, para peserta akan dinilai oleh peminat bukan sahaja dari bakatnya, tapi juga kelakuan peserta di luar pertandingan tersebut.

OK. Bukan itu yang aku nak ceritakan hari ini. Aku nak bercerita tentang hubung kait rupadan bakat.

Vokal Bukan Sekadar Rupa mengetengahkan peserta yang tidak punya rupa (tak lawa, tak handsome, gemuk) tapi mempunyai tahap vokal yang hebat. Mungkin TV3 cuba memberi ruang buat orang yang sebegini untuk mendapat peluang yang mereka tidak dapat di pertandingan realiti yang lain.

Bagus objektif rancangan ini. Suci murni niatnya. Tapi persoalannya, bolehkah bakat berdiri dengan sendirinya tanpa bantuan paras rupa?

Mungkin ada akan yang mencela aku, "Apalah kau ni. Nak tengok artis yang cantik saja. Yang ada abakat tapi tak cantik, kau tak nak layan."

Tapi inilah realiti yang berlegar dalam Malaysia sekarang. Kalau kau ada bakat tapi tiada rupa, jangan mimpilah nak jadi artis yang terkenal.

Sebagai contoh, Adibah Noor. Bakat nyanyian Adibah Noor memang tak boleh nak disangkal. Suaranya memang lunak. Kau bagilah lagu yang tinggi nada & key-nya, selamba saja Adibah Noor boleh nyanyi. Bakat nyanyian Adibah Noor memang sangat hebat.

Tapi, adakah dia popular seperti penyanyi lain? Adakah Adibah Noor mempunyai peminat seramai peserta AF yang bakat nyanyian yang suam-suam kuku itu?

Mujur Adibah Noor pandai berlakon. Lakonan Adibah Noor juga hebat. Selamba, bersahaja dan menjiwai watak. Tapi pernahkah dia diberikan watak utama?

Kenapa? Kerana dia tidak mempunyai paras rupa yang cantik dan menawan.

Untuk berjaya dalam bidang seni, gabungan bakat dan rupa perlulah ada. Kalau berharap pada bakat sahaja, memang tidak jalan. 

Dan kalau kau jadi artis yang bergantung pada rupa sahaja dan bakat kau suam-suam kuku, ini memang jenis artis sampah namanya. Artis majalah nama lainnya.

Memang lumrah manusia mahu melihat sesuatu yang cantik. Mahukan rumah yang cantik. Mahukan kereta yang cantik. Mahukan suami atau isteri yang cantik (cantik dari pandnagan mata masing-masinglah).

Jadi memang lumrah manusia mahukan artis yang cantik, yang ada rupa. Kerana manusia memerlukan artis yang cantik untuk dijadikan idola mereka. 

Tak ramai artis yang tidak mempunyai rupa dan bergantung kepada bakat boleh berjaya. Rasanya artis yang muka pecah tapi boleh terkenal biasanya tergolong dalam golongan penyanyi rock yang bergerak secara berkumpulan. Itupun sekarang ini, kebanyakan band rock lebih berimej kemas dan segak berbanding mat rock zaman dulu,

Pada pendapat akulah, kalau betul manusia mengutamakan bakat dari rupa, aku rasa Adibah Noor kini sudah menjadi artis yang popular sebaris dengan Dato Siti Nurhaliza.

Jadi aku tak pasti samada peserta Vokal Bukan Sekadar Rupa boleh berjaya menjadi artis terkenal sebaris dengan artis lepasan rancangan realiti lain, ataupun berkubur begitu sahaja.

Dan aku juga tidak pasti apa sebab TV3 membuat rancangan Vokal Bukan Sekadar Rupa ini. Mahu melahirkan Adibah Noor Nombor 2 mungkin?

Kepada peserta Vokal Bukan Sekadar Rupa, good luck.

Friday, October 14, 2011

Masa Merubah Manusia

Nota:
Bagi sesiapa yang baru baca blog ini atau sudah lama menjadi pembaca tapi tak pernah buka laman ini, pasti kamu akan salah anggap dengan perkataan 'Cendol'.

Cendol yang aku maksudkan ialah nama nickname kawan aku, bukannya minuman yang hidangan yang dibuat dari air batu yang diparut dan diletakkan dengan santan dan Gula Melaka itu.

Jadi jangan salah sangka aku berkawan dengan semangkuk Cendol pula.

============

Lebih kurang 4 tahun lepas, semasa aku masih belajar di UiTM Segamat dan menetap di 32 Jementah, aku, Cendol dan Baox (cara sebutan, Baok) sedang berbual-bual tentang muzik.

Kebanyakan penduduk 32 Jementah mempunyai citarasa muzik yang sama. Kebanyakan ya? Bukan semua. Kami meminati muzik metal, rock atau apa-apa muzik yang keras dan tidak radio friendly. Kami dibesarkan dengan muzik dari era scene Underground yang sangat cool.

Baox adalah raja metal di 32 Jementah. Dia dengar segala band metal yang ada di serata dunia ini. Kadang-kadang, ada band metal yang aku tak pernah dengar pun, tapi dia dengar. Dengan kata lain, Baox memang Metal tegar.

Aku dan Cendol pun tak lah tegar Metal sangat. Kami ada juga mendengar band-band yang berbunyi pop dan lembut seperti Flop Poppy dan lain-lain lagi. Tapi Baox memang tegar habis. Baox memang agak sukar menerima band yang sedikit lembut muziknya berbanding aku dan Cendol.

Bukan setakat raja metal. Baox juga raja komputer dan raja download-mendownload di 32 Jementah. Semua ilmu mendownload yang ak udan ahli 32 Jementah ada sekaran gadalah hasil tunjuk ajar beliau.

OK. Kembali ke situasi tadi. Aku, Cendol dan Baox sedang berbual-bual tentang muzik.

"Satu hari nanti, aku kana berhenti jugak dengar lagu-lagu metal ni." Kata Baox. A very strong statement.

"Ya lah. Tak kan nak Metal sampa itua kot." Sambung Baox lagi.

"Aku pulak, akan terus kekal dengar muzik metal & rock. Tak semestinya bila kita dah makin tua, tak boleh nak dengar lagu Metal kot." Sambung Cendol pula.

Tak lama selepas sessi perbualan hati ke hati mengenai muzik ini, Baox mula menunjukkan perubahan dari segi citarasa muzik.

Dia mula layan lagu Diddy, Last Night. Aku pun layan juga lagu itu tapi taklah sampai hafal lirik lagu tersebut macam Baox.

Perubahan Baox semakin ketara. Tak lama kemudian, Baox mula mendengar lagu-lagu lama Kanye West. Sedaya upaya juga Baox cuba memujuk aku mendengar lagu Kanye West, Touch The Sky. Tapi aku tak layan sebab aku memang tak berapa gemar dengan Kanye West.

Dan makin lama, semakin hip-hop Baox jadinya. Lagu-lagu dalam pendrive yang diletakkan dalam radio di keretanya semakin dipenuhi dengan lagu-lagu bergenre hip-hop.

Masa merubah manusia. Citarasa Baox kepada muzik juga berubah dalam tempoh 2 tahun di 32 Jementah. Aku sudah lama tak berjumpa dengan Baox. Aku juga tidak pasti sekarang lagu apa pula yang dia layan. Selena Gomez mungkin?

Bagaimana pula dengan Cendol?

Sampai habis tempoh kami tinggal di 32 Jementah, Cendol masih mengekalkan citarasa muzik beliau. Masih kekal dengan muzik metalnya. Masih kekal dengan janggut panjang ala-ala vokalis band metal nya.

Tapi aku mula sedar perubahan Cendol bila aku naik keretanya. Di dalam stereo keretanya, ada CD yang di burn oleh Cendol yang dipenuhi dengan lagu Lady Gaga.

Kemudian bila aku telefon hand phone Cendol, lagu Katy Perry, Teenage Dream, menjadi caller ringtone Cendol.

Dan tak lama kemudian, Cendol membuat statement yang dia rasa lagu LMFAO, Party Rock Anthem, agak catchy.

Dan baru-baru ini, dia sudah angau dengan lagu Move Like Jagger.

Masa merubah manusia. Dan manusia merubah Cendol.

Aku tak terkejut kalau satu hari nanti Cendol menjadi peminat Jason Derullo ataupun Justin Bieber. Ataupun tiba-tiba menjadi peminat tegar K-Pop.

Ya! Aku tak terkejut, Cendol. Aku tak terkejut.

Masa memang mampu merubah manusia dengan drastik.

Wednesday, October 12, 2011

Manusia dan Pilihan

"Kau dah ada awek tak?" Tanya kawan aku.

"Belum. Aku belum jumpa dengan 'The One' lagi." Jawab aku ringkas.

"Kau ni memilih sangat. Sebab tu kau tak de awek lagi. Cuba jangan memilih. Mesti kau dah ada awek dah sekarang ni."

Memilih. Memilih merupakan suatu perbuatan yang perlu dilakukan oleh seorang manusia bila dia mempunyai lebih dari satu pilihan.

Sebenarnya, ayat "Kau ni memilih sangat" adalah satu ayat yang aku selalu dengar bila aku kata "Aku belum ada awek lagi".

Jadi aku ingin bertanya, salahkah aku memilih?

Sebagai manusia, kehidupan kita sering dikelilingi oleh pilihan. Setiap pergerakan hidup kita, kita perlu melakukan pilihan.

Bila kita ingin keluar untuk pergi bekerja, kita akan membuat pilihan baju apa yang kita nak pakai ke tempat kerja.

Setiap kali kita ingin melangkah meninggalkan rumah, kita akan membuat pilihan untuk menggunakan kaki kanan atau kaki kiri untuk memulakan langkah.

Bila kita melangkah masuk ke tandasa awam, kita akan membuat pilihan untuk memilih tandas mana yang kita mahu gunakan.

Kalau kita ingin membeli baju, kita akan pilih baju yang sesuai dengan kita. Kita akan pilih jenamanya. Kita akan pilih coraknya. Kita akan pilih warnya. Kita akan pilih saiz nya. Dalam modus operandi untuk membeli baju pun, dah banyak pilihan yang perlu kita lakukan.

Jadi tak salah rasanya kalau kita ingin memilih untuk memilih bakal jodoh kita. Lagipun kita nak pilih bakal teman hidup kita, kenalah memilih.

Kita nak memilih teman hidup yang kita bakal jalani kehidupan bersama sampai ke akhir hayat. Jadi tak salah kalau kita sedikit memilih. Ini bukan macam beli baju bundle, nampak lawa sikit, nampak ok, terus sambar.

Kita kena tahu yang orang yang kita pilih itu bakal menjadi emak kepada anak-anak kita (bagi lelaki) & bakal menjadi pembimbingan keluarga dan anak-anak mereka (bagi perempuan).

Jadi, memilih dalam hal jodoh ini bukanlah hal besar sangat. Ini perkara biasa kerana teman yang kita pilih ini bakal menjadi peneman hidup kita sepanjang hayat. Tempat kita bergantung harap. Kenalah pilih yang betul-betul serasi dan boleh diharap.

Tapi janganlah memilih sangat sampai benda yang tak relevan pun menjadi penilaian. Contohnya:

"Aku tak nak la pompuan tu. Dia penyokong Chelesea. Aku fan MU. Mana boleh!"

"Aku terpaksa reject balak aku tu. Dia penyokong PR. Aku penyokong BN."


"Tak nak la aku pompuan tu. Aku ni peminat Rock. Dia boleh pulak minat Justin Bieber & K-Pop. Tak boleh! Tak serasi."


"Awek aku tu pendek sangat la. Aku ni keturunan orang yang badan tinggi. Aku nak mintak clash la."

Ini bukan memilih. Ini bodoh tahap lembu namanya.

Jadi bagi aku, memilih itu tak salah. Cuba janganlah sampai hal yang terlampau kecil macam di atas ini pun nak diambil kira.

Dalam kes aku memilih. Aku sebenarnya sudah ada seorang perempuan yang aku target. Tapi masalahnya, bila aku cuba berkenalan dengan dia, hati kecil aku berbisik, "Relax lah dulu. Apa barang nak couple sekarang. Enjoy single life kau dulu."

Jadi, pilihan yang bermain dalam hati aku sekarang ialah samada mahu bercouple sekarang, atau teruskan single life aku untuk beberapa tahun lagi. Mencari 'The One" kadangkala menjadi alasan untuk aku melepaskan diri dari soalan "Bila kau nak kahwin?" sebenarnya.

OK. Ini memang bukan satu option yang baik untuk dijadikan pilihan. Macam mana ini?

Monday, October 10, 2011

Manusia dan Kehendak

"Aku ingat nak tukar handphone baru lah." Kata aku ketika aku melepak dengan salah seorang rakan sekerja.

Sekarang aku menggunakan Nokia 6680. Aku beli handphone ini tahun 2006. Dah 5 tahun aku guna handpone ini. Kiranya handphone paling lama aku guna dalam sejarah hidup aku.

Masa aku beli handphone ni, handphone ini kira handphone Nokia yang paling cangih pada masa itu. Handphone Nokia pertama yang ada function 3G. Tapi aku beli bukan sebab handphone tu ada fuction 3G pun. Sebab aku memang nak sangat handphone baru masa tu sebab handphone aku masa tu, Nokia 3650 (atau juga dikenali sebagai Nokia Batu Nisan) sudah berada dalam keadaan wajib masuk muzium.

"Kau tak payahlah nak beli handphone yang canggih-canggih sangat. Cukuplah beli handphone yang boleh buat kau call & SMS orang je. tak payah la nak ikut beli iPhone la.. Blackberry la.. HTC la...Nokia E Seriesla... Membazir je semua tu." Tiba-tiba rakan sekerja aku memberikan ceramah percuma kepada aku.

Tapi bila difikirkan, betul juga. Handphone asalnya dicipta oleh Martin Cooper untuk memudahkan manusia berhubung sesama sendiri tanpa perlu bergantung kepada telefon rumah semata-mata. Supaya berhubung melalui SMS jika kredit kamu kurang dari RM1.

Akhirnya para pembikin handphone menemui cara untuk mengeksploitasi para pengguna. Mereka melengkapkan setiap handphone dengan kamera. Maka setiap pengguna yang ingin membeli handphone akan melihat kualiti kamera yang ada di handphone. Lagi besar pixel kamera, lagi menarik perhatian pengguna untuk membelinya.

Dan kemudian datang kegilaan internet. Setiap handphone kini disediakan dengan kemudahan internet. Boleh berFacebook, boleh berTwitter, boleh berFoursquare, boleh berAngry Bird, boleh berFruit Slice dan macam-macam ber lagilah.

Sama seperti kereta. Ketika Karl Benz dan Gottlieb Daimler mencipta kereta, ia bertujuan untuk memudahkah manusia bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Tapi akhirnya para pengilang kereta moden menemui cara untuk mengeksploitasi kehendak manusia ke atas kereta mereka.

Dan akhirnya, kereta menjadi medium buat para kapitalis pengilang kereta moden untuk mengaut untung dari orang ramai. Malah, kereta akhirnya menjadi medium pengukur kelas manusia. Makin mahal kereta yang dimiliki, makin tinggilah kelas mereka di dalam komuniti masyarakat.

Setiap produk yang dihasilkan oleh syarikat ini akan melalui proses R&D, research & development. Mereka mengkaji kehendak manusia. Mereka melakukan survey kepada pengguna dan bertanyakan apa yang pengguna mahukan dalam produk mereka.

Jadi, adakah betul untuk kita menyalahkan syarikat-syarikat kapitalis besar ini mengekspoitasikan kehendak mereka, menghasilkan produk berdasarkan kehendak mereka dan menjula dengan harga yang mahal? Bukan itukah kehendak manusia yang sebenar?

Tiba-tiba telefon rakan sekerja aku berbunyi. Dia pun menjawab panggilan tersebut. Dan aku pun melihat model handphone yang digunakan oleh rakan sekerja ku.

iPhone! Dia pakai iPhone! Celaka! Pandai nasihatkan aku. Belakang dia pakai handphone mahal juga. Inilah namanya manusia yang cakap tak serupa bikin.

Wednesday, October 5, 2011

Bola Sepak dan Perpecahan Negara: Croatia

Sebelum kamu baca entri ni, baik kamu baca dulu entri tentang Yugoslavia ni dalam entri yang terdahulu. Siapa yang sudah baca, boleh terus baca entri ini.

Dah baca? Ok, boleh start baca.




Kalau kamu baca dalam entri Yugoslavia tu, aku ada menulis yang Croatia mula merdeka pada 8 Oktober 1991 dan mendaftarkan persatuan bola sepak mereka pada tahun 1993.

Sebenarnya, sebelum mereka bermain untuk Croatia pada tahun 90-an, Croatia sudah pun mempunyai pasukan bola sepak sendiri sekitar 1900-an.

Pada tahun 1907, Pasukan kebangsaan Croatia (walaupun masih di dalam jajahan Yugoslavia) telah ditubuhkan untuk menentang pasukan kelab yang berasal dalam wilayah Croatia. Pada 1918-1919, Croatia juga ada bermain dalam perlawanan persahabatan secara tidak rasmi sebelum senyap untuk seketika dan wujud kembali pada sekitar pada tahun 1940-an.

Pada 1939, Croatia mendapat kebebasan untuk menubuhkan negara sendiri (walaupun masih dibawah jajahan Yugoslavia). Maka, dari tahun 1939-1941, mereka menamakan negara mereka sebagai Banovina of Croatia.

Sepanjang 2 tahun itu, mereka menubuhkan pasukan bola sepak mereka dan bermain untuk 4 perlawanan persahabatan, tetapi kesemua perlawanan tersebut tidak diiktiraf oleh FIFA.

Senarai 4 perlawanan yang tidak diiktiraf oleh FIFA

Pasukan pertama Croatia

Pada 1941, wilayah Croatia telah jatuh ke tangan Nazi dan Croatia telah menjadi puppet state untuk Nazi. Croatia telah menukar nama negara mereka kepada Independent State of Croatia.

Sepanjang berada dalam jajahan Nazi (Jerman), Croatia telah bermain untuk 15 perlawanan persahabatan. Berbeza dengan semasa bermain untuk Banovina of Croatia, pasukan kebangsaan kali ini diiktiraf oleh FIFA dan semua pemain yang pernah bermain untuk Croatia dalam Independent State of Croatia telah mendapat caps mewakili Croatia.

15 perlawanan yang diiktiraf oleh FIFA walaupun belum
menjadi negara yang merdeka ketika itu

Pada tahun 1945, Independent State of Croatia telah kembali jatuh ke dalam jajahan Yugoslavia dan sekali lagi pemain Croatia terpaksa bermain untuk pasukan kebangsaan Yugoslavia dari tahun 1945 sehingga 1990. Tapi dalam tempoh tersebut, pasukan Croatia ada juga bermain untuk perlawanan bola sepak secara tidak rasmi, sama seperti apa yang dilakukan oleh Kosovo, Catalan dan Basque.

Sekita 1950-1956, pasukan Croatia ini aktif sebagai pasukan tidak rasmi dan bermain beberapa perlawanan persahabatan menentang Indonesia dan pasukan Yugoslavia sendiri yang pada masa itu menggunakan nama "Serbia".

Sebelum mendapat kemerdekaan pada 8 Oktober 1991, Croatia sudah pun mewujudkan pasukan  kebangsaan mereka (tindakan ini seperti satu tanda protes untuk memintak kemerdekaan dari Yugoslavia) kerana kebanyakan penduduk etnik Croatia tidak mahu lagi bermain untuk Yugoslavia dan Croatia ketika itu sedang kuat meminta kemerdekaan dari Yugoslavia.

Pada masa itu, Pasukan Kebangsaan Amerika sedang membuat tour untuk beberapa perlawanan di Eropah. Jutawan Croatia, Jure Klaric, telah membayar pasukan Amerika $90,000 supaya Amerika setuju untuk bermain dengan Croatia di Zagreb.

Perlawanan persahabatan antara Croatia menentang Amerika telah berlangsung 17 Oktober 1990. Ironinya, perlawanan tersebut diadakan pada hari yang sama dengan perlawanan akhir 1990 European Under-21 iaitu Yugoslavia menentang USSR (Russia).

Pasukan Yugoslavia under-21 ketika itu juga diwakili oleh beberapa pemain muda berbangsa Croatia iaitu Zvonimir Boban, Davor Suker, Robert Jarni, Igor Stimac, Alen Boksic dan Robert Prosinecki. Kalau kamu ada mengikuti World Cup 1998, mesti kamu perasan nama-nama tersebut mewakili Croatia pada pertandingan tersebut.

Semua pemain di atas akhirnya meninggalkan pasukan Yugoslavia Under-21 dan bermain untuk Croatia. Perlawanan diadakan di Stadium Maksimir (stadium rasmi Croatia sehingga ke hari ini). Seramai 30,000 orang datang menonton perlawanan tersebut dan Croatia menang 2-1. Yugoslavia Under 21 pula kalah ditangan USSR.

Perlawanan ini juga menjadi debut buat jersi kotak-kotak Croatia yang dicipta oleh Miroslav Sutej, orang yang sama mencipta bendera Croatia dan duit kertas rasmi Croatia, Croatia Kuna.

Selepas Croatia merdeka, mereka pun mendaftarkan Persatuan Bola Sepak Croatia pada tahun 1993 dan menewaskan Switzerland dalam perlawanan kompetitif mereka semasa kelayakan EURO 1996.

The rest is history. Rasanya tak payahlah aku nak bercerita tentang Pasukan Croatia selepas mereka merdeka. Kamu mesti tahu yang mereka membuat penampilan cemerlang di EURO 1996 yang berlangsung di England dan mendapat tempat ketiga pada World Cup 1998 dengan Davor Suker menjadi penjaring terbanyak pertandingan.

Pasukan Croatia world Cup 1998.
Sepatutnya Alen Boksic yang bergandingan dengan Suker
tetapi Boksic injured ketika ini.

Sepanjang Pasukan Kebangsaan Croatia ditububuhkan, Croatia hanya terlepas sekali pertandingan EURO (2000) dan sekali pertandingan World Cup (2010).

P/S: Entri ini pernah aku terbitkan dalam salah sebuah blog aku yang kini sudah berkubur, Atas Padang. Entri ini telah diubahsuai sedikit sebelum aku publishkan di blog ini.

Tuesday, October 4, 2011

Raja Yang Handsome

Minggu lepas, aku, rakan sekerja aku yang bernama Amir dan manager bahagian food court kami, Azhar, bertemu dengan bakal client kami.

Bakal client kami ialah sepasang suami isteri yang berasal dari Iran. Mereka pernah menetap dan bekerja di Jerman sebelum memilih Malaysia sebagai tempat tinggal mereka. Menurut mereka, anak-anak mereka juga gemar tinggal di Malaysia.

Kedatangan mereka ialah untuk berbincang mengenai keinginan mereka yang ingin menyewa juice bar yang berada di situ.

"This is my husband. His name is Meghdrad." Kata si isteri.

"And my name is Anna. Annahita. Annahita means the angel of water." Sambung si isteri itu lagi.

"Angel of water? That's why you wanna open the juice bar?" Gurau manager kami, Azhar. Kami tergelak.

"My name is Azhar. Azhar means...." Manager aku cuba mencari maksud namanya.

"Flower!" Sahut aku.

"Yes! Flower!"


"And your name is Amir, right?" Kata Anna kepada Amir.

Amir mengangguk tanda mengiakan soalan Anna.

"Amir means, king. So, you are the king." 

Amir tersenyum mendengar penjelasan Anna.

"And you. You are Amirul, right?"

Aku angguk. Layankan saja orang-orang Iran ni.

"Amirul means King of.... I Don't remember. It's king of something. But I don't remember it. Do you remember it, dear?" Tanya Anna kepada suaminya setelah gagal mentaksir maksud nama aku.

"I also dont remember it, dear.." Balas suaminya yang menghampakan si isteri.Mukanya hampa sama seperti seorang isteri yang sudah bersedia dengaa lingerie, tetapi ditolak oleh suaminya kerana mengantuk.

"How can I don't remember what your name. Amirul means.... hhmm..." Anna belum berputus asa.

"The handsome king!" Sampuk aku.

OK. Aku tipu. Aku hanya sebut dalam hati sahaja. Kenapa? Kerana ada dua perkara yang bakal terjadi jika aku menyebut ayat di atas.

Yang pertama, ia bakal menjadi sangat kelakar dan membuat semuanya ketawa dan mungkin berguling sehingga tidak ingat dunia.

Yang kedua, ia mungkin boleh menjadi lawak yang sangat hambar. Dan kebiasaanya, lawak hambar akan menjadi modal untuk kawan sepejabat mengutuk aku sampai aku berhenti dari syarikat itu. Malahan, apa pula reaksi pasangan dari Iran itu?

Jadi, baik aku tidak mengeleluarkan ayat tersebut sebelum ia menjadi sejarah legenda untuk menganjing aku jika lawak itu tak menjadi.

Tapi aku amat yakin maksud Amirul adalah raja yang handsome. Tak percaya? Jelaous la tu!!!!

Monday, October 3, 2011

Cerita Dari Sudut Lain #4: Kelab Jiwa Luka

Nota: 
Cerita Dari Sudut Lain bukanlah entri bersiri. Tetapi hanyalah entri yang merupakan himpunan cerita pendek yang aku tulis. Ia hanyalah rekaan semata-mata, tiada kena mengena dengan yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia.

============



Lokasi: Kuala Lumpur
Tempat: Sebuah bilik yang penuh dengan kerusi khas untuk perjumpaan atau mesyuarat
Waktu: Petang Ahad

Khalid:
Apa khabar semua? Saya Khalid. Pengerusi untuk perjumpaan pertama Kelab Jiwa Luka.


Semua:
Hai Khalid!


Khalid:
Nampaknya kita berjaya mengumpulkan 4 orang sahaja untuk hari ini. Tak apa. Saya yakin jumlah ahli yang akan menyertai kelab ini akan bertambah dari masa ke semasa.

Baiklah. Saya yakin kamu dah berkenalan antara satu sama lain. Tapi saya yakin kamu cuma kenal nama kamu sahaja, tapi tidak mengenali masalah yang dihadapi antara kamu.

Saya nak kamu seorang demi seorang bangun dan perkenalkan diri kamu dan cerita latar belakang kamu serna sedikit dan terangkan kenapa kamu boleh berada di sini.


Taufiq:
Hai, semua! Saya Taufiq. Saya berumur 27 tahun. Saya seorang eksekutif di sebuah syarikat swasta.


Semua:
Hai, Taufiq!


Taufiq:
Saya sebenarnya baru ditinggalkan oleh tunang saya semasa hari pernikahan kami. Semasa kami nak bernikah, saya dapat tahu dia sudah melarikan diri dengan lelaki lain. Dah 3 bulan berlalu, tapi sampai sekarang tak tahu khabar berita dia.


Semua diam sambil menggelengkan kepala. Sedih dan terharu mendengar luahan Taufiq.


Khalid:
Baiklah. Bersabar ya, Taufiq? Kita di sini untuk membantu kamu untuk menghadapi detik-detik ini dengan lebih kuat dan bersemangat. OK. Seterusnya, sila perkenalkan diri?


James:
Hai. Saya James Wong. Saya berumur 30 tahun.


Semua:
Hai, James!


James:
Saya baru mendirikan rumah tangga setahun yang lepas. Saya dah mengenali isteri saya semenjak saya dan isteri saya berkenalan semenjak kami berjumpa pertama kali sebagai pekerja yang baru masuk kerja di syarikat yang sama, 6 tahun lepas.

Pada 2 bulan pertama perkahwinan kami, semuanya OK. Entah kenapa, kemudian semuanya berubah. Dia dah mula menghindari saya. Saya dan dia bagaikan dua orang asing yang tinggal sebumbung. Saya tak tahu kenapa.

Rupanya, ex-boyfriend dia dah datang balik selepas 2 bulan kami berkahwin. Ex-boyfriend dia sedang menggoda dan meracuni fikiran dia supaya meminta penceraian. Tolonglah! Saya sayangkan isteri saya tu.


Khalid:
Sabar, James. Kita bersama akan membantu James menyelesaikan masalah James ni. Ok, seterusnya?


Sabri:
Saya Sabri. Umur saya 35 tahun.


Semua:
Hai, Sabri!


Sabri:
Saya sudah 8 tahun berkahwin dengan isteri saya. Kami dikurniakan 2 orang anak perempuan. seorang berumur 7 tahun, seorang lagi 4 tahun.

Rumah tangga kami tak pernah mengalami sebarang masalah, sehinggalah 3 minggu lepas. Semasa ulang tahun perkahwinan kami, saya membawa dia pergi makan malam di sebuah restoran eksklusif.

Semasa makan malam tersebut, tiba-tiba doia meluahkan perasaan hatinya. Dia kata, "Saya dah tak sayangkan abang lagi. Sudah ada lelaki lain yang mencuri hati saya."

Terdiam saya masa tu. Saya rasa macam nyawa saya dicabut. Jiwa saya bagaikan mati. Sedih saya dengar luahan hati isteri saya tu.

Tolonglah saya pujuk isteri saya. Bukan untuk saya saja, tapi untuk anak-anak saya juga.


Khalid:
Tenang, Encik Sabri. Saya faham perasaan hati Encik Sabri. Bersabar. Kami akan membantu untuk membantu encik menyelesaikan masalah encik. Ok, next?


Shafiq:
Hai. Saya Shafiq. Saya berumur 24 tahun.


Semua:
Hai, Syafiq.


Syafiq:
Sebenarnya... Hhhmm...


Khalid:
Jangan segan-segan. Ceritakan masalah anda.


Syafiq:
Sebenarnya, saya ada 3 orang awek sekarang ni. Saya tak tahu nak pilih yang mana satu. Boleh tak encik-encik semua tolong saya pilihkan mana satu yang terbaik?


Syafiq pun dibelasah oleh semua ahli perjumpaan tersebut dan telah diharamkan untuk menyertai perhimpunan tersebut.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...