Belilah Novel Aku!!!!

Wednesday, February 29, 2012

WOTS TOP TEN LIST: 10 Tanda Yang Anda Taksub Dengan Bola Sepak

Sudah pasti ada dikalangan pembaca atau kawan pembaca atau ahli keluarga pembaca merupakan peminat bola sepak.

Tetapi, apakah status mereka? Sekadar peminat biasa? Peminat die hard? Peminat yang terlampau taksub? Peminat ikut-ikutan?

Kali ini, aku nak menyingkap perangai peminat bola sepak yang sudah sedikit taksub

WOTS TOP TEN LIST: 10 Tanda Yang Anda Taksub Dengan Bola Sepak


10. Menonton highlight dan perlawanan bola sepak berulang kali

Walaupun kamu sudah berulang kali menonton perlawanan tersebut, tapi kamu tetap menonton dengan penuh khusyuk dan bersorak bagaikan kamu tak pernah melihat langsung perlawanan tersebut sebelum ini.

Dan isteri anda pasti geram sebab kamu selalu memarahi beliau selalu menonton rancangan Gelanggang Raja Lawak berulang-ulang kali.


9. Pergi ke stadium untuk menonton pasukan kegemaran kamu beraksi

Tidak kira pasukan kamu bermain di stadium sendiri, atau di stadium lawan, kamu tidak ketinggalan untuk turut dan menyaksikan pasukan kegemaran kamu beraksi.

Kamu menyertai ultras (persatuan penyokong pasukan kegemaran anda) dan anda sanggup mengecat muka kamu sehinggakan anak kamu sendiri segan nak mengaku itu kamu.

Kamu datang awal ke stadium, 2-3 jam lebih awal untuk mengambil feel dan mood perlawanan walaupun kamu selalu lewat ketika datang ke pejabat.


8. Mempunyai jersi pasukan kegemaran anda dengan lengkap

Anda mempunyai koleksi lengkap jersi kelab kegemaran anda, tidak kira jersi home atau jersi away, jersi yang dipakai oleh outfield player ataupun yang dipakai oleh goal keeper, ataupun jersi yang paling terkini dan jersi yang sudah masuk taraf oldskool.

Semua jersi adalah original, tiada yang berjenama dari Uptown Danau Kota, untuk menunjukkan kamu sangat sayangkan kelab kesayangan kamu.


7. Menonton semua filem yang ada kaitan dengan bola sepak

Bend It Like Beckham, Goal,Goal II: Living the Dream, Goal III: Taking on the World, The Damned United, Escape to Victory, The Football Factory, The Game of Their Lives (dan banyak lagi) adalah antara filem kegemaran kamu.

Kamu sudah menontonnya berulangkali, sudah menghafal segala dialog yang akan dituturkan oleh pelakon dan kalau suruh kamu melakonkan semula, kamu boleh melakukannya dengan mudah.

Dan kalau anda merupakan peminat Liverpool, filem Will adalah filem yang wajib ditonton.


6. Bercakap ala-ala pundit

Bila kamu melepak ketika sedang minum petang dan kawan kamu bertanyakan pada kamu pendapat kamu tentang perlawanan semalam, kamu terus menukar tone suara kamu menjadi seperti tone Dato Rahim Razali ataupun Hasbullah Awang, dan memberikan ulasan perlawanan dengan gaya mereka mengulas perlawanan.

Itu kalau disuruh mengulas perlawanan Liga Super. kalau disuruh ulas perlawana English Premier League, terus kamu ubah tone menjadi tone suara Abass Saad.


5. Semua barangan di rumah anda mempunyai logo pasukan kegemaran anda

Cadar tilam, sarung bantal, selimut, langsir, alas meja, stokin, seluar dalam, boxer dan semua barang anda mempunyai logo pasukan kesayangan anda. Malahan, anda juga sanggup mengait sehelai baju untuk kucing anda, dan sudah pasti ada logo pasukan kegemaran kamu.


4. Menggunakan terma atau ayat dalam bola sepak dalam kehidupan anda

Bila kawan kamu buat silap, kamu terus kata "Kau ni dah patut dilayangkan kad kuning."

Bila kawan kamu parking kereta sampai terkeluar dari kotak garisan parking, kamu terus kata "Dah terkeluar garisan, throw-in."


3. Anda betting apa saja tentang bola sepak

Tak kiralah pertandingan bola sepak profesional antarabangsa sepeti English Premier League, La Liga, Serie A, atau pun pertandingan bola sepak tempatan seperti Liga Super dan Liga Premier, ataupun perlawanan antara Sekolah Kebangsaan Bandar lawan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Tamil) Seri Pelangi, kamu pasti akan betting dengan kawan-kawan anda atas semangat bola sepak.

Tapi tabiat ini lebih kepada tabiat seorang kaki judi.


2. Kamu menamakan anak kamu dengan nama pemain bola sepak kegemaran anda

Jika kamu meminati Steven Gerrard, kamu menamakan anak kamu dengan nama Amirul Gerrad.

Jika kamu meminati Wayne Rooney, kamu namakan anak anda kamu dengan nama Mohd Shah Runi.

Jika kamu meminati Yossi Benayoun, kamu namakan anak kamu dengan nama Shahrul Benayoun.

OK. Part Benayoun itu agak awkward.


1. Kamu meniru gaya pemain kegemaran kamu

Kamu berpakaian dengan gaya pemain bola sepak kegemaran kamu. Kamu bermain seperti pemain kegemaran kamu. Kamu tiru gaya dia lari membawa bola, gaya dia menedang bola, kamu tiru cara dia mengambil tendangan percuma dan kamu tiru gaya dia bercakap.

Dan bila ada kawan panggil nama kamu, "Rahim!", kamu buat tak tahu.

Tapi bila ada yang memanggil "Rahim Messi!", baru kamu berpaling dan menyapa kawan kamu itu.

P/S: Dapat juga aku publish entri pada 29 Februari. Pada empat tahun lepas, entri aku pada masa itu, Listen To The Rhythm Of The Falling Rain, agak bersifat sedih.

Monday, February 27, 2012

Jiwa Sejuk: Tips Untuk Mengurangkan Perbelanjaan Majlis Perkahwinan Supaya Anda Tidak Makan Pasir Bersama Isteri Selepas Tamat Majlis Perkahwinan

Ini adalah entri yang aku pernah publish pada tahun 2008, aku publish balik. Kira macam siaran ulangan yang selalu Astro buat. Astro yang selalu kamu bayar buat siaran ulangan pun kamu tak marah, tak kan blog yang kamu baca percuma ni kamu nak melenting pulak kan?

Jadi aku memperkenalkan segmen Jiwa Sejuk, di mana aku akan mem-publish-kan semula entri lama atas alasan: (1) Writer's block,  tiada bahan untuk ditaip (2) Entri ini ada kaitan dengan hari perayaan atau memperingati sesuatu kejadian (3) Ada idea tambahan yang timbul dan ingin aku selitkan kembali pada entri ini (4) Suka hati akulah nak publish balik entri lama, ini blog aku.

Tapi jangan risau, aku ubah sikit (atau banyak) entri ini berbanding yang lepas supaya orang yang pernah baca entri ini tidak rasa tertipu sangat dan lebih update dengan isu semasa.

============

Oleh kerana Malaysia baru sibuk dan hangat dengan majlis perkahwinan Lisa Surihani dan Yusry, serta tidak ketinggalan Ana Raffali dan Naim, eloklah aku kupas isu tentang majlis perkahwinan juga.

Semasa aku belajar di UiTM Segamat sekitar tahun 2008-2009, housemate aku, C-Sern, bercerita sakan tentang abangnya yang baru bertunang pada waktu itu..

Dia bercerita tentang cincin tunang abangnya yang berharga RM 1,200. Bagi aku, agak mahal juga harga cincin tersebut. Kemudian, C-Sern juga memberitahu yang duit hantaran untuk perkahwinan abangnya bernilai RM 15,000. Ok, itu betul-betul buat aku terkedu juga.

Dan pada bulan November yang lepas, ada sepupu aku yang mengadakan majlis perkahwinan. Dan mendengan jumlah kos majlis beliau, aku jadi seriau. Fuh! Rhyme pulak ayat aku ini. Boleh tulis sajak lepas ini.

Semakin hari, perbelanjaan kita semakin meningkat. Begitu juga dengan perbelanjaan kahwin. Sebagai seorang yang masih bujang dan akan melangsungkan perkahwinan bila jodoh sudah sampai (bila tu agaknya ya?), aku amat risau akan perkara ini kerana aku akan berkahwin suatu hari nanti.

Oleh itu, dengan sedaya upaya aku cuba memikirkan cara paling terbaik untuk mengurangkan perbelanjaan semasa majlis perkahwinan. Berikut adalah beberapa cara yang aku rasa agak terbaik dan boleh di ikuti:


1. Buat majlis perkahwinan pada bulan puasa.

Nah. Bila bulan puasa, semua orang tak boleh makan pada waktu siang hari. Jadi, buatlah di bulan puasa. Tetamu akan datang untuk memberikan salam kaut pada bapa pengantin, dan di bawa ke dalam untuk melihat pengantin bersanding, dan kemudian boleh berambus.

Belanja kahwin jimat, salam kaut pun dapat. Untung betul. Mengalahkan main MLM pula.

Juga dapat potong budget pasukan kompang kerana tak kan lah mereka ingin berkompang pada waktu panas terik kan?


2. Buat majlis perkahwinan tanpa menyediakan juadah makanan

Ok, mungkin jika dibuat bulan puasa adalah kurang baik kerana pengantin sudah "halal" dan takut-takut mereka bersetubuh pada waktu siang dan akan menyebabkan si suami terpaksa puasa 2 bulan untuk menggantikannya.

Jadi, tak usah sediakan lauk-pauk. Pengantin akan bersanding dan tetamu hanya datang tengok sahaja. Bila tetamu tanya kenapa tiada makanan, cakap sahaja lah begini, "Anggap sahaja macam window shopping. Pergi jalan-jalan di shopping complex tapi tak beli apa-apa."

Kalau nak bagi alasan yang lebih epic, katakan sahaja "Saya baru perasan syarikat katering yang saya tempah tu, tak de sijil halal."


3. Menyuruh tetamu membawa makanan sendiri

Yang ini lebih mudah. Pada kad jemputan, tulis dengan font yang besar ayat ini: "Makanan tidak di sediakan. Sila bawa juadah sendiri supaya nada tidak kelaparan.

Bukan sahaja dapat berjimat, malah tetamu juga puas hati kerana boleh makan makanan kegemaran mereka pada majlis perkahwinan anda. Salah seorang ousemate aku di rumah sewa di Taman Seri Pelangi, Hafiz Rosdi, yang tidak makan nasi pasti gembira kerana boleh bawa roti High 5 di kenduri kahwin anda nanti.

Kalau mereka merasakan leceh untuk membawa makanan sendiri, pastikan anda letak peta kedai makan berhampiran dengan rumah anda untuk memudahkan tetamu yang hadir.


4. Adakan majlis perkahwinan pada hari bekerja

Buat kenduri perkahwinan anda pada hari bekerja. Isnin hingga Jumaat. Lebih terbaik jika jangan terkena pada cuti sekolah. Jadi, agak sukar untuk mereka mahu ke kenduri tersebut.

Dan lebih-lebih terbaik lagi bila anda tetapkan waktu makan pada pukul 2:30 petang hingga 4:30 petang, semasa lepas lunch hour supaya mereka tidak boleh datang sekejap ke majlis anda.


5. Buat majlis perkahwinan di pasar malam

Tempatkan pelamin pada hujung di satu pasar malam. Tetamu terpaksa menempuh pasar malam untuk ke bahagian pelamin. On the way tu, pasti mereka akan beli makanan di pasar malam. Selesai satu masalah.

Tapi pastikan anda adakan majlis di pasar malam yang banyak kedai. kalau setakat pasar malam jenis ada 5-6 kedai sahaja, itu menyeksa jemputan namanya.

Kalau nak lebih epik, buat majlis berdekatan restoran McDonald atau KFC. Jemputan yang datang makan burger, baru rasa macam majlis kahwin urban.


6. Kahwin serentak dengan semua adik beradik

Jika kamu di lahirkan dalam keluarga yang besar, ia amat menguntungkan.

Pakat sahaja semua adik beradik kamu untuk kahwin serentak. Kos untuk perbelanjaan kenduri dapat di kurangkan. Bayangkan jika kamu ada 9 adik beradik. Kos untuk satu majlis perkahwinan berjaya di bahagikan kepada 9 bahagian.

Siapkan satu pelamin sahaja. Bergilir-gilir ketika ingin bersanding. Mahu lebih jimat? Mudah sahaja. Gunakan baju pengantin yang sama untuk setiap adik beradik. Selepas satu pasang pengantin bersanding, buka baju bersanding itu dan beri kepada adik yang mahu bersanding pula. Sila dapatkan baju pengantin free size untuk memudahkan proses.


7. Tumpang majlis perkahwinan orang lain

Adakan majlis perkahwinan di sebelah majlis perkahwinan orang lain. Bila tetamu anda datang dan ingin menjamu selera, suruh mereka ambil makanan di majlis bersebelahan.

Tapi pastikan majlis perkahwinan yang anda ingin tumpang itu majlis perkahwinan Melayu/Islam juga. Kalau tidak, mahu ada jemputan yang mabuk selepas yam seng.


8. Tempatkan lokasi majlis perkahwinan di tempat yang susah nak dikunjungi oleh tetamu

Jika kamu tinggal di Semenanjung Malaysia, kamu nyatakan lokasi majlis perkahwinan di Sabah/Sarawak. Dan juga sebaliknya bagi yang tinggal di Sabah/Sarawak.

Tapi, jika kamu rasa para tetamu masih boleh sampai ke destinasi yang dimaksudkan, nyatakan yang kamu langsungkan majlis perkahwinan di Fiji, Hawaii, Madagascar, Sempadan Gaza, Israel, Planet Nameck atau mana-mana negara yang kamu suka.


9. Beri peta palsu untuk lokasi majlis perkahwinan anda

Jangan bagi peta yang betul pada kad perkahwinan. Beri lokasi palsu. Jadi semua tetamu akan sesat. Jika tetamu telefon untuk bertanya, jangan angkat.

Pada hari esok, kamu memohon maaf kepada tetamu dan kata kedai kamu mencetak kad perkahwinan yang tersalah cetak peta, walhal kamu yang memang tak mahu buat majlis perkahwinan.

Jika mereka tanya kenapa tak angkat telefon, kata yang kamu konon-kononnya sibuk melayan tetamu.


10. Tulis kad kahwin menggunakan tissu

Aku tahu, sekarang ramai yang menjemput menggunakan aplikasi 'Event' di Facebook untuk menjemput kawan-kawan datang ke majlis perkahwinan.

Tapi tahukah anda, ada jenis pengguna yang jarang semak dekat bahagian 'Event' ini? (Termasuk aku). Jadi mungkin ada yang terlepas pandang dan tidak mengetahui majlis perkahwinan anda.

Mahu tak mahu, kena jugalah gunakan kad kahwin. Untuk menjimatkan perbelanjaan, tulis kad kahwin anda di atas tissu. Lebih murah pilihan tissu yang digunakan, semakin jimat kos yang anda perlu keluarkan.

Tapi ini memerlukan anda memerah tenaga untuk menulis di setiap tissu. Tapi apa ada hal kan? Janji dapat jimat perbelanjaan perkahiwnan anda.


11. Kahwin lari

Bukan susah sangat pun. Pergi sahaja ke Thailand untuk bernikah.

Majlis perkahwinan? Kau pernah dengar ke orang kahwin lari buat majlis kahwin? Kau tengok macam dalam Ombak Rindu tu. Ada ke si Aaron Aziz sama Maya Karin buat majlis perkahwinan? Happy ending juga akhirnya kan?


12. Gunakan Facebook dan Twitter

Apa guna anda bertenggek di depan laptop/komputer/smart phone/android/iPad/Galaxy Tab melayan Facebook dan Twitter sepanjanag hari kalau tidak menggunakan kelebihan perhubungan melalui teknologi ini?

Selepas nikah, hantar private message/direct message kepada kawan-kawan anda yang berada dalam list anda.

Majlis perkahwinan? Tak perlu. Mereka sibuk online, mana sempat nak ke majlis perkahwinan kamu.

Kalau mahu lebih padu, post kan gambar anda bernikah di 9Gag. Ya, ramai pengguna internet sekarang melawat 9Gag. Berkemungkinan besar gambar itu dijadikan meme internet adalah amat tinggi.


13. Tak payah kahwin

Susah sangat asyik nak fikir pasal budget kahwin, senang cerita kau tak payah kahwin. Tak perlu fikir pasal budget majlis perkahwinan. tapi tahap air liurlah bila tengok perempuan cantik di tengah jalan.

============

Itulah serba sedikit tips yang boleh diguna pakai ataupun langsung tak berguna yang aku cadangkan untuk berjimat cermat. Semoga kamu berbahagia sehingga ke akhir hayat.

P/S: Berapa ramai agaknya lelaki yang frust bila Lisa Surihani berkahwin dengan Yusry? Aku tahu sepupu aku, Ibal, adalah salah seorang daripadanya.


Entri Asal: Cara-cara Mengurangkan Perbelanjaan Majlis Perkahwinan

Friday, February 24, 2012

Movie Marathon & Bukan Movie Marathon: Man On A Ledge, Ghost Rider: Spirit of Vengeance & Safe House

Tak perlu aku nak membebel panjang-panjang. Straight to the point. Wwwwooohhooo!!


Man On A Ledge

Pada awalnya, filem ini tidak ada dalam senarai filem yang aku ingat tonton selepas aku baca review negatif yang diberikan oleh website Rotten Tomato. Tapi selepas mengenangkan filem Haywire yang diberikan ranking tinggi melangit oleh Rotten Tomato tapi akhirnya buat aku hampir tertidur di dalam wayang, aku tengok juga filem ini. Terima kasih juga kepada kawan aku, Rizuan, yang memberikan galakan untuk aku menonton filem ini.


Man On A Ledge mengisahkan seorang polis (bekas polis?) yang bernama Nick Cassidy (lakonan Sam Worthington) cuba membunuh diri kerana ingin membuktikan dirinya tidak bersalah kerana dituduh mencuri sebuah berlian dan menyebabkan beliau bakal disumbatkan ke dalam penjara selama 25 tahun.

Detektif Lydia Mercer (lakonan Elizabeth Banks) datang sebagai perunding untuk mengelakkan Nick dari membunuh diri. Rupanya Nick bukanlah mahu membunuh diri, tetapi dia hanya mahu mengambil perhatian orang awam dan polis supaya adiknya, Joey Cassidy (Jamie Bell) dan teman wanita adiknya, Angie (Génesis Rodríguez), dapat melakukan sesuatu yang dapat membuktikan yang Nick tidak bersalah.

Apa yang dilakukan oleh Joey dan Angie? Dapatkan Nick mengalihkan perhatian orang ramai sehingga mereka berjaya menjalankan rancangan mereka itu?


Apa yang aku suka:

1. Aku rasa jalan cerita filem ini agak unik. Lagi-lagi kalau penonton langsung tidak membaca review atau menonton trailer filem ini. Filem yang hanya bermula kerana seorang lelaki yang mahu membunuh diri bertukar menjadi satu rancangan rompakan yang sempurna.

2. Walaupun watak utama, Nick Cassidy, menghabiskan masa lebih 50% dari filem ini dengan berdiri di tepi bangunan, tetapi pengarah berjaya menyusun jalan cerita dengan cermat supaya penonton tidak bosan dan hilang minat dengan perkembangan watak sepanjang cerita berjalan.

3. Ada banyak elemen twist pada story line.

4. Angie (Génesis Rodríguez) memang hot!!!


Apa yang aku tak suka:

1. Ending sepeti agak tergesa-gesa. Lebih-lebih lagi scene dimana wartawan terus menyerbu dan bertanyakan soalan pada Nick walaupun pada masa itu keadaan masih kabur dan belum dapat kepastian yang Nick betul-betul tidak bersalah.


Bagi aku, Man on a Ledge berbaloi untuk ditonton. Ada aksi, ada jalan cerita yang menarik, ada sedikit komedi dan ada perempuan hot. Dan filem ini juga sebenarnya menyelitkan elemen kekeluargaan tanpa sedar kepada penonton.

Cepat ke wayang untuk menonton fielm ini. Filem ini sudah agak lama. Mungkin tayangannya pun sudah tidak banyak. Cepat tonton sebelum tayangan ditamatkan. Filem ini tidak akan keluar di Astro First.


Ghost Rider: Spirit of Vengeance

Filem ini juga sepatutnya tiada dalam senarai filem mesti tonton. Tapi oleh kerana kawan aku mengajak dan ingin membelanja aku, aku ikutkan sahaja.



Ghost Rider: Spirit of Vengeance merupakan sequel kepada Ghost Rider. Johnny Blaze (lakonan Nicholas Cage) yang menghilangkan diri (selepas insiden dalam filem pertama berakhir) sedang memencilkan diri di sebuah bangsal/bengkel yang jauh dari manusia kerana dia bimbang jika dia tidak mampu mengawal kuasa Ghost Rider dan mencederakan orang lain.

Johnny kemudiannya didatangi oleh Moreau (Idris Elba), yang meminta pertolongan beliau untuk melindungi seorang perempuan bernama Nadya (Violante Placido) dan anaknya Danny (Fergus Riordan) dari ancaman dari Ray Carrigan/Blackout (Johnny Whitworth) dan Roarke (Ciarán Hinds).


Apa yang aku suka:

1. Secara jujurnya, tiada satu pun yang aku suka dengan filem ini. Bagi aku, filem ini memang membosankan.


Apa yang aku tak suka:

1. Skrip yang ringkas dan boleh dijangka. Langsung tiada twist dalam story line. Jalan cerita yang straight to the point dan mudah untuk dijangka oleh oleh penonton.

2. Scene action dalam filem ini boleh tahanlah. Nak kata teruk, tidak juga. Cuma bila kita sudah pernah tengok scene action yang lebih power, scene action dalam filem ini jadi biasa-biasa sahaja.

3. Nicholas Cage. Ya. Aku rasa sudah sampai masanya Nicholas Cage berehat dari membawa watak adiwira. Dia sudah tua dan tidak sesuai untuk membawa watak sedemikian. Mungkin juga dia sudah hilang aura untuk menjadi seorang hero dalam filem?


Setakat ini, filem ini boleh dikategorikan sebagai filem terteruk pernah aku tngok dalam tahun ini (setakat inilah). Kalau anda betul-betul peminat tegar Ghost Rider, barulah anda pergi tengok. Kalau tidak, lupakan sahajalah.


Safe House

Sebelum aku berceritakan tentang filem Safe House, ada baiknya aku terangkan dulu apa itu Safe House. Secara ringkasnya, Safe house adalah sebuah rumah (menyerupai rumah biasa) yang selamat dan dijadikan tempat untuk menyembunyikan saksi, menjadi tempat persembunyian jika ada ejen yang diburu musuh dan tempat persinggahan sementara sebelum seseorang penjenayah ditangkap dan dihantar kembali ke ibu pejabat.

Safe House bagi sesetengah ejensi perisikan (FBI, CIA) berada di serata dunia (menurut ejensi tersebutlah).


Safe House mengisahkan seorang ejen CIA yang berpangkat rendah, Matt Weston (lakonan Ryan Reynolds), yang bertugas sebagai "housekeeper" yang menjaga salah sebuah safe house yang berada di bawah pengawasan CIA di Cape Town, Afrika Selatan.

Tobin Frost (Denzel Washington), seorang bekas ejen CIA yang dikehendaki kerana menjual maklumat negara kepada musuh, telah ditangkap dan ditempatkan di safe house yang dijaga oleh Matt. Safe House tersebut akhirnya telah diserang oleh pihak yang mahu menangkap Tobin hidup-hidup kerana Tobin mempunyai maklumat senarai pegawai-pegawai kerajaan di Amerika yang mengambil rasuah.

Dalam serangan itu, Matt berjaya melarikan diri bersama Tobin tetapi ejen-ejen CIA yang lain telah mati dibunuh oleh penyerang tersebut. Tobin kemudiannya cuba meracun pemikiran Matt dengan menyatakan ada orang dalam dari CIA yang mendalangi serangan ke atas Safe House tersebut kerana hanya ejen CIA sahaja mengetahui lokasi Safe House dengan tepat.

Adakah benar ada orang dalam dari CIA yang mendalangi serangan tersebut? Ataupun Tobin hanya cuba mengelirukan fikiran Matt untuk melepaskan diri? Dapatkah Matt menjaga dirinya dan juga Tobias?



Apa yang aku suka:

1. Jalan cerita yang agak baik. Punya sub plot lain yang mampu membuatkan penonton bosan jalan cerita filem ini.

2. Denzel Washington menghidupkan filem ini. Nuff said.

3. Jalan cerita yang mendedahkan pegawai korup dalam kerajaan. kalau dekat Malaysia buat macam ni, confirm masuk ISA lah


Apa yang aku tak suka:

1. Aku tak tahu kenapa tapi bila aku tengok, bayangan filem-filem franchise Bourne dalam filem ini. Copy & paste kah?

2. Jika Denzel Washington menghidupkan filem ini, Ryan Reynolds pula agak lost sebagai watak utama. Dia bagaikan kurang fokus dalam filem ini.


Bukanlah satu filem aksi yang terbaik tetapi sekurang-kurangnya ada juga babak yang boleh menimbulkan perasaan berdebar dan drama dalam filem ini. Berbaloi ditonton, lebih berbaloi ditonton dari Haywire

Wednesday, February 22, 2012

Jangan Bunyikan Hon Anda & Kesesakan Jalan Raya


Jangan bunyikan hon anda. Kelak anda bakal diculik oleh makhluk asing dan tersangkut dalam kesesakan di angkasa lepas pula.

============

Kesesakan jalan raya  atau lebih suka kita panggil dengan nama traffic jam memang tak pernah lekakng dengan Kuala Lumpur.

Dulu, kita boleh agak bila masa jalan akan sesak, bila jalan akan lengang. Tapi sekarang, jalan pasti akan dipenuhi dengan kereta sepanjang masa. Kuala Lumpur kini sudah sukar untuk diramal.

Alangkah seronoknya jika negara kita mempunyai sistem kenderaan awam yang baik seperti beberapa bandar di luar negara seperti London, Jerman, Hong Kong, Paris, Copenhagen dan lain-lain bendar yang sering mendapat kedudukan 10 teratas dalam senarai bandar yang mempunyai sistem pengangkutan awam yang terbaik.

Pergi kerja menaiki kenderaan awam. Banyak menjimatkan kos. Hanya bawa kereta jika perlu melakukan kerja luar atau outstation sahaja.

Kadang-kadang, jadi bingung juga aku dibuatnya. Pergi kerja, sangkut dalam jam. Balik kerja pun sama, sangkut juga dalam jam.

Masa yang dihabiskan di atas jalan kerana traffic jam boleh mencecah 2 jam. Kadang-kadang aku rasa macam mahu mintak balik masa 2 jam yang aku habiskan akibat tersangkut di dalam traffic jam itu. Tapi tiada pula kaunter penebus masa di supermarket yang berdekatan.

OK. Semoga aku tak diculik oleh makhluk asing ketika tersangkut dalam kesesakan jalan raya ketika pulang dari kerja nanti.

Monday, February 20, 2012

Cerita Dari Sudut Lain #5: Kerja Lebih Masa

Jam tepat menunjukkan pukul 5:30 petang.

"Balik!!!' Jerit hati Omar.

Omar mengemaskan meja kerjanya. Dia memasukkan beberapa barang keperluan di dalam begnya dan sedia untuk beredar balik.

Tiba-tiba, dia di tahan oleh bossnya, Khalid.

"Kamu dah nak balik ke Omar?" Tanya Khalid selepas melihat Omar mengemaskan barangnya.

"Tak lah. Saya nak berkhemah dekat sini. Boss buta ke? Tak nampak saya tengah pasang khemah ni?" Jawab Omar di dalam hatinya. Kalau jawab betul-betul macam ini, memang pastilah bossnya suruh Omar kemaskan mejanya terus dan dia tidak perlu menunjukkan mukanya di pejabat esok.

"Ya boss. Saya nak balik." Jawab Omar sopan.

"Kerja semua dah siap?" Tanya Khalid lagi.

"Dah, boss." Jawab Omar pendek.

"Saya tengok awak ni tepat je pukul 5:30, awak terus berkemas nak balik."

"Eemm... Kenapa boss? Salah ke balik pukul 5:30? Bukan ke office hour kita dari pukul 8:30 pagi sampai 5:30 petang je?" Tanya Omar yang mula rasa pelik dengan pertanyaan bossnya.

"Awak tahu tak saya balik pukul berapa?" Khalid menanyakan soalan, seolah pengacara Pop Kuiz menanyakan soalan kepada para perserta.

"Tak tahu, boss. Kan ke saya dah balik tepat pukul 5:30."

"Ha... Tau pun. Saya balik pukul 8:30 malam. Kamu tahu tak kenapa saya balik lambat?"

Omar menggeleng.

"Sebab saya stay back dan cuba memikirkan macam mana nak tingkatkan produktiviti dalam syarikat kita ni. Saya duduk dan terus buat kerja lagi. Saya komitet pada kerja saya, pada syarikat ini dan berkerja keras untuk dapatkan kedudukan saya sekarang. Awak kena fikir tentang syarikat ini. Kalau awak nak gaji besar, awak kenalah stay back. Buat kerja lagi."

"Tapi boss... Saya balik awal ni ada sebabnya."

"Hah! Apa sebabnya?"

"Saya ada anak dekat rumah. Saya balik awal sebab saya nak lah main dengan anak saya. Nak ambik tahu hal anak saya. Nak tahu perkembangan anak saya dekat sekolah. Nak berbual-bual dengan anak dan isteri saya. Saya nak lah luangkan masa dengan keluarga saya."

"Saya keluar kerja awal, boss. Pukul 6:00 saya dah keluar sebab nak mengelakkan jam. Kadang-kadang masa saya keluar, anak saya tengah tidur lagi. Tak kan masa saya balik nanti, saya nak tengok anak saya dah tidur jugak?"

"Lagipun boss, kerja ni sampai bila-bila pun tak kan habis. Kalau boss dah siapkan kerja hari ni, esok ada kerja lain pulak. Mana ada kerja yang akan habis macam tu je."

"Saya nak tanya sikit dengan boss, bila kali terakhir boss berbual dengan anak boss?"

Khalid terdiam. Tiada jawapan yang boleh dilontarkan pada saat itu.

"Baik boss mula fikir pasal anak-anak boss. Kerja-kerja jugak boss. Tapi jangan sampai hal anak-anak boss buat tak tahu. Nanti kita dah mati, doa anak-anak kitalah yang nak menolong kita dalam dalam tu.

"Ok lah boss, saya nak balik dulu. Anak saya dah tunggu dah ni. Bye boss."

Omar pun berlalu pergi. Meninggalkan bossnya, Khalid, yang mula berfikir tentang anak-anaknya yang sudah lama tidak bertegur sapa dengannya.

Friday, February 17, 2012

Cinta Post-It: Sebuah Kisah Percintaan Di Pejabat

Kisah percintaan di pejabat yang menggunakan alat kelengkapan di pejabat.


Lepas tengok video ini, pasti ada pembaca wanita yang berkata "Aaaawww... Cutenya... So romantik... Kan bagus kalau boyfriend I buat macma ni jugak."

Bitch, please... It's not gonna happen in a real world. So, snap on it.

Kalau kamu perasan, semasa scene si perempuan mengambil sejumlah post-it yang banyak dari dalam bilik peralatan itu, ada sehelai kertas yang dilekatkan di dinding sebelah pintu yang tertulis:

"Can you please make sure that the stationary you take is solely for work purposes. Thank you."

Dan selepas apa yang mereka berdua lakukan dengan mnggunakan post-it, lebih-lebih lagi selepas si lelaki membuat gambar besar di scene terakhir itu, aku dapat bayangkan yang mereka berdua bakal dibuang kerja dan bakal mencari kerja di tempat lain bersama-sama.

Cinta.... Memang indah di dalam Youtube. Di dunia realiti, belum pasti lagi.

Selalu aku dengar ada orang kata "Jangan bercinta dengan rakan sepejabat." Adakah kamu bersetuju dengan dengan ayat ini? Kenapa? Kamu ada mengalami peristiwa percintaan di pejabat yang sama?

Tapi yang pasti, boss kepada mereka berdua pasti sangat setuju dengan statement di atas. Mana taknya, membazirkan post-it dekat office sahaja kerja mereka ni.

Wednesday, February 15, 2012

Nazi dan Hitler

Sepupu aku ,Iqa, ada berkata yang kawannya akan datang sekali ketika kami sekeluarga mahu pergi bercuti ke Port Dickson. Tetapi akhirnya kawannya tidak dapat turut serta.


"Kenapa kawan Iqa tu tak jadi datang?"

"Entah. Dia kata dia ada hal pulak la, Abang Am" Panggilan aku dalam family adalah 'Abang Am'.

"Siapa nama dia?"

Nama dia Nazi."

"Nazi? Apa nama betul dia?"

"Nama betul dia Naziah."

"Oho... Cun tak?"

"Cun la."

"Kirim kat Nazi tu. Kata kat dia, Kalau dia Nazi, abang Am lah Hitler nya."

"...... Hitler tu apa, Abang am?"

Boleh tahan juga sepupu aku ni.

*Facepalm*

Monday, February 13, 2012

Gelagat Orang Asing dan Orang Kita

Setiap pagi, aku dan rakan sekerja aku akan terlibat dalam sessi sarapan bersama-sama diselangi dengan perbualan kosong untuk memeriahkan acara sarapan tersebut.

Sessi perbualan kosong biasanya bergenrekan cerita kelakar, supaya semuanya ketawa besar dan berjaya menceriakan suasana, menaikan semangat dan menghilangkan rasa mengantuk akibat tidur lambat kerana layan perlawanan bola sepak atau pun terlebih round main dengan bini malam semalam.

Tapi kalau tiada modal cerita kelakar, cerita serius, politik (tapi ini topik paling jarang dibualkan sebab semua sepakat menyampah dengan perangai ahli politik Malaysia), sukan, perempuan, cerita kisah lampau sewaktu muda dan lain-lain lagi yang boleh dibualkan sambil mulut enak mengunyah nasi lemak ataupun mee goreng.

Pagi semalam, giliran security head menceritakan kisah lampaunya. Menurut dia, dia pernah bekerja sebagai maintenance di sebuah hotel sebelum ini.

"Jadi maintenance hotel ni leceh. Asyik ada orang panggil je," Security head yang dikenali sebagai Jeff memulakan bicara.

"Aku paling mahal nak layan kerenah customer Arab. Banyak songeh. Ada sekali tu aku masuk bilik customer arab ni, ada taik kat depan pintu. Babi betul. Bukan sekali, banyak kali."

Kami yang mendengar mengangguk kepala mendengar cerita Jeff. Nasib baik dah habis makan. Kalau tidak, mahu potong selera dengar cerita pasal tahi ni.

"Ada sekali tu, customer orang putih panggil. Dari France kalau tak salah aku. Dia complaint kata air panas kat bilik mandi dia tak boleh guna."

"Aku pun pergi la ke bilik dia. Laki bini yang tinggal bilik tu. Suami dia merungutkan aku pasal tu. Aku pun pergi tengok. Rupanya bukan paip air panas tu dah rosak, tapi dia tak tekan butang untuk guna air panas tu. Aku pun terangkan la kat diorang yang diorang kena tekan butang yang ada kat tepi sinki ni kalau nak gunakan air panas."

"Lepas aku terangkan, suami dia terus marah isteri dia. Suami dia kata 'Itu pun awak tak nampak ke?' Si isteri diam je. Lepas tu dua-dua mintak maaf kat aku. Diaorang cakap diorang dah menyusahkan aku pasal hal kecik. Diorang mintak maaf macam diorang dah buat dosa besar pulak. Aku pulak naik segan bila diorang mintak maaf beria-ia."

"Orang putih memang macam tu. Diorang punya etika memang ajar diorang buat benda macam tu," Terang maintenance aku, yang juga pernah bekerja di luar negara.

Tiba-tiba, Thinagaran atau lebih famous dengan panggilan Thina bersuara:

"Cuba kalau tu customer Malaysia, mesti dia tak mintak maaf. Kot-kot dia complaint pulak, 'Lain kali buat la butang tu besar sikit'. Tak pun dia kata 'Butang tu letak la kat tempat yang senang jumpa'. Tak pun dia complaint 'Teruk hotel ni. Saya pergi hotel lain, tak de lah macam ni.'"

Kami semua tergelak.

Tapi apa yang Thina katakan itu memang ada betulnya. Sebab aku sendiri pernah berdepan situasi begitu (tapi bukan dalam situasi hotel lah).

Ye. It's a true story. Itulah perangai rakyat Malaysia.

Friday, February 10, 2012

Movie Marathon & Bukan Movie Marathon: Chronicles, Haywire & The Viral Factor

Dua dari 3 filem ini aku tengok secara movie marathon, satu lagi aku tengok secara solo.

Chronicles


Chronicle adalah sebuah filem sains fiksyen yang mengisahkan 3 sekawan, Andrew (lakonan Dane DeHaan), Matt (Alex Russell) dan Steve (Michael B. Jordan), telah mendapat kebolehan telekinetic, iaitu mampu mengerakkan barangan dengan minda mereka, setelah terjumpa dengan satu objek pelik di dalam tanah.

Setiap hari, mereka berlatih kuasa telekinetic mereka sehingga kuasa berikut semakin berkembang dan mereka bukan setakat mampu menggerakkan barang menggunakan minda, tapi mereka juga sudah mampu terbang di udara dan mampu mengawal benda-benda lain.

Tapi semunya berubah apabila Andrew (yang hidup tertekan kerana ayahnya yang pemabuk dan sering dipukul ayahnya) mula menggunakan kebolehannya ke jalan yang gelap. Kebetulan pula Andrew mampu mengawal kuasa tersebut dengan lebih baik dan mempunyai kuasa yang lebih kuat berbanding Matt dan Steve. 

Apa yang terjadi seterusnya? Dapatkah Matt dan Steve menghalang Andrew? Apakah yang akan dilakukan Andrew yang mula terarah ke jalan gelap? Adakah dia akan menonton filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Gelap?


Apa yang aku suka tentang filem ini

1. Sebagai peminat sains fiksyen, filem ini antara filem sains fiksyen yang agak menarik dari segi skrip, screenplay dan juga lakonan para pelakon. Filem ini dipenuhi babak dan plot yang boleh dikatakan tidak klise dan di luar dugaan penonton.

2. Bermula dengan agak bosan. 10 minit pertama filem ini membuatkan kamu rasa nak keluar wayang tapi perlahan demi perlahan plot bergerak menjadi lebih jelas dan menarik, dan membuatkan kamu mahu melekat dan menonton filem ini sehingga habis.

3. Jalan cerita filem mengenai orang biasa mendapat kuasa luar biasa, kebiasaannya akan menjadikan watak utamanya menjadi superhero, menolong orang yang lemah dan menjadi penyelamat dunia. Tapi berbeza dengan filem ini.

Watak-watak utama dalam filem ini menggunakan kuasa ini untuk suka-suka, sehinggalah salah seorang dari mereka menggunakannya ke jalan yang salah. filem ini memfokuskan kepada 'apa akan terjadi jika kuasa yang diperolehi disalah gunakan'? Sesuatu yang jarang ditonjolkan dalam filem lain. Mungkin sebab itu 3 watak utama dalam filem ini ialah pelajar sekolah, yang masih di bawah umur dan belum mampu berfikir secara matang dan akhirnya menyalah gunakan kuasa tersebut.


Apa yang kureng dengan filem ini

1. Filem ini menggunakan teknik ala-ala rakaman video, sama seperti filem The Blair Witch Project dan Paranormal Activity. Teknik rakaman ini digelar found-footage film. Semua babak dalam filem ini kononnya dirakam melalui kamera amatur yang digunakan Andrew dan Casey (teman wanita Matt). Jadi Point of view filem ini berdasarkan kamera amatur yang merakam setiap detik dalam filem ini.

Teknik found-footage film ini sedikit sebanyak membunuh mood cerita, terutamanya semasa scene mereka bertarung. Teknik ini menyebabkan beberapa efek CGI kurang jelas dan rakaman dari sudut yang tak tentu hala menyebakan mood pertarungan agak kurang menarik. Mungkin kalau ia dirakan secara normal, filem ini akan menjadi lebih superb.

2. Tiada penerangan secara teliti apakah yang menyebabkan mereka mendapat kuasa luar biasa. Mereka jumpa satu benda pelik di dalam lubang, mereka pegang dan terus mereka mendapat kuasa. Apakah benda itu? Mahluk asing? UFO? Tapi dunia memang begitu, tidak semua benda kita akan dapat jawapannya.


Filem ini menarik untuk ditonton dan wajib ditonton oleh semua peminat filem sains fiksyen. Lari dari kebiasaan filem sains fiksyen yang biasa ditonton menjadikan ianya menjadi satu filem yang unik. Sila ke wayang dan jangan lepaskan peluang untuk menonton filem ini.


Haywire


Akhirnya, Gina Carano membuat debutnya di layar perak. Bagi sesiapa yang tidak mengenali siapa Gina Carano, beliau adalah seorang mixed martial art (MMA) fighter yang pernah bertanding dalam pelbagai acara anjuran UFC, World Extreme Fighting dan lain-lain lagi.

Beliau pernah digembar-gemburkan untuk menceburi bidang wrestling di WWE, tetapi memilih untuk terjun ke bidang lakonan. Haywire merupakan filem debutnya sebagai watak utama.

Haywire mengisahkan tentang Mallory Kane (lakonan Gina Carona), yang berkerja dengan sebuah syarikat swasta yang sering diupah oleh pihak kerajaan untuk melaksanakan misi buat mereka (kira macam Government Link Company a.k.a. GLC-lah) Mereka diupah untuk melaksanakan misi-misi yang melibatkan perisikan dan penyamaran, kira macam Mission Impossible cuma mereka ini syarikat swasta.

Segalanya bermula selepas Mallory melaksanakan tugas menyelamatkan tebusan di Barcelona. Mallory sudah menyatakan hasrat yang Barcelona merupakan misi terakhir beliau sebelum beliau menarik diri dari syarikat tersebut.

Namun beberapa hari selepas misi di Barcelona berakhir, Mallory kemudiannya telah ditugaskan ke Dublin untuk misi yang terakhir sebelum beliau meninggalkan syarikat itu. Rupanya, misi tersebut adalah perangkap untuk membunuh dan memfitnah beliau.

Apabila Mallory gagal dibunuh, beliau telah difitnah menyebabkan kematian tebusan yang diselamatkan di Barcelona. Mallory kemudian terpaksa melarikan diri dan terpaksa menyeludup untuk kembali ke Amerika untuk menyelamatkan ayahnya dan sekali gus membersihkan nama baiknya dari fitnah yang telah dilemparkan kepadanya.



Apa yang aku suka dengan filem ini

1. Filem debut Gina Carano sebagai watak utama. Sudah agak lama aku menanti aksi pertama wirawati MMA ini dilayar perak. Semua scene pergaduhan yang dilakonkan oleh Gina Carano dalam filem ini dimuatkan dengan skill MMA nya seperti gerakan submission dan skill pertarungan yang biasa digunakan di dalam gelanggang.

2. Gina Carano di pasangkan dengan pelakon lelaki yang popular dan terkenal dalam filem aksi seperti Channing Tatum, Ewan McGregor, Michael Fassbender, Antonio Banderas dan Michael Douglas.


Apa yang kureng dengan filem ini

1. Pengarah tidak menggunakan kelebihan yang ada di dalam diri Gina Carano sepenuhnya. Gina Carano sudah sememangnya seorang fighter semula jadi, lasak, ganas dan boleh membelasah lelaki dengan sesuka hati dan seorang atlit semula jadi.

Tetapi kebanyakan scene pergaduhan dalam filem ini berlangsung dengan singkat. Hanya scene pergaduhan dengan Paul sahaja yang agak panjang. Sepatutnya Pengarah mengambil kesempatan untuk meletakkan koreografi pertarungan yang lebih panjang dan lebih banyak menonjolkan skill Gina Carano.

2. Kebanyakan pelakon lelaki yang aku sebut di atas lebih kepada pelakon tambahan. Mereka hanya keluar dalam beberapa scene sahaja dan gagal memberikan impak dalam filem ini. Nama Antonio Banderas terpapar besar di atas poster filem ini tetapi dia hanya keluar pada 2 minit terakhir filem ini. What the...???

3. Plot filem ini agak lembab dan perlahan. Penceritaan agak perlahan sehingga sampai satu babak yang menyebabkan aku rasa mengantuk yang amat. Memang satu turnoff dalam filem ini. Penamat filem ini juga sangat-sangatlah mengecewakan.


Bagi aku, filem ini agak membosankan kerana plotnya yang sangat lembab. Filem ini mempunyai skrip yang bagus dan jika ia diterbitkan di dalam bentuk novel, ia menjadi novel yang menarik. Tetapi tidak dalam bentuk filem. Bagi aku, pengarah filem ini gagal menyerlahkan Gina Carano melalui filem ini. Harap Gina Carano dapat menyerlah dalam filem seterusnya.

Tapi aku pelik, macam mana Rotten Tomato boleh bagi penilaian yang tinggi untuk filem ini?


The Viral Factor


Seumur hidup aku, hanya sekali sahaja aku pernah menonton filem Hong Kong di wayang, iaitu Kungfu Hustle. Dan The Viral Factor menjadi filem kedua.

The Viral Factor mengisahkan kisah adik beradik yang sudah lama terpisah, tetapi akhirnya bertemu dalam keadaan yang mendesak mereka menjadi musuh dan kawan dalam sekelip mata.

Kisah bermula apabila Jon (Lakonan Jay Chou) telah bertugas bersama-sama skuadnya untuk melindungi seorang professor yang mencuri sejenis virus yang berbahaya yang mudah merebak ke serata dunia bernama smallpox. Dalam misi mereka, mereka telah dikhianati oleh salah seorang ahli kumpulan mereka, Sean (Andy On). 

Sean telah menembak dan membunuh teman wanita (atau mungkin bekas teman wanita) Jon, Ice (Bai Bing) yang juga salah seorang ahli dalam skuad tersebut. Jon juga telah ditembak dikepala dan doktor tidak boleh mengeluarkan peluru tersebut dan mengatakan yang Jon hanya mampu hidup dalam tempoh 2 minggu sahaja.

Dengan hanya tinggal 2 minggu untuk hidup, Jon mengambil keputusan untuk menghabiskan sisa hidupnya bersama ibunya. Tanpa disangka, ibunya secara tiba-tiba membuka cerita tentang ayah dan abang kandungnya yang sudah lebih 20 tahun terpisah. Jon bertekad untuk mencari abang dan ayahnya sebelum beliau mati.

Jon pun terbang ke Malaysia untuk mencari abang dan ayahnya. Jon tidak sangka yang abangnya, Man (lakonan Nicholas Tse) telah menjadi penjenayah yang dikehendaki di Malaysia dan juga merupakan salah seorang boneka yang diperalatkan oleh Sean.

Dalam keadaan terpaksa, Jon turut terbabit dalam konflik tersebut demi memastikan abangnya tidak terjerumus lebih teruk dalam dunia jenayah yang dilakukan, memastikan abang dan ayahnya selamat supaya dapat bertemu dengan ibunya, dan juga mematahkan misi Sean yang cuba menyebarkan virus smallpox ke seluruh dunia.


Apa yang aku suka tentang filem ini:

1. 80% proses penggambaran fielm ini dilakukan di Malaysia. Ya! Di Malaysia! Inilah peluang untuk melihat aksi kereta meletup, terbang masuk ke Sungai Gombak, aksi kejar mengejar di Jalan Raja Chulan, kereta terbang dari Pavillion, aksi tembak menembak di Putrajaya dan aksi kereta terbabas merempuh ke dalam kedai makan dengan berlatar belakangkan Malaysia. Memang jauh berbeza dengan filem KL Gengster.

2. Biasanya, filem aksi lakonan Nicholas Tse memang jarang mengecewakan, lebih-lebih lagi selepas kejayaan filem The Beast Stalker. Nicholas Tse kali ini digandingkan dengan Jay Chou, yang juga sudah mula menempah status pelakon di Hollywood dalam filem The Green Hornet.

3. Jalan cerita yang baik. Walaupun merupakan sebuah filem aksi, tetapi ia tetap diselitkan dengan elemen kekeluargaan dan kasih sayang dan tidak mencacatkan perjalanan cerita ini.


Apa yang kureng tentang filem ini

1. Hero dalam cerita ini ditembak beberapa kali tapi masih boleh relax dan bertarung seperti biasa. Memanglah dia hanya ditembak di tangan dan tak mungkin menyebabkan mati, tapi at least tunjukkanlah sikit yang hero itu dalam kesakitan. Hero hanya menunjukkan mereka kesakitan selepas ditembak, selepas itu boleh bertarung seperti biasa.


Filem ini memang berbaloi untuk ditonton. Sarat dengan aksi tembak-menembak dan pergaduhan yang menarik. Malah, unsur kekeluargaan dan kasih sayang dalam fielm ini menjadikan filem ini sebuah filem yang seimbang dan menarik untuk ditonton.

Ending filem ini juga agak terbaik. Sekalung tahniah kepada pengarah, Dante Lam, yang berjaya menghasilkan filem yang baik dan sehebat filem Hollywood. Siapa kata filem aksi Asia tak mampu lawan filem aksi Hollywood? Setakat Haywire, memang kena tepislah dengan filem ini.

==========

Sekian, bertemu lagi dalam sessi movie marathon yang akan datang.

Wednesday, February 8, 2012

Jiwa Sejuk: Valentine's Day - Hari Meraikan Kasih Sayang atau Hari Perniagaan?

Ini adalah entri tahun lepas, aku publish balik. Kira macam siaran ulangan yang selalu Astro buat. Aku sedang mengalami writer's block buat masa ini, tiada bahan untuk ditaip di blog ini.

Jadi aku memperkenalkan segmen Jiwa Sejuk, di mana aku akan mem-publish-kan semula entri lama atas alasan (1) Writer's block, tiada idea (2) Entri ini ada kaitan dengan hari perayaan atau memperingati sesuatu kejadian (3) Suka hati akulah nak publish balik entri lama, ini blog aku.

Aku ubah sikit entri ini berbanding tahun lepas supaya orang yang pernah baca entri ini tidak rasa tertipu sangat.

============

Bila bulan Februari muncul, muncul jugalah cerita tentang Hari Valentine.


Tarikh 14 Februari 2011 jatuh pada hari Selasa minggu depan. Sama ada yang menyambut ataupun tidak menyambutnya, semua orang tahu yang 14 Februari setiap tahun seluruh dunia menyambut Hari Valentine ataupun dalam bahasa kebangsaan yang lebih tepat, Hari Kekasih.

Apa yang seronoknya Hari Valentine ini? Aku pun tak tahu. Aku tak pernah menyambut Hari Valentine. I don't do Valentine.

Setiap tahun mesti keluar artikel di akhbar atau mana-mana web site yang berorentasikan Islam tentang hukum menyambut Hari Valentine dan cerita disebalik Hari Valentine. Tapi banyak versi tentang cerita di sebalik Hari Valentine. Tapi yang penting, ia melibatkan seorang insan yang bernama Saint Valentine (St. Valentine).

Ada versi yang mengisahkan St.Valentine merupakan seorang pendeta yang menentang pemerintahan Raja Claudius II dan dihukum mati pada 14 Februari 270 Masihi. 

Ada yang kata St. Valentine sebenarnya seorang matchmaker. Beliau mengumpulkan semua lelaki dan perempuan yang masih single dalam satu upacara dan deletakkan nama semua lelaki dan perempuan tersebut di dalam kotak dan dicabut undi untuk menentukan pasangan masing-masing.

Ada versi yang mengatakan yang St. Valentine sebenarnya pejuang agama Kristian yang menggulingkan Islam pada pemerintahan Permaisuri Issabella. Sambutan Hari Valentine adalah menyambut kekalahan empayar Islam tersebut.

Ada juga versi menceritakan tentang yang St. Valentine adalah salah seorang dari adik-beradik yang dikenali sebagai Saint Fructus. Adik-beradik Saint Fructus ialah Valentine dan Engratia yang mewarisi harta peninggalan keluarga mereka dan mendermakan kepada orang yang miskin. Tetapi pengorbanan adik-beradik ini disambut pada 25 Oktober setiap tahun sebagai Saint Fructus Feast Day. Sudah tentu bukan Hari Valentine 14 Februari yang disambut pada zaman sekarang.

Sebenarnya, tiada cerita tepat mengenai asal-usul Hari Valentine. Tidak pasti peristiwa sejarah mana yang menjadi asal perayaan Hari Valentine disambut. Malah, tidak dapat dipastikan siapa St. Valentine sebenar. Ada yang mengatakan dia seorang paderi dari Rome. Ada pula yang mengatakan dia seorang pahlawan. Ramai juga yang mendakwa dia seorang dewa cinta. Dan ada juga yang mengatakan dia seorang preist dari benua Afrika. Tiada yang mampu memberikan fakta tepat tentang siapa dia St. Valentine.

Dalam lipatan sejarah, ada 7 versi kisah menceritakan siapa St. Valentine yang sebenar dan ada 11 Hari Valentine yang disambut pada tarikh yang berlainan dalam setiap tahun dan mempunyai 11 cerita asal-usul kesemua Hari Valentine tersebut. 

Kamu boleh Google ataupun cari dekat wikipedia tentang semua kisah-kisah tersebut. Aku malas nak cerita panjang lebar. Kalau aku taip panjang-panjang pun, belum tentu kamu baca kerana semangat 'Orang Malaysia malas membaca' masih menebal dalam diri kita.

Tidak dapat dipastikan kisah mana yang betul. Tiada teori sahih atau teori sejarah yang boleh menyokong semua kisah menyebabkan identiti St Valentine dan sebab Hari Valentine disambut menjadi kabur. Sama seperti kisah Hang Tuah yang kita juga agak sangsi dengan kewujudan si Tuah dan 5 bersaudaranya dan sering dipersoalkan oleh orang ramai.

Tapi sebenarnya, Hari Valentine moden (Hari Valentine zaman sekarang ini yang disambut 14 Februari setiap tahun) sebenarnya diasakan hanya semata-mata kerana perniagaan. It's all about the money!!!

Sambutan Hari Valentine moden pula bermula pada abad ke-19, bermula pada era 1840'an. Orang yang bertanggungjawab memulakan Hari Valentine moden ialah Esther Howland.

Esther Howland merupakan seorang graduan yang bekerja untuk ayahnya. Ayah Esther memiliki kedai menjual buku dan alat tulis yang besar di Worcester, Massachusetts, Amerika. Ayah Esther mempunyai rakan  niaga dari England. Rakan niaga ayahnya yang memulakan tradisi menyambut Hari Valentine moden di England, tetapi hanya disambut secara kecil-kecilan disebuah bandar kecil di England. Ia bukannya perayaan berskala besar yang disambut oleh semua rakyat di England.

Dari idea rakan niaga ayahnya, Esther bercadang untuk membawa perayaan Hari Valentine ke Amerika. Esther pun mengimport segala bahan untuk membuat kad ucapan dari rakan niaga ayahnya. Dia kemudian mereka bentuk Kad Valentine.

Dengan bantuan abangnya sebagai salesman, Kad Hari Valentine beliau berjaya dijual dengan meluas dan akhirnya berjaya mewujudkan Hari Valentine di Amerika hasil usaha Esther. Perayaan ini akhirnya tersebar diseluruh dunia sehingaa hari ini yang disambut pada 14 Februari setiap tahun.

Kemudian, manusia sendiri yang meng-improvise-kan Hari Valentine dengan menambahkan jambangan bunga, coklat, candle light dinner dan lain-lain lagi sebagai elemen dalam Hari Valentine.

Jadi, apa yang kita faham dari cerita Esther Howland di atas? Ya. Hari Valentine adalah hari rekaan Esther Howland semata-mata untuk mengaut keuntungan dari umat manusia. Untuk memastikan beliau mendapat untung, dia membawa sambutan Hari Valentine yang disambut secara kecil-kecilan di England dan mengkomersilkan semata-mata untuk mendapatkan keuntungan. langsung tiada kena mengena dengan hari memperingati St. Valentine.

"Habis tu. boleh la kita sambut Hari Valentine moden ni sebab dia tak de kena mengena dengan agama kan, Mirul?"

Yang itu aku tak berani nak jawab. I'm no ulama.  Tapi adalah lebih baik kita tidak menyambut Hari Valentine kerana  beberapa sebab.

Dari cerita di atas, sudah terang lagi bersuluh yang Hari Valentine hanyalah hari ciptaan Esther untuk mengaut keuntungan semata-mata. Sudah ternyata Hari Valentine tiada kaitan dengan hari meraikan kasih sayang, hari kekasih,  hari gedik-gedik main cinta atau hari di mana saya hilang dara. Jadi, kenapa perlu kita sambut hari tersebut?

Hari Valentine adalah satu sambutan yang tipu. Kenapa kamu perlu menyambutnya kalau sudah tahu benda tersebut adalah tipu. Adakah kamu mahu jadi manusia yang tertipu sepanjang hayat kamu?

Sudahlah kita hidup dekat Malaysia asyik ditipu oleh ahli-ahli Politik yang sering menabur janji manis tapi jarang sangat menunaikannya. Sekarang kamu mahu pula hidup dalam satu lagi penipuan? Masih belum puas kena kencing kuning pekat dengan Esther Howland lagi ke?

Selain itu, kamu mesti perasaan yang apa-apa barang atau hadiah yang boleh dikaitkan dengan Hari Valentine akan melambung harganya menjelang Hari Valentine.

Harga kad ucapan akan melambung sekali ganda sedangkan selama ini haram kau pernah ambil kisah tentang kad ucapan. Harga bunga juga akan naik double ataupun triple. Kononnya "Ini bunga baru ambik dari Cameron Highland maa.."

Harga coklat Cadbury yang murah sebelum ini tiba-tiba sudah jadi mahal. Cadbury hanya perlu menukar pembungkusan yang kononnya Valentine Package dan menaikkan harga coklat tersebut 3 kali ganda dari biasa.

Cadbury pernah menjual coklat versi khas sempena Hari Valentine. Sekotak harga RM 30++. Sebagai pencinta coklat yang tegar, keinginan aku untuk membeli coklat itu sangat tinggi. Dan kalau aku beli, bukan aku nak bagi pada kekasih hati aku, tapi memang aku membaham seorang diri. Tapi harga yang mahal membantutkan niat aku.

Dua hari selepas Hari Valentine berakhir, aku pun pergi ke kedai tersebut. Guess what? Harga coklat itu turun sampai bawah RM10. Aku gelak besar sambil memborong 2 kotak sekali gus. Peduli apa orang pandang aku lain macam, janji aku dapat beli coklat itu. Dan ya, coklat Cadbury versi Valentine itu memang sedap, dalam ada jem yang sangat sedap.

Selain itu, harga untuk candle light dinner di hotel juga meningkat dari hari biasa. Harga double dari harga biasa. Sampaikan kena tempah sebulan awal. Berebut-rebut orang menempah tempat untuk candle light dinner pada Hari Valentine sedangkan kita boleh mendapatkannya dengan harga yang lebih murah sehari selepas Hari Valentine.

Kemudian, syarikat barang kemas dan berlian juga mengambil kesempatan. Kononya mengeluarkan cincin, rantai, gelang dan anting-anting khas untuk Hari Valentine. Maka kopaklah poket para-para lelaki dan perempuan juga yang tersenyum riang.

Hari Valentine adalah hari dimana syarikat-syarikat besar atau lebih sedap kita panggil syarikat-syarikat kapitalis mengaut keuntungan besar dari rakyat marhaen. Syarikat kapitalis semakin kaya dan kita rakyat marhaen semakin kekeringan poket.

Aku bukanlah seorang yang idealist sangat dan memegang ideologi anti kapitalis. But hey, why pay more when  you can get less the day after Valentine's Day, right?

Dari kamu membazir bayar barangan tersebut dengan harga yang mahal, baik kamu beli pada hari lain. Baik simpan duit buat kahwin. Sekarang belanja kahwin bukan murah-murah. Sebelum kahwin, ada pre-wedding shoot. Baju masa bersanding sekurang-kurangnya kena ada 2-3 pasang. Dan akan datang, tak mustahil muncul pula video perkahwinan ala-ala artis seperti apa yang dibuat oleh Elyana dan anak perempuan  NAZA  Motor tu.

Dan yang terakhir, apa seronoknya menyambut Hari Valentine secara beramai-ramai? Apa yang menariknya pergi candel light dinner beramai-ramai?

"Johan, malam ni aku ada candle light dinner dengan awek aku. Aku nak bagi coklat dengan cincin ni."

"Ala.. Kau ingat kau sorang je ke? Aku pun ada date dengan awek aku jugak. Candle light dinner jugak. Ni cincin yang aku nak bagi awek aku."

See? Semua orang bakal buat benda yang sama pada Hari Valentine. Kalau semua orang buat benda yang sama, baik kamu sambut anniversary kamu saja. Hari anniversary lebih privacy dari Hari Valentine. It's all just about both of you.

Hanya kamu berdua yang pergi candle light dinner. Hanya kamu berdua yang menikmati detik romantik. Hanya kamu yang terima jambangan bunga dari teman lelaki kamu. Baru kawan-kawan yang lain jealous melihat kamu dapat jambangan bunga yang kamu dapat (dan juga belum pasti jambangan bunga itu fresh dari Cameron Highland).

Detik romantik patut hanya dikongsi oleh kamu berdua. Bukannya dengan semua orang. Apa yang romantik dan unik kalau semua orang pun sambut benda yang sama kan?

Jadi, berhenti menyambut Hari Valentine. Selain dari ditipu oleh Esther Howland dan syarikat kapitalis, kamu juga telah membazir wang dan dipaksa membayar sesuatu dengan harga yang lebih mahal sedangkan kamu boleh dapatkan dengan harga yang lebih murah sehari kemudian.

Hari Valentine bukannya romantik mana pun sebenarnya. Ia hanya satu hari dimana syarikat menjalankan perniagaan mereka dan kita sebagai rakyat marhaen telah ditipu bulat-bulat.

Say no to Valentine's Day dan kamu akan berjaya menyelamatkan poket. Sambut sahaja hari jadi atau hari anniversary dengan pasangan kamu. Hari tersebut lebih romantik sebenarnya.

Kita tak perlukan satu hari khas untuk menjadi romantik. Romantik dan kasih sayang terbit dari hati, bukan kerana kewujudan sesuatu hari yang dipanggil Hari Valentine.

Untuk menutup entri ulangan ini, aku sajikan kamu dengan lagu romantik dari band Bullet For My Valentine.


Dah dengar lagu tersebut? Rasa tertipu? Ya. Bullet For My Valentine adalah sebuah band metal. Jadah apa nak lagu romantik? Hahahaha!

P/S: Tiba-tiba aku teringat pasal Valentine tahun lepas. Ada orang buat trend tak pakai seluar dalam sempena Hari Valentine tahun lepas. Tahun ni tak nak buat trend tak pakai bra pulak ke sempena Hari Valentine ni?

Monday, February 6, 2012

Perokok Yang Tegar


Aku cuma terfikir, kenapa dia tak bawak mancis saja? Kan lebih mudah?

Friday, February 3, 2012

Cerita Batu Pahat: Lim Gek Kia Naib

Kisah tentang Batu Pahat.


Ada sebuah cerita aku ingin kongsikan kepada kamu semua. Ini kisah benar yang berlaku di sekitar pertengahan era 90'an, ketika aku berada di akhir sekolah rendah dan awal sekolah menengah. 

Semasa itu scene underground masih popular di Malaysia, scene band jiwang leleh hasil ciptaan Eddie Hamid sedang mula berkembang, Dr Mahathir masih memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Anwar Ibrahim masih menjadi deputy kepada Mahathir dan belum terfikir untuk menubuhkan Parti Keadilan Rakyat.

Aku masih ingat ketika waktu itu, aku boleh nampak tulisan seperti gambar di atas ini dikeliling Batu Pahat, tetapi kebanyakannya berada di kawasan sekitar Tasik Y dan sekitar kawasan berdekatan SMK Jalan Kolam Air (kini dikenali sebagai Sekolah Dato' Syed Esa) dan Sekolah Tinggi Batu Pahat (sekolah aku).

Lim Gek Kia Naib! Apa benda Lim Gek Kia Naib ini? Nama orangkah? Mungkin Lim Gek Kia itu nama orang tapi mana datangnya perkataan 'Naib' itu pula? Naib johankah?

Ayat ini dicat dan boleh dilihat di merata tempat. Di atas batu, di bahu jalan, di pokok dan mana-mana permukaan yang rasa boleh ditulis oleh si penulis.

Persoalannya, siapa yang menulis ayat ini?

Benda ini bagaikan menjadi satu urban legend di Batu Pahat. Pelbagai cerita yang aku dengar dari perkataan Lim Gek Kia Naib ini.

Salah satu cerita yang aku dengar ialah Lim Gek Kia sebenarnya seorang pelajar yang rajin belajar untuk mendapatkan kedudukan pertama dalam kelasnya. Dia rajin belajar. Siang malam dia sentiasa mentelaah buku dan suka menyendiri di dalam biliknya suapay tidak diganggu.

Walaupun sudah belajar bagai nak gila, Lim Gek Kia hanya mampu mendapatkan kedudukan ke-2 dalam kelas. Dia sentiasa kalah ditangan seorang pelajar dalam kelasnya semenjak sekolah rendah sehingalah sekolah menengah. Lim Gek Kia hanya akan mendapat tempat kedua, jadi mungkin disitulah timbulnya perkataan 'naib' di hujung namanya itu (naib johan).

Lim Gek Kia akhirnya tertekan dan menjadi tidak siuman. Dia kemudian menulis Lim Gek Kia Naib di sekeliling Batu Pahat untuk menunjukkan kekecewaannya kepada semua.

Seems legit. Tapi aku sendiri tidak pasti dengan kesahihan cerita ini.

Ada beberapa orang mendakwa pernah ternampak orang yang menulis ayat ini. Mengikut deskripsi orang ramai, orang yang menulis ayat ini adalah seorang tua berbangsa Cina, berumur awal 40'an, agak kurus dan botak di bahagian tengah kepala.

Ada yang berkata mereka pernah ternampak orang tua ini mandi di Tasik Y dan kemudian menulis perkataan tersebut di serata Batu Pahat.

Namun dari cerita-cerita di atas, tiada satu pun yang menerangkan dengan jelas siapa sebenarnya Lim Gek Kia dan kenapa perkataan 'naib' berada di hujung namanya.

Nampaknya, ayat ini akan terus menjadi misteri dan satu urban legend di Batu Pahat.

Jika ada sesiapa yang tahu kisah sebenar atau tahu kisah urban legend yang lain mengenai Lim Gek Kia Naib ini, boleh kongsikan bersama di ruang komen.

Sekian.


Wednesday, February 1, 2012

Bukan Movie Marathon: Journey 2: The Mysterious Island

Sebenarnya, aku dah tengok movie ini hari Rabu minggu lepas. Tapi lupa pulak nak buat review. Dan kali ini bukan sessi movie marathon, hanya single movie sahaja.

Journey 2: The Mysterious Island


Niat utama aku menonton filem ini ialah kerana The Rock atau kini lebih suka dikenali dengan nama kad pengenalannya, Dwayne Johnson.

Aku memang die hard fan The Rock semenjak dia bergusti di WWF (kini digelar WWE) lagi. Boleh dikatakan hampir semua filem yang dibintangi oleh The Rock aku tengok. Dan aku tidak sabar-sabar menunggu G.I. Joe: Retaliation yang juga bakal dibintangi oleh The Rock.

Filem ini hanya ditayangkan dalam 3D. Rasanya memang tidak ditayangkan dalam versi 2D. Filem ini merupakan sequel dari filem Journey To The Center Of The Earth. Tapi jangan risau. Kalau kamu tak tengok cerita yang pertama ini, anda masih boleh faham dan menikmati filem Journey 2 tanpa was-was.

Filem ini mengisahkan tentang seorang budak bernama Sean Anderson (lakonan Josh Hutcherson) yang cuba mencari datuknya, Alexander Anderson (lakonan Michael Cain) yang sudah 2 tahun hilang ketika dalam misinya mencari Mysterious Island.

Sean mempunyai hubungan dingin dengan ayah tirinya, Hank Parsons (lakonan The Rock). Hank membantu Sean mencari pulau tersebut dengan harapan hubungan mereka berdua dapat dieratkan.

Pengembaraan bermula apabila Sean mendapat signal yang dihantar dalam bentuk kod rahsia oleh datuknya, namun Sean gagal memecahkan kod rahsia itu. Bekerja sebagai seorang bekas tentera laut, Hank akhirnya berjaya membantu Sean memecahkan kod rahsia tersebut.

Setelah Hank berjaya mendapat koordinat pulau tersebut, mereka berdua pun pergi ke Palau, sebuah negara pulau yang terletak di Lautan Pasifik. Di Palau, Hank dan Sean telah mengupah seorang pemandu helikopter, Gabato (Luis Guzman) untuk membawa mereka ke pulau tersebut. Mereka juga ditemani oleh anak perempuan Gabato, Kailani (Vanessa Hudgens). Ah, yes! Vanessa Hudgens sudah dewasa sekarang.

Helikopter mereka terhempas kerana dipukul ribut. Mereka semua akhirnya terdampar di Mysterious Island yang dicari oleh Hank dan Sean. 

Dapatkah Sean mencari datuknya di pulau penuh misteri tersebut? Apa pula cabaran yang menanti mereka di pulau tersebut?

Walaupun filem ini mengatakan yang merek pergi ke Palau, tapi sebenarnya pengembaraan fielm ini dilakukan sepenuhnya di Hawaii.


Apa yang aku suka dengan filem ini:

1. Filem ini diinspirasikan dari 3 novel terkenal, Treasure Island hasil tulisan Robert Louis StevensonGulliver's Travels hasil tulisan Jonathan Swift dan Mysterious Island hasil tulisan Jules Verne, yang dikenali sebagai penulis yang terkenal dengan hasil karya sains fiksyen-nya (aku pernah menulis sedikit tentang Jules Verne di entri ini).

2. Scene Hank dan Sean menggabungkan ketiga-tiga peta pulau dari tiga novel ini untuk mendapatkan koordinat dan peta pulau ini memang cool. Juga memuatkan kisah mengenai mitos Atlantis City yang pernah diceritakan oleh Plato.

3. Menerapkan ciri-ciri kekeluargaan dalam cerita ini. Ciri-ciri yang diterapkan tidak cliche dan datang tanpa sedar (ketika scene The Rock menyanyikan lagu What A Wonderful World).

4. Watak Gabato yang sering menuturkan dialog komedi yang kena dengan masanya.


Apa yang aku kurang suka dengan filem ini:

1. Ending yang agak cliche buat sesebuah filem yang bergenrekan pengembaraan.

2. Tiada penceritaan secara terperinci tentang kehilangan watak ayah saudara Sean iaitu Prof. Trevor Anderson (lakonan Brendan Fraser dalam filem Journey To The Center Of The Earth). Tiba-tiba hilang, tak kan tiada cerita sikit pun tentang dia kan?


Bagi aku, filem ini bolehlah tahan. Filem ini meletakkan target market mereka sebagai filem yang sesuai untuk ditonton seisi keluarga, jadi kamu jangan mengharapkan ada scene putus kepala, kepala meletup, atau dinosour korek perut orang pula.

Tapi fielm ini memang sesuai ditonton seisi keluarga ataupun dengan teman wanita anda.

Sampai berjumpa lagi di sessi movie marathon atau bukan movie marathon yang akan datang.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...