Belilah Novel Aku!!!!

Friday, February 10, 2012

Movie Marathon & Bukan Movie Marathon: Chronicles, Haywire & The Viral Factor

Dua dari 3 filem ini aku tengok secara movie marathon, satu lagi aku tengok secara solo.

Chronicles


Chronicle adalah sebuah filem sains fiksyen yang mengisahkan 3 sekawan, Andrew (lakonan Dane DeHaan), Matt (Alex Russell) dan Steve (Michael B. Jordan), telah mendapat kebolehan telekinetic, iaitu mampu mengerakkan barangan dengan minda mereka, setelah terjumpa dengan satu objek pelik di dalam tanah.

Setiap hari, mereka berlatih kuasa telekinetic mereka sehingga kuasa berikut semakin berkembang dan mereka bukan setakat mampu menggerakkan barang menggunakan minda, tapi mereka juga sudah mampu terbang di udara dan mampu mengawal benda-benda lain.

Tapi semunya berubah apabila Andrew (yang hidup tertekan kerana ayahnya yang pemabuk dan sering dipukul ayahnya) mula menggunakan kebolehannya ke jalan yang gelap. Kebetulan pula Andrew mampu mengawal kuasa tersebut dengan lebih baik dan mempunyai kuasa yang lebih kuat berbanding Matt dan Steve. 

Apa yang terjadi seterusnya? Dapatkah Matt dan Steve menghalang Andrew? Apakah yang akan dilakukan Andrew yang mula terarah ke jalan gelap? Adakah dia akan menonton filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Gelap?


Apa yang aku suka tentang filem ini

1. Sebagai peminat sains fiksyen, filem ini antara filem sains fiksyen yang agak menarik dari segi skrip, screenplay dan juga lakonan para pelakon. Filem ini dipenuhi babak dan plot yang boleh dikatakan tidak klise dan di luar dugaan penonton.

2. Bermula dengan agak bosan. 10 minit pertama filem ini membuatkan kamu rasa nak keluar wayang tapi perlahan demi perlahan plot bergerak menjadi lebih jelas dan menarik, dan membuatkan kamu mahu melekat dan menonton filem ini sehingga habis.

3. Jalan cerita filem mengenai orang biasa mendapat kuasa luar biasa, kebiasaannya akan menjadikan watak utamanya menjadi superhero, menolong orang yang lemah dan menjadi penyelamat dunia. Tapi berbeza dengan filem ini.

Watak-watak utama dalam filem ini menggunakan kuasa ini untuk suka-suka, sehinggalah salah seorang dari mereka menggunakannya ke jalan yang salah. filem ini memfokuskan kepada 'apa akan terjadi jika kuasa yang diperolehi disalah gunakan'? Sesuatu yang jarang ditonjolkan dalam filem lain. Mungkin sebab itu 3 watak utama dalam filem ini ialah pelajar sekolah, yang masih di bawah umur dan belum mampu berfikir secara matang dan akhirnya menyalah gunakan kuasa tersebut.


Apa yang kureng dengan filem ini

1. Filem ini menggunakan teknik ala-ala rakaman video, sama seperti filem The Blair Witch Project dan Paranormal Activity. Teknik rakaman ini digelar found-footage film. Semua babak dalam filem ini kononnya dirakam melalui kamera amatur yang digunakan Andrew dan Casey (teman wanita Matt). Jadi Point of view filem ini berdasarkan kamera amatur yang merakam setiap detik dalam filem ini.

Teknik found-footage film ini sedikit sebanyak membunuh mood cerita, terutamanya semasa scene mereka bertarung. Teknik ini menyebabkan beberapa efek CGI kurang jelas dan rakaman dari sudut yang tak tentu hala menyebakan mood pertarungan agak kurang menarik. Mungkin kalau ia dirakan secara normal, filem ini akan menjadi lebih superb.

2. Tiada penerangan secara teliti apakah yang menyebabkan mereka mendapat kuasa luar biasa. Mereka jumpa satu benda pelik di dalam lubang, mereka pegang dan terus mereka mendapat kuasa. Apakah benda itu? Mahluk asing? UFO? Tapi dunia memang begitu, tidak semua benda kita akan dapat jawapannya.


Filem ini menarik untuk ditonton dan wajib ditonton oleh semua peminat filem sains fiksyen. Lari dari kebiasaan filem sains fiksyen yang biasa ditonton menjadikan ianya menjadi satu filem yang unik. Sila ke wayang dan jangan lepaskan peluang untuk menonton filem ini.


Haywire


Akhirnya, Gina Carano membuat debutnya di layar perak. Bagi sesiapa yang tidak mengenali siapa Gina Carano, beliau adalah seorang mixed martial art (MMA) fighter yang pernah bertanding dalam pelbagai acara anjuran UFC, World Extreme Fighting dan lain-lain lagi.

Beliau pernah digembar-gemburkan untuk menceburi bidang wrestling di WWE, tetapi memilih untuk terjun ke bidang lakonan. Haywire merupakan filem debutnya sebagai watak utama.

Haywire mengisahkan tentang Mallory Kane (lakonan Gina Carona), yang berkerja dengan sebuah syarikat swasta yang sering diupah oleh pihak kerajaan untuk melaksanakan misi buat mereka (kira macam Government Link Company a.k.a. GLC-lah) Mereka diupah untuk melaksanakan misi-misi yang melibatkan perisikan dan penyamaran, kira macam Mission Impossible cuma mereka ini syarikat swasta.

Segalanya bermula selepas Mallory melaksanakan tugas menyelamatkan tebusan di Barcelona. Mallory sudah menyatakan hasrat yang Barcelona merupakan misi terakhir beliau sebelum beliau menarik diri dari syarikat tersebut.

Namun beberapa hari selepas misi di Barcelona berakhir, Mallory kemudiannya telah ditugaskan ke Dublin untuk misi yang terakhir sebelum beliau meninggalkan syarikat itu. Rupanya, misi tersebut adalah perangkap untuk membunuh dan memfitnah beliau.

Apabila Mallory gagal dibunuh, beliau telah difitnah menyebabkan kematian tebusan yang diselamatkan di Barcelona. Mallory kemudian terpaksa melarikan diri dan terpaksa menyeludup untuk kembali ke Amerika untuk menyelamatkan ayahnya dan sekali gus membersihkan nama baiknya dari fitnah yang telah dilemparkan kepadanya.



Apa yang aku suka dengan filem ini

1. Filem debut Gina Carano sebagai watak utama. Sudah agak lama aku menanti aksi pertama wirawati MMA ini dilayar perak. Semua scene pergaduhan yang dilakonkan oleh Gina Carano dalam filem ini dimuatkan dengan skill MMA nya seperti gerakan submission dan skill pertarungan yang biasa digunakan di dalam gelanggang.

2. Gina Carano di pasangkan dengan pelakon lelaki yang popular dan terkenal dalam filem aksi seperti Channing Tatum, Ewan McGregor, Michael Fassbender, Antonio Banderas dan Michael Douglas.


Apa yang kureng dengan filem ini

1. Pengarah tidak menggunakan kelebihan yang ada di dalam diri Gina Carano sepenuhnya. Gina Carano sudah sememangnya seorang fighter semula jadi, lasak, ganas dan boleh membelasah lelaki dengan sesuka hati dan seorang atlit semula jadi.

Tetapi kebanyakan scene pergaduhan dalam filem ini berlangsung dengan singkat. Hanya scene pergaduhan dengan Paul sahaja yang agak panjang. Sepatutnya Pengarah mengambil kesempatan untuk meletakkan koreografi pertarungan yang lebih panjang dan lebih banyak menonjolkan skill Gina Carano.

2. Kebanyakan pelakon lelaki yang aku sebut di atas lebih kepada pelakon tambahan. Mereka hanya keluar dalam beberapa scene sahaja dan gagal memberikan impak dalam filem ini. Nama Antonio Banderas terpapar besar di atas poster filem ini tetapi dia hanya keluar pada 2 minit terakhir filem ini. What the...???

3. Plot filem ini agak lembab dan perlahan. Penceritaan agak perlahan sehingga sampai satu babak yang menyebabkan aku rasa mengantuk yang amat. Memang satu turnoff dalam filem ini. Penamat filem ini juga sangat-sangatlah mengecewakan.


Bagi aku, filem ini agak membosankan kerana plotnya yang sangat lembab. Filem ini mempunyai skrip yang bagus dan jika ia diterbitkan di dalam bentuk novel, ia menjadi novel yang menarik. Tetapi tidak dalam bentuk filem. Bagi aku, pengarah filem ini gagal menyerlahkan Gina Carano melalui filem ini. Harap Gina Carano dapat menyerlah dalam filem seterusnya.

Tapi aku pelik, macam mana Rotten Tomato boleh bagi penilaian yang tinggi untuk filem ini?


The Viral Factor


Seumur hidup aku, hanya sekali sahaja aku pernah menonton filem Hong Kong di wayang, iaitu Kungfu Hustle. Dan The Viral Factor menjadi filem kedua.

The Viral Factor mengisahkan kisah adik beradik yang sudah lama terpisah, tetapi akhirnya bertemu dalam keadaan yang mendesak mereka menjadi musuh dan kawan dalam sekelip mata.

Kisah bermula apabila Jon (Lakonan Jay Chou) telah bertugas bersama-sama skuadnya untuk melindungi seorang professor yang mencuri sejenis virus yang berbahaya yang mudah merebak ke serata dunia bernama smallpox. Dalam misi mereka, mereka telah dikhianati oleh salah seorang ahli kumpulan mereka, Sean (Andy On). 

Sean telah menembak dan membunuh teman wanita (atau mungkin bekas teman wanita) Jon, Ice (Bai Bing) yang juga salah seorang ahli dalam skuad tersebut. Jon juga telah ditembak dikepala dan doktor tidak boleh mengeluarkan peluru tersebut dan mengatakan yang Jon hanya mampu hidup dalam tempoh 2 minggu sahaja.

Dengan hanya tinggal 2 minggu untuk hidup, Jon mengambil keputusan untuk menghabiskan sisa hidupnya bersama ibunya. Tanpa disangka, ibunya secara tiba-tiba membuka cerita tentang ayah dan abang kandungnya yang sudah lebih 20 tahun terpisah. Jon bertekad untuk mencari abang dan ayahnya sebelum beliau mati.

Jon pun terbang ke Malaysia untuk mencari abang dan ayahnya. Jon tidak sangka yang abangnya, Man (lakonan Nicholas Tse) telah menjadi penjenayah yang dikehendaki di Malaysia dan juga merupakan salah seorang boneka yang diperalatkan oleh Sean.

Dalam keadaan terpaksa, Jon turut terbabit dalam konflik tersebut demi memastikan abangnya tidak terjerumus lebih teruk dalam dunia jenayah yang dilakukan, memastikan abang dan ayahnya selamat supaya dapat bertemu dengan ibunya, dan juga mematahkan misi Sean yang cuba menyebarkan virus smallpox ke seluruh dunia.


Apa yang aku suka tentang filem ini:

1. 80% proses penggambaran fielm ini dilakukan di Malaysia. Ya! Di Malaysia! Inilah peluang untuk melihat aksi kereta meletup, terbang masuk ke Sungai Gombak, aksi kejar mengejar di Jalan Raja Chulan, kereta terbang dari Pavillion, aksi tembak menembak di Putrajaya dan aksi kereta terbabas merempuh ke dalam kedai makan dengan berlatar belakangkan Malaysia. Memang jauh berbeza dengan filem KL Gengster.

2. Biasanya, filem aksi lakonan Nicholas Tse memang jarang mengecewakan, lebih-lebih lagi selepas kejayaan filem The Beast Stalker. Nicholas Tse kali ini digandingkan dengan Jay Chou, yang juga sudah mula menempah status pelakon di Hollywood dalam filem The Green Hornet.

3. Jalan cerita yang baik. Walaupun merupakan sebuah filem aksi, tetapi ia tetap diselitkan dengan elemen kekeluargaan dan kasih sayang dan tidak mencacatkan perjalanan cerita ini.


Apa yang kureng tentang filem ini

1. Hero dalam cerita ini ditembak beberapa kali tapi masih boleh relax dan bertarung seperti biasa. Memanglah dia hanya ditembak di tangan dan tak mungkin menyebabkan mati, tapi at least tunjukkanlah sikit yang hero itu dalam kesakitan. Hero hanya menunjukkan mereka kesakitan selepas ditembak, selepas itu boleh bertarung seperti biasa.


Filem ini memang berbaloi untuk ditonton. Sarat dengan aksi tembak-menembak dan pergaduhan yang menarik. Malah, unsur kekeluargaan dan kasih sayang dalam fielm ini menjadikan filem ini sebuah filem yang seimbang dan menarik untuk ditonton.

Ending filem ini juga agak terbaik. Sekalung tahniah kepada pengarah, Dante Lam, yang berjaya menghasilkan filem yang baik dan sehebat filem Hollywood. Siapa kata filem aksi Asia tak mampu lawan filem aksi Hollywood? Setakat Haywire, memang kena tepislah dengan filem ini.

==========

Sekian, bertemu lagi dalam sessi movie marathon yang akan datang.

2 comments:

pinyu pjah said...

first time kot aku tgok wayang sparuh jalan je sbb jln citer lembab tahap gaban..memang haywire mengecewakan.heywalle betol.. dah la tiket aku kol 10.30 mlm..11.30 aku ngn mbe aku blah .xtahan ngantuk woo..balik tido lagi sedap..

filem hong kong bagi aku antara yg terbaik diasia..gpun hero2 dia hensem maaa.hehehehe

Amirul (aremierulez) said...

Pjah:
Tu la. Aku pun rasa nak tidor, tapi aku still bertahan lagi.

Aku dah agak dah. Mesti kau tengok Viral factor pasal pelakon dia jambu kan? hahaha

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...