Belilah Novel Aku!!!!

Wednesday, May 30, 2012

Review Buku: Aku Rindu 90's



Apa ada dengan 1990'an?

Bagi aku, 1990'an banyak meninggalkan memori indah buat aku. Sewaktu itu, aku sedang bersekolah rendah dan pada penghujung 1990'an, aku sudah pun memasuki sekolah menengah.

Sesiapa yang pernah hidup pada zaman 1990'an, pasti masih teringat segala memori ketika kita masih hidup sebagai kanak-kanak riang yang bebas tanpa dibebani dengan kerja di pejabat dan dibelenggu rasa cinta di hati. Chewah!

Buku Aku Rindu 90's mampu mengimbau kenangan anda sedikit sebanyak pada waktu itu. Dan jika kamu pernah satu masa dulu hidup dalam zaman 1990'an, anda pasti akan mengalami pengalaman yang hampir sama dengan penulis buku ini.


Apa ada dengan Aku Rindu 90's?

Aku Rindu 90's merupakan catatan hidup penulis, Wan Shafiq, ketika hidupnya di dalam zaman 90'an. Dari kisah sekolah rendah, kisah ponteng mengaji, kisah meniru ketika peperiksaan, kisah makan mee celop sambil tengok bangkai tikus, kisah main badminton dengan Ayu - si gadis hitam manis yang sering tidak berbaju, kisah main tikam sampai dapat kereta Tamiya, kisah cikgu-cikgunya di sekolah, kisah "Aku sebatang pensel", kisah mimpi basah dan pelbagai lagi.

Walaupun penulis ini 5 tahun lagi muda dari aku, tapi sedikit sebanyak kami berkongsi memori yang sama sepanjang hidup dalam zaman 90'an. Aku yakin, bagi sesiapa yang pernah menjalani kehidupan di era 90'an bersetuju dengan kenyataan aku.


Jalan Cerita/Penulisan

Buku ini bukanlah berbentuk novel atau cerpen. Sebaliknya, ia adalah catatan kehidupan si penulis pada zaman 90'an dan awal 2000'an.

Setiap bab tidak bersambung. Bab permulaan menceritakan kisah hidupnya pada tahun 1992. Bab seterusnya pula terus melompat pada tahun 2000. Bab selepas itu kembali melompat pada tahun 1996. Jadi ia bukanlah satu buku yang bersambung pada setiap bab. Tapi, setiap bab mempunyai kesinambungan pada jalan ceritanya. Contohnya, watak Cikgu Ibrahim akan muncul dalam beberapa bab. Begitu juga kawannya yang menjadi orang yang memperkenalkan penulis dengan kumpulan Nirvana.

Walaupun ia bukanlah sebuah cerpen bersiri, tapi ia menarik untuk dibaca. Gaya penulisan yang bersahaja membuatkan ia mudah dicerna oleh minda apabila membacanya.


Bahasa

Penulis menggunakan campuran Bahasa Malaysia sebagai bahasa utama di dalam buku ini, dengan sedikit Bahasa Inggeris. Terdapat juga Bahasa Melayu Pasar dan sedikit ayat carutan. Tapi jangan risau, bahasa carutan tidak sebanyak di dalam album Eminem. Janganlah risau jika buku ini jatuh ke tangan adik anda yang berumur bawah 12 tahun ke bawah.

Penggunaan bahasa dalam novel ini sangat berjiwa muda. Bahasa jenis ini mendekatkan buku ini kepada anak muda dan senang untuk diterima oleh anak muda untuk membaca buku ini.


Penerbitan

Buku ini merupakan terbitan Lejen Press. Aku pernah bercerita tentang kesilapan yang sering dilakukan oleh Lejen Press dalam penerbitan mereka dalam entri review buku ACT dahulu.

Antara yang paling ketara ialah kesalahan ejaan atau lebih urban jika dipanggil typo. Agak banyak juga kesalahan ejaan dalam buku ini. Selain dari salah ejaan, ayat tak lengkap dan ayat berulang juga dapat dikesan dalam buku ini.

Selain itu, kenapa tiada selang satu baris antara perenggan (tak semualah) dan kenapa tiada selang antara noktah dengan huruf pertama pada ayat baru? Nampak seperti benda kecil, tapi ia sedikit membunuh mood untuk membaca. kekemasan susunan buku juga diambil berat oleh para pembaca ketika ingin membeli sesebuah buku.

Diharap Lejen Press dapat memperkemaskan lagi susunan untuk penerbitan buku yang seterusnya dan tidak mengulangi kesilapan ini. Harap pihak Lejen press tak ambil hati dengan komen aku. Aku cuma berharap komen aku akan memotivasikan kamu untuk menerbitkan buku dengan lebih baik. Jika ingin menjadi penerbit buku yang hebat, kenalah sentiasa menjadi lebih baik dalam setiap penerbitan bukan?


Adakah ia berbaloi untuk dimiliki?

Ya. Berbaloi. Bagi aku, buku ini boleh dikategorikan sebagai buku yang mudah dihadam dan tidak bosan bila dibaca. Bahasa yang digunakan mudah difahami. Penceritaan yang jelas dan tersusun. Cerita dipenuhi dengan memori silam, emosi, kelakar dan sebagainya.

Yes. Buku ini memang berbaloi dimiliki jika anda peminat novel bergenre cinta. Kamu boleh buat pesanan di sini.

Maaf kerana membuat review yang serba ringkas. Aku agak kesempitan masa. Berjumpa lagi dalam review yang akan datang.

Wednesday, May 23, 2012

Manusia Jujur

Cerita ini diceritakan kawan aku. 

Kejadian terjadi pada malam semalam.

Kisah 3 orang sekawan, yang datang untuk makan di sebuah warong yang berada di dalam Uptown Shah Alam.

Maka kawan aku pun bertanya pada si tukang ambil order, "Apa yang special dekat kedai ni?"

Maka si tukang ambil order menjawab dengan jujur, "Tak de apa yang special dekat kedai ni."

Dan memang benar apa kata si tukang ambil order itu, kerana kuew teow yang di pesan oleh kawan aku bagaikan kuew teow yang hanya digaul dengan kicap, bukannya digoreng dengan perencah dan sayur.

Memang betul kata si tukang ambil order, "Tak de apa yang special dekat kedai ni."

Manusia jujur seperti si tukang ambil order ini memang tak ramai di dunia. Kalau kamu jumpa, jagalah dia dengan sebaik mungkin.

Dan percayalah kata dia bila manusia jujur seperti ini berkata, "Tak de apa yang special dekat kedai ni."

Kelak, kamu juga yang hampa bila mendapat kuew teow yang bagaikan digaul dengan kicap sahaja.

Monday, May 21, 2012

Sejenak Di Malaysian Games & Comics Convention

Buat julang kalinya, sebuah konvention yang bertemakan permainan video dan komik diadakan di Malaysia. Malaysian Games dan Comics Convention (MGCCon) telah diadakan di Kolej Damansara Utama (KDU) selama 2 hari iaitu pada 19 Mei dan 20 Mei 2012.


Aku mendapat info mengenai konvention ini melalui satu poster bersaiz A4 yang ditampal di Kedai Buku Borders di Tropicana City Mall. Tapi sebagai salah satu penaja, sepatutnya Borders melakukan promosi dengan lebih galak.

Kebanyakan penjaga yang berada di booth masing-masing semuanya bertanya, "Dari mana dapat tahu pasal event ni?" kerana mereka juga sedar promosi untuk acara ini agak kurang. Malah, ada sesetengah booth mengetahui event ini pada saat-saat akhir.

Ini pertama kali acara ini diadakan, jadi tak hairan perkara-perkara seperti ini terjadi. Dan aku yakin perkara ini tidak akan berulang apabila acara ini diadakan pada tahun depan (harapnya ada lagi lah tahun depan).

Antara pelukis yang hadir ke konvention ini ialah Billy Tan (pelukis untuk komik Marvel), Carlo Pagulayan (pelukis dari Filipina, melukis untuk komik Marvel), Iwan Nazif (pelukis komik Darkhorse), Leinil Yu (pelukis komik Marvel), Jay Tablante (photographer yang terkenal kerana merakam gambar cosplayer) dan tidak ketinggalan, cosplayer terkenal di Asia yang berasal dari Filipina, Alodia Gosiengfiao.

Jay bersama Iron Man

Para pengunjung yang hadir memakai t-shirt yang memaparkan superhero di baju mereka. Tak ramai yang hadir dengan memakai cosplay. Maklumlah, pertama kali dibuat. Mungkin para hadirin ada yang malu-malu lagi.

Cosplay Iron Man

Komik-komik superhero dari luar negara ini di jual dengan murah. Kebanyakannya dijual dengan harga RM 5. Ada yang dijual dengan hanya RM 1 untuk satu komik. Komik-komik keluaran yang baru dijual dengan harga biasa, iaitu RM 50 ke atas.

Kebanyakan pelukis komik yang hadir menjual art work mereka. Art work mereka dijual dengan harga semurah RM 20 (untuk art work black & white) sehinggalah yang paling mahal RM 60 (full colour). Art work dari Carlo Pagulayan adalah antara yang menjadi rebutan para pengunjung. Tidak kurang juga art work dari pelukis tempatan.

Antara art work Carlo Pagulayan yang dijual

Booth Reign In Black antara booth yang menarik perhatian aku. Reign In Black merupakan syarikat yang menjual t-shirt dan terlibat dalam bidang printing. Kebanyakan baju-baju keluar mereka mempunyai reka cipta yang menarik, terutamanya design untuk t-shirt Harimau Malaya. Kamu boleh tengok segala design mereka di page Facebook mereka di sini.


Reign In Black juga ada menjual t-shirt keluaran Aie Clothing. Rasanya, kamu pasti kenal dengan kartunis Aie yang terkenal dengan kartun Blues Selamanya kan? Setelah lama menghilangkan diri, akhirnya Aie muncul kembali. Kamu boleh check design baju Aie Clothing di page Facebook di sini.

Ada juga booth dari pelukis amatur. Antara yang menarik perhatian aku adalah satu komik amatur yang bertajuk Spender Boy: Long Journey yang dihasilkan oleh Pakngahalipz. Ada juga booth Irma "Aimo" Ahmed".

Spender Boy

Anugerah PeKOMIK juga diadakan pada hari Ahad. Anugerah PeKOMIK diadakan untuk memartabatkan persada seni komik tanah air.



Anugerah Berus Emas telah dimenangi oleh saudara Rizalman, yang terkenal dengan komik Bujal dan Salina dapa satu masa dahulu. Anugerah ini adalah untuk menghargai jasa pelukis komik lama kerana menjadi pemangkin kepada pelukis generasi baru.

Kartunis Rizalman (Kanan)

Anugerah Pelukis Komik Terbaik telah dimenangi oleh kartunis Oren, dengan komiknya Sorrow Symphony. Kalau kamu biasa membaca malajalah Ujang atau Apo?, kamu mesti tahu kehebatan lukisan Oren.

Oren memenangi Anugerah Pelukis Komik Terbaik

Anugerah PeKOMIK telah diacarakan oleh seorang pengacara yang kelakar. Aku tak ingat siapa nama brader yang menjadi pengacara itu, tetapi dia juga ada booth yang menjual komik di sana. Malah, dia ada kedai yang menjual komik. Menurut brader tersebut, "Kedai abang bukak 24 jam". Entah betul, entahkan tidak. Acara ini juga diselangi dengan persembahan dari band yang bernama The No List dan beberapa pertarungan light saber.

Pemenang setiap kategori bergambar dengan
tetamu VIP, Elizabeth Wong

Kalau nak dibandingkan dengan acara Comic Con di San Diego, memang jauh sekali. Tetapi ini kali pertama ia diadakan, pastilah banyak kekurangan. Jika acara ini diteruskan dan ditambah baik, aku yakin kita bakal mempunyai acara comic con yang setanding dengan di San Diego.

Sekian sahaja ulasan serba ringkas dari aku. Tulis panjang-panjang pun, bukan boleh masuk surat khabar. Harap berjumpa lagi di MGCcon 2013 pula dan semoga MGCCon 2013 akan lebih meriah. Jangan lupa bawak Alodia lagi ya?

With Alodia

Gambar dicilok dari page Facebook WuuhuuOnline dan Malaysian Games dan Comics Convention.

Friday, May 18, 2012

Bendera Berkibar

Bila bendera negara kita dikibarkan, semangat patriotisme di dalam diri seorang rakyat akan timbul secara tiba-tiba.

Bila melihat bendera negara kita berkibar, semangat patriotisme di dalam diri seorang rakyat akan timbul secara tidak sedar.

Bila melihat bendera negara kita berkibar, kita tahu  yang Hari Kemerdekaan yang disambut setiap tahun pada 31 Ogos sudah semakin hampir.

Bila melihat bendera negara kita berkibar, kita tahu  yang Hari Malaysia yang disambut setiap tahun pada 16  September bermula dari tahun 2010, sudah semakin hampir.

Bila melihat bendera negara kita berkibar, kita tahu pasti ada acara sukan sedang berlangsung di negara kita. Berkemungkinan besar, Malaysia yang menjadi tuan rumahnya.

Tetapi bila bendera parti politik mula berkibar, ada warna biru, ada warna merah, ada warna hijau, ada gambar dacing, ada gambar bulan, ada gambar roket, ada gambar genggaman penumbuk, ada gambar bulan terbelah dua..........

Itu tandanya, pilihan raya umum sudah semakin hampir.

Ada yang kata pilihan raya umum tahun ini akan diadakan pada bulan Jun. Ada yang kata bulan September. Ada yang kata bulan November. Ada yang kata tahun depan.

Mana satu yang betul? Aku pun tak pasti.

Bersiap sedialah wahai anak muda yang biasa mengambil upah untuk memasang bendera dan menampal poster, kerana tahun ini kamu bakal dapat pendapatan lebih.

Bersiap sedialah wahai rakyat jelata kerana ADUN atau ahli parlimen yang kamu undi pada pilihan raya umum yang lepas akan datang menemui anda semua, setelah kali terakhir kamu jumpa 4 tahun lepas.

Dan bersiap sedialah kamu semua untuk mendengar janji manis mereka. Janji manis mana yang kamu rasa hebat, itulah yang kamu undi.

Mungkinkah akan terjadi tsunami politik seperti pilihan raya umum yang lepas? Kita tunggu dan lihat bendera mana yang berkibar megah selepas tamat pilihan raya umum tahun ini.

Dan kemenangan atau kekelahan sesuatu parti pada pilihan raya umum nanti, akan dicanang sehinggalah pilih raya umum yang akan datang tanpa henti di dada-dada akhbar.

Wednesday, May 16, 2012

Di Sebalik My Way: Kisah Pelumba Marathon Dari Korea dan Askar Korea Yang Berjuang Untuk Tentera Nazi Jerman

Dalam entri yang lepas-lepas, aku ada membuat review tentang filem Korea yang bertajuk My Way

My Way adalah sebuah filem perang mengisahkan permusuhan dan persahabatan antara dua sahabat dari bangsa dan negara yang lain.

Filem ini ditayangkan di pawagam pada bulan April yang lepas. Sesiapa yang terlepas untuk menontonnya, bolehlah melanggan filem ini di Astro First. Tapi kalau kamu jenis generasi muda yan gsuka download-mendownload, bolehlah cari filem ini di dalam internet.



Antara babak terpenting dalam filem ini adalah kemunculan watak pemenang pingat emas dalam Temasya Sukan Olimpik 1936 di Berlin, Sohn Kee-chung, yang mencadangkan supaya rakyat Korea Selatan (selepas ini ditulis sebagai 'Korea' sahaja) juga sepatutnya diberikan peluang untuk menyertai perlumbaan kelayakan untuk menyertai Temasya Sukan Olimpik. 

Korea berada di bawah jajahan Jepun ketika itu (Korea berada dibawah jajahan Jepun dari tahun 1910 sehingga 1945), jadi hanya atlet berbangsa Jepun sahaja yang pergi menyertai dalam Sukan Olimpik. Atlet Korea terpaksa bertanding di bawah bendera jepun, iaitu terpaksa bertanding sebagai atlet dari Jepun, bukannya Korea.

Selepas habis menonton filem tersebut, kawan aku yang menonton bersama aku pun bertanya, "Betul ke ada atlet Korea yang dapat pingat emas masa Olimpik Berlin 1936 tu?"

Untuk menjawab persoalan kawan aku, aku pun membuat beberapa research. Setelah membuat research, aku pun menjumpai jawapan kepada persoalan kawan aku itu.


Kisah Pelumba Marathon Dari Korea

Ya! Memang ada atlet Korea yang berjaya mendapat pingat Emas dalam acara marathon semasa Temasya Sukan Olimpik Berlin 1936.

Tapi, kalau kamu cuba cari fakta di website rasmi Olimpik, pasti kamu tidak akan jumpa nama atlet Korea memenangi pingat emas dalam Temasya Olimpik 1936.

Ini kerana seperti apa yang aku katakan di peranggan awal tadi, Korea berada di bawah jajahan Jepun ketika itu, jadi hanya atlet berbangsa Jepun sahaja yang pergi menyertai dalam Sukan Olimpik. Atlet Korea terpaksa bertanding di bawah bendera jepun, iaitu terpaksa bertanding sebagai atlet dari Jepun, bukannya Korea.

Jadi atlet Korea yang menyertai sukan Olimpik terpaksa bertanding di bawah bendera Jepun. Menjadi atlet wakil dari Jepun dan terpaksa menggunakan nama Jepun.

Temasya Olimpik 1936 diadakan di Berlin, Jerman. Ketika itu, Jerman berada dibawah pemerintahan Nazi yang diketuai oleh pemimpinnya yang terkenal, Adolf Hitler.

Olimpik tersebut diingati sebagai Olimpik dimana atlet kulit hitam dari Amerika Syarikat, Jesse Owen, berjaya memahat namanya dalam sejarah sukan dengan memenangi 4 pingat emas. Adolf Hitler yang pada masa itu mahukan bangsa Aryan menguasai temasay tersebut kecewa apabila ada atlet kulit hitam yang menunjul di bumi Jerman.

Sohn Kee-chung bertanding dalam acara marathon, bersama seorang lagi atlet warga Korea, Nam Sung-yong. Oleh kerana atlet Korea hanya dapat menyertai Olimpik melalui tiket sebagai atlet dari Jepun, Sohn Kee-chung terpaksa menggunakan nama Jepun, Son Kitei, untuk menyertai Olimpik ketika itu. Nam Sung-yong pula menggunakan nama Nan Shōryū.

Sohn Kee-chung

Sohn Kee-chung berjaya merangkul pingat emas dalam acara tersebut. Nam Sung-yong pula berjaya mendapat pingat gangsa. Ernest Harper dari Great Britain berjaya mendapat pingat perak.

Sohn Kee-chung berlari sejauh 42.195 kilometer dalam acara tersebut dan berjaya menamatkan perlumbaan dalam tempoh 2 jam 29 minit 19.2 saat. Beliau berjaya memecahkan rekod Olimpik ketika itu.

Semasa upacara penyampian pingat, lagu Jepun telah dimainkan. Sohn Kee-chung dan Nam Sung-yong menundukkan kepala ketika bendera Jepun dinaikkan, sebagai tanda silent protest. Walaupun bertanding sebagai atlet Jepun, hati mereka masih datang sebagai atlet Korea.


Silent protest yang dibuat oleh Sohn Kee-chung dan
Nam Sung-yong ketika penyampaian pingat

Sohn Kee-chung dan Nam Sung-yong pulang disambut oleh semua warga Korea sebagai wira. Akhbar Korea, The Dong-a Ilbo, telah menyiarkan gambar Sohn Kee-chung ketika penyampaian pingat. Tetapi gambar itu telah diubah. Bendera Jepun pada baju Sohn Kee-chung telah dibuang.

Perbuatan tersebut telah menaikkan kemarahan pihak penjajah Jepun. Tentera Jepun telah menangkap 8 orang yang terlibat dalam penyiaran gambar tersebut dan memasukan mereka ke dalam penjara. Akhar The Dong-a Ilbo pula telah digantung penjualannya selama 9 bulan.

Di bawah adalah petikan klip yang menunjukkan kemenangan Sohn Kee-chung. Petikan klip ini diambil dari filem dokumentari (lebih kepada sebuah filem propaganda Nazi) bertajuk Olympia. Dokumentari ini dihasilkan oleh Leni Riefenstahl, seorang pengarah wanita yang menjadi kegemaran Hitler.


Olympia dihasilkan dengan teknik-teknik rakaman acara sukan yang selama ini belum digunakan pada waktu tersebut. Sehingga kini, teknik ini telah menjadi panduan ketika ingin merakam acara sukan. Leni Riefenstahl meninggal dunia pada tahun 2003, ketika usianya 101 tahun.

Dibawah adalah review acara yang dimenangi oleh Sohn Kee-chung:



Dibawah pula adalah petikan klip Olympia juga. Dihujung klip, ada acara penyampaian pingat kepada Sohn Kee-chung:



Sohn Kee-chung telah diberikan penghormatan sebagai pembawa bendera Korea dalam acara pembukaan temasya Sukan Olimpik 1948 di London. Buat pertama kalinya, Korea menyertai sukan Olimpik sebagai sebuah negara bebas selepas askar Jepun tewas dalam peperangan pada tahun 1945 apabila 2 biji bom ataom gugur di Hiroshima dan Nagasaki.

40 tahun kemudian, Sohn Kee-chung muncul sebagai pembawa obor dalam temasya sukan olimpik 1988 yang diadakan di Seoul, Korea Selatan. Sohn Kee-chung, yang ketika itu berumur 74 tahun masuk ke dalam stadium membawa obor rasmi Olimpik, telah menyalakan obor distadium tersebut. Sohn Kee-chung dan jutaan rakyat Korea mengalirkan air mata ketika detik itu kerana kemenangan beliau merupakan salah satu penawar buat warga Korea yang berada dalam tawanan Jepun ketika itu.

Sohn Kee-chung meninggal dunia pada 15 November 2002, ketika usianya 88 tahun akibat pneumonia.

Sehingga ke hari ini, warga Korea menganggap Sohn Kee-chung sebagai atlet pertama dari Korea yang memenangi pingat emas dalam temasya sukan Olimpik. Walaupun rekod Olimpik tertulis yang Sohn Kee-chung sebagai atlet Jepun ketika itu dan Jepun sendiri menganggap Sohn Kee-chung sebagai atlet Jepun, Sohn Kee-chung tetap dianggap wira sejati di dalam hati rakyat Korea.


Kisah Askar Korea Yang Berjuang Untuk Tentera Nazi Jerman

"Betul ke cerita My Way ni dari kisah benar?" Ini merupakan soalan kedua dari kawan aku.

Mengikut apa yang aku baca sebelum ini, filem ini diinspirasikan dari sebuah kisah benar. 'Inspirasi' merupakan keyword dalam ayat ini.

Ya. Filem ini diinspirasikan dari kisah benar. Bukannya 'filem ini berdasarkan kisah benar'. Apabila diinspirasikan, ia bermakna ia bukanlah 100% kisah benar. Sebaliknya ia telah diolah oleh pengarah.

Mungkin kerana orang yang mengalami peristiwa ini keberatan untuk membiarkan kisah hidupnya dipaparkan untuk tontonan umum. Ataupun pengarah sendiri mengubah supaya ia menjadi kisah yang lebih menarik untuk ditonton.

Pengarah filem ini, Kang Je-gyu, telah terjumpa sekeping gambar yang menginspirasikan beliau untuk membuat filem My Way.



Kang Je-gyu terkejut melihat seorang warga Korea sedang memakai uniform askar Jerman. Kang Je-gyu pun melakukan beberapa research untuk mendapatkan maklumat mengenai gambar tersebut.

Warga Korea yang berada dalam gambar tersebut bernama Kyoungjong Yang. Kyoungjong Yang dilahirkan pada 3 March 1920 di Shin Euijoo, Korea.

Oleh kerana Korea berada di bawah jajahan Jepun, beliau telah dipaksa untuk menyertai askar Jepun. Dalam peperangan dengan askar Soviet Union (kini dikenali sebagai Russia) dalam Perang Nomonhan (a.k.a. Battles of Khalkhin Gol) pada tahun 1939, Kyoungjong Yang telah ditangkap oleh pihak Soviet. Oleh kerana kebolehan beliau dalam bidang ketenteraan, Pihak Soviet telah menyerapkan beliau dalam askar mereka.

Kyoungjong Yang kemudiannya ditangkap oleh Tentera Jerman dalam Perang Kharkov (antara Third Battle of Kharkov atau Fourth Battle of Kharkov) pada tahun 1943. Kyoungjong Yang telah diserapkan pula ke dalam Tentera Jerman dan dipindahkan ke kem di Pantai Utah, Normandy.

Kyoungjong Yang akhirnya ditangkap oleh Tentera Amerika dalam Perang Normandy pada 6 Jun 1944. Beliau telah ditahan di kem tahanan perang di Britain. Pada mulanya, tiada siapa yang memahami kata-kata beliau kerana bahasa pertuturan yang asing buat mereka.

Kyoungjong Yang dengan tegas menyatakan yang beliau merupakan orang Korea dan telah dipaksa untuk menyertai Tentera Jepun. Akhirnya, Kyoungjong Yang telah dibebaskan pada Mei 1945 tanpa seberang pertuduhan.

Kyoungjong Yang akhirnya berpindah ke Amerika Syarikat. Beliau menetap di Illinois, berdekatan dengan Northwestern University sehinggalah beliau menghembuskan nafasnya pada 7 April 1992. Kyoungjong Yang hidup sebagai orang biasa di Amerika Syarikat tanpa menceritakan kisah hidupnya kepada 3 orang anaknya, sehinggalah sebelum beliau meninggal dunia.

Satu kisah hidup yang agak hebat bagi aku.  Kyoungjong Yang menempuh pelbagai jenis peperangan dan berperang bersama beberapa pihak tentera. Bagi aku, ini satu pencapaian hidup yang hebat bagi seorang tentera. Namun, Kyoungjong Yang lebih gemar hidup dalam keadaan sederhana tanpa menghebahkan kisah hidupnya yang hebat itu.

Semoga siapa yang sudah menonton My Way dan tertanya-tanya soalan yang sama, diharap persoalan kamu terjawab. Jika ada info tambahan, boleh dikongsikan bersama.

Bila agaknya Malaysia boleh menghasilkan filem perang yang mempunyai tahap yang tinggi seperti ini? Apa cerita filem Bukit Kepong yang dikahabarkan ingin dibuat remake?

Monday, May 14, 2012

Review Movie: The Avengers

Sebenarnya, aku agak lewat menonton The Avengers. Ini kerana kesibukan aku, termasuk pergi bercuti bersama keluarga aku di Langkawi.


The Avengers

Rasanya, The Avengers menjadi filem yang paling dinanti-nantikan sepanjang tahun ini. menggabungkan 6 superhero dalam satu filem, pasti menjadi filem sensai yang bakal mempunyai peminat yang tersendiri.



The Avengers merupakan filem yang menggabungkan 6 superhero dari filem-filem Marvel yang dikeluarkan sebelum ini iaitu Iron Man (Iron Man & Iron Man 2), Hulk (The Incredible Hulk), Thor (Thor), Captain America (Captain America: The First Avengers), Black Widow (Iron Man 2) dan Hawkeye (Thor).

Nick Fury membuat penampilan selepas tampil sebagai cameo dalam kebanyakan filem dan juga Ejen Phil Coulson. Maria Hill diperkenalkan buat pertama kali dalam filem ini. Pepper Potts juga muncul sebagai watak kecil dalam filem ini. Dan tidak ketinggalan, cameo dari the legendary, Stan Lee.

Kalau nak dikatakan filem ini mengumpulkan superhero terbanyak dalam satu filem, mungkin tidak. Rasanya X-Men lagi ramai superhero dalam satu filem.

Kalau kamu mengikuti semua filem Marvel yang aku nyatakan pada perenggan sebelum ini, kamu pasti sudah dapat tahu yang semua filem tersebut mempunyai kaitan dan sentiasa memberikan hint yang semua superhero dalam filem tersebut akan bergabung dalam filem The Avengers.

The Avengers bermula apabila Loki telah mendapat bantuan daripada mahluk asing yang digelar 'The Others'. Pihak 'The Others' yang berasal dari bangsa yang bernama Chitauri telah menjanjikan Loki sekumpulan askar untuk membantunya menakluk dunia.

Loki pun turun ke bumi dan merampas Tesseract yang berada di bawah kajian dan perlindungan S.H.I.E.L.D., yang diketuai Nick Fury. Tesseract mempunyai kuasa yang kuat yang mampu membuka portal antara Bumi dan galaksi lain, yang mampu membawa semua askar Chitauri datang menakluk Bumi.

Selepas Tesseract dirampas oleh Loki, Nick Fury pun segera mengumpulkan semua superhero seperti Iron Man, Captain Amerika, Black Widow dan Hulk untuk mengesan Loki dan merampas kembali Tesseract.

Walaubagaimanapun, Iron Man dan Hulk sangsi dengan niat S.H.I.E.L.D. yang sebenar. Mereka sangsi, apakah kajian yang dijalankan oleh S.H.I.E.L.D. ke atas Tesseract. Malah mereka berdua juga sedar yang S.H.I.E.L.D. mempunyai niat tertentu ketika cuba menggabungkan mereka semua dalam satu kumpulan.

Maka pecah tembelang S.H.I.E.L.D. dan pergaduhan kecil dan salah faham berlaku antara ke semua superhero ini. Mereka sedar yang S.H.I.E.L.D. mempunyai niat terselindung dan cuba mempergunakan mereka.

Namun, ada peristiwa yang membuatkan mereka akhirnya bersatu dan menentang musuh bersama. Siapa yang akan menang akhirnya? Confirm la hero yang menang. Mana ada filem buat watak jahat yang menang, betul tak?







Robert Downey Jr. sebagai Tony Stark / Iron Man:
Jika kamu selalu menonton lakonan beliau, kamu sudah tahu bagaimana watak yang dibawak oleh dia. Watak Iron Man boleh dikatakan watak 'penghibur' dalam filem ini. Selalu berseloroh, bergurau, menjadikan perkara serius sebagai jenaka dan selalu mengeluarkan dialog atau quote yang kelakar.

Lakona tipikal Downey berjaya menjadikan Iron Man sebagai 'jiwa' dalam filem ini. Tanpa Iron Man lakonan beliau, mungkin filem The Avengers kurang hebatnya.


Chris Evans sebagai Steve Rogers / Captain America:
Captain America berbeza dengan semua watak superhero dalam filem ini. Beliau merupakan satu-satunya askar sebenar dalam kumpulan Avengers.

Sifat skema dan mendengar arahan dari pihak atasan sebagai seorang askar menjadikan beliau selalu berkonflik dengan Iron Man. Malahan, statusnya sebagai seorang askar telah membuatkan semua superhero yang lain menghormatinya dan sentiasa mendengar arahan beliau.


Mark Ruffalo sebagai Dr. Bruce Banner / Hulk:
Aku agak kecewa apabila Edward Norton tidak kembali untuk membawa watak Hulk dalam filem ini. Mark Ruffalo menggantikan beliau.

Lakonan Mark Ruffalo tidak mengecewakan. Malah, aku rasa dia sangat sesuai memegang watak ini berbanding Ed Norton dan Eric Bana. Watak Hulk telah menjadi salah satu watak yang menghidupkan filem ini.


Chris Hemsworth sebagai Thor:
Chris Hemsworth mengekalkan wataknya sebagai Thor, the god of thunder. Watak Thor adalah watak superhero yang terakhir muncul dalam filem ini.

Tapi kelihatan, Thor agak tenggelam dalam filem ini. Loki jauh lebih menyerlah dari Thor.


Scarlett Johansson sebagai Natasha Romanoff / Black Widow:
Dalam filem ini, Black Widow berpeluang menyerlahkan watak beliau dengan lebih baik berbanding dalam Iron Man 2.

Latar belakang Black Widow lebih banyak diceritakan dalam filem kali ini. Malah, kita dapat melihat skill soal siasat dan pengintipan beliau dengan lebih baik.


Jeremy Renner sebagai Clint Barton / Hawkeye:
Bila aku melihat Hawkeye, dia hanyalah seorang ejen yang mempunyai kemahiran memanah. Jadi, apa keistimewaannya? Apa yang dia boleh lakukan dalam filem? Pasti wataknya akan ditenggelami oleh watak superhero yang lain.

Rupanya aku silap. Dan selepas melihat segala skill memanah dan kemahiran beliau bertarung, aku mula rasa yang Hawkeye juga sepatutnya mempunyai filemnya sendiri seperti Iron Man.


Tom Hiddleston sebagai Loki:
Jika dalam filem Thor, Loki hanyalah watak jahat yang hanya mula menyerlahka ndirinya selepas separuh filem. Tapi bukan dalam The Avengers. Loki sudah mula membuat kemunculan dari awal filem dan menjadi karekter jahat yang sebenar dalam filem ini.

Dalam filem Thor, Loki lebih banya kdibayangi oleh Thor. Tetapi kini, Loki lebih bebas dan menonjolkan kemahirannya merancang dan memanupulasi orang lain. Lakonanya lebih menyerlah sehinggakan Thor pula yang tenggelam.


Cobie Smulders sebagai Maria Hill:
Hanya watak sampingan. Melihat Cobie Smulders, aku masih nampak dia dalam watak Robin dari TV Series How I Met Your Mother. Tapi sekurangnya dia boleh juga berlakon dalam filem aksi.


Samuel L. Jackson sebagai Nick Fury:
Samuel L. Jackson menjadi antara pelakon kulit hitam yang menyerlah di Amerika. Dan memberikan watak pemimpin S.H.I.E.L.D. kepada beliau adalah tindakan yang betul.

Pada asalnya, watak Nick Fury adalah seorang ejen yang berkulit putih. Tapi, apa ada pada warna kulit. Beliau melakonkan watak ini dengan baik.


Apa yang aku suka dengan filem ini:

1. Special effect yang gempak. CGI memang tahap maksimum terbaik.

2. Camera work yang menarik. Scene perperangan di Manhattan dibuat dengan baik dengan menggilirkan aksi setiap superhero ketika bertarung. Shot yang diambil dengan angle yang menarik. Scene dimana Captain America dirakam melalui cermin kereta adalah antara yang kreatif.

3. Ada diselang-selikan dengan babak pergaduhan dan bercakap-cakap. Walaupun ada yang merungut sebab banyak sangat scene mereka bercakap, aku rasa itu adalah yang terbaik. kalau dari awal sampai habis asyik scene bergaduh, mesti akan jadi bosan, macam filem-filem Jason Statham.

4. Dialog yang kelakar ketika keadaan serius. Bukan sahaja Iron Man, malah Thor, Captain America, Hulk dan Black Widow juga ada mengeluarkan dialog kelakar.

5. Tidak menjadi seperti X-Men. Dalam filem X-Men, walaupun mempunyai banyak superhero, tetapi watak Wolverine menjadi tumpuan dan paling menonjol. Dalam filem The Avengers, tiada siapa yang menonjol. Semuanya sama rata.

Aku boleh kategorikan filem ini sebagai salah satu filem superhero yang terbaik. Filem ini menjadi salah satu filem mesti tonton untuk tahun ini. Dan bersiap sedia, Iron Man 3 dan Thor 2 akan menyusul tahun hadapan.

Dan seperti biasa, pasti ada post credit scene dalam filem Marvel. Dalam filem The Avengers, ada 2 post -credit scene.

Yang pertama, dimana watak The Others sedang mengadu tentang kekalahan mereka menentang mahluk bumi kepada ketua mereka. Ketua mahluk asing tersebut ialah Thanos. Berkemungkinan besar, Thanos bakal menjadi penjahat utama dalam The Avengers 2.

Maaf, aku tak dapat jumpa petikan video tersebut di Youtube.

Yang kedua, scene di mana semua ahli The Avengers sedang makan Shawarma. Selepas selesai menewaskan semua musuh, Iron Man ada memberikan cadangan supaya mereka makan shawarma selepas itu.



Buat mereka yang tidak tahu apa itu Shawarma:



Jadi, hero-hero The Avengers hanya akan muncul semula tahun depan. Buat masa sekarang, bersedia dengan Spider-Man dan Batman yang akan muncul di wayang tak lama lagi.

Sunday, May 13, 2012

Selamat Hari Ibu

Sambutan Hari Ibu disambut diseluruh dunia. Sambutan Hari Ibu disambut untuk mengenang jasa ibu kita yang mengandung, melahirkan dan membesarkan kita walaupun perangai anak kadang-kadang dah serupa setan dan selalu menyusahkan mereka. 

Tapi Hari Ibu tidak disambut pada tarikh yang sama diseluruh dunia. Norway misalnya, menjadi negara paling awal menyambut Hari Ibu. Norway menyambut Hari Ibu di bulan Februari setiap tahun. Norway menyambut Hari Ibu pada 12 Februari tahun ini.

Indonesia menjadi negara paling terakhir menyambut Hari Ibu. Tahun ini mereka menyambutnya pada 22 Disember 2012.

Terima kasih buat ibuku, Azizan Bte Ali, yang membesarkan aku dengan penuh kasih sayang dan tahan melayan kerenah aku sepanjang dibawah jagaanmu. Dan walaupun kini aku sudah tinggal jauh dengan ibu aku, aku masih lagi menganggap aku masih di bawah jagaan dia.

Selamat Hari Ibu kepada semua wanita yang kini bergelar ibu. Jasamu memang tiada tandingan.




Monday, May 7, 2012

Sejenak Di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur Ke-31

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur Ke-31 diadakan pada 27 April hingga 6 Mei yang lalu di PWTC. Rasanya ramai yang tahu sebab saban tahun, acara ini menerima ribuan pengunjung. Dikatakan pengunjung tahun ini mencecah 1.8 juta orang.

Bagi aku pula, ini merupakan pertama kali aku menjejakkan kaki ke acara ini. Aku pergi dua kali. Pertama kali pada 28 April dan kali kedua pada hari penutup pesta buku ini, 6 Mei.

Kenapa aku pergi 2 kali? Yang pertama, ada banyak buku pada hari pembukaan acara ini. Kalau pada hari terakhir, mesti banyak buku yang dah habis.

Sebab kedua, pada hari terakhir, banyak booth yang buat diskaun sehabis baik. Harga murah habis. Tak kan aku nak lepaskan peluang macam tu saja kan?

Lagipun, banyak acara menarik pada hari terakhir.


Buku Dari Penulis Indonesia

Dalam banyak-banyak booth di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIBF) kali ini, booth dari Gerakbudaya Enterprise antara booth kegemaran aku. Ini kerana booth tersebut banyak menjual buku-buku hasil oleh penulis dari Indonesia. 

Selain itu, pekerja di booth Gerakbudaya memang jenis yang baca buku. Mereka tahu isi setiap buku yang terjual dan juga latarbelakang penulis buku. Memang terbaik.

Ramai pernah berkata yang buku hasil penulis Indonesia mempunyai kualiti yang tinggi juga. Jadi akhirnya aku dapat juga menjumpai buku dari Indonesia ini.

Aku tak melepaskan peluang untuk mendapatkan beberapa buah buku hasil dari penulis dari seberang. Antara buku yang aku beli ialah Malaysia Macan Asia. Macan membawa maksud harimau.

Buku ini mengisahkan tentang Malaysia dari perspektif orang Indonesia,  termasuk juga hal perkelahian antara 2 negara ini.

Apa yang mengejutkan aku ialah buku-buku dari Indonesia ini lebih murah dari buku terbitan Malaysia. Aku membandingkan buku dari Malaysia yang mempunyai ketebalan yang sama. Buku dari Indonesia berharga RM 16, manakala buku terbitan penulis Malaysia pula hampir mencecah RM 30. Kebanyakan buku dari Indonesia berharga di bawah RM 20.

Adakah harga buku terbitan Malaysia mahal ataupun buku di Indonesia memang murah harganya?

Mungkin pihak kerajaan boleh memikirkan cara supaya buku terbitan di Malaysia boleh dijual lebih murah. Macam mana nak menggalakkan rakyat Malaysia kalau bukunya mahal belaka kan?


Pengajaran Positif

Semasa aku di booth Creative Enterprise, aku ternampak seorang bapa ingin membelikan novel untuk anak remajanya.

"Boleh suggest buku pada saya tak?" Tanya si bapa pada pembantu yang berada di booth tersebut.

"Encik nak buku yang macam mana?" Tanya si pembantu.

"Saya nak bagi kat anak saya. Anak saya perempuan, tingkatan 4. Kalau boleh, ending cerita tu ada pengajaran positif." Terang si bapa.

Pembantu booth tersebut mencadangkan beberapa buah novel bergenrekan cinta.

"Saya tak nak novel cinta. Saya tak nak ajar anak saya bercinta." Terang si bapa.

Aku mendiamkan diri sahaja. Bagi aku, manusia tidak perlu diajar tentang cinta. Sebaik sahaja dilahirkan, seorang anak sudah belajar untuk mencintai ibu dan ayahnya. Novel bergenre cinta sudah pasti tidak akan menjadi medium pertama yang memperkenalkan cinta kepada manusia.

"Kalau macam tu, encik boleh pilih novel dekat rak sana. Semua tu novel thriller." Terang si pembantu.

"Thriller? Kisah pasal apa tu?"

"Kisah pembunuhan.. Kisah penyiasatan..."

"Saya tak nak semua tu. Saya nak yang ada pengajaran positif."

"Tapi ending dia memang ada pengajaran positif.."

"Tapi ada bunuh-bunuh. Saya tak suka. Saya nak yang ada pengajaran positif, tak de cinta, tak de pembunuhan." Terang si bapa lagi.

Kalau aku jadi pembantu booth itu, nak saja aku suruh si bapa beli buku Sang Kancil dan Buaya. Tiada cinta, tiada pembunuhan dan ending yang positif.

Mungkin itu sebabnya aku tak boleh bekerja di kedai buku.


Pelancaran Buku Balada Pyanhabib


Rasanya, siapa yang menyukai sastera dan penulisan pasti kenal siapa Pyanhabib. Kalau tidak pun, kamu pasti ada menonton lakonan Pyanhabib dalam Kembara Seniman Jalanan dan Tak Kisahlah Beb!

Menurut apa yang aku dengar, buku berjudul Balada Pyanhabib merupakan buku pertama beliau yang diterbitkan. Buku ini diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), yang dulu dikenali sebagai Institut Terjemanah Negara Malaysia (ITNM).

"Tiga tahun ITBM perambat saya, suruh buat buku ni." Kata Pyanhabib semasa majlis pelancaran buku beliau.

Buku ini dilancarkan oleh Datuk Mohammad Nor Khalid, yang lebih mesra alam dengan nama Lat, pencipta kartun Lat The Kampong Boy.

Datuk Lat merupakan salah seorang ahli Anak Alam, bersama Pyanhabib. Ramai rakan-rakan Anak Alam seperti Khalid Salleh turut serta semasa pelancaran buku ini.

Ramli Sarip juga turut mendendangkan 3 buah lagu untuk majlis pelancaran Balada Pyanhabib ini. Ramli Sarip dan Pyanhabib sudah lama mengenali antara satu sama lain. Menurut Ramli Sarip, setiap kali bertemu beliau, Pyanhabib akan mengambil gambar bersama.  Kebanyakan lagu puisi Ramli Sarip adalah ciptaan Pyanhabib.

Semasa di pengakhiran lagu Bukan Kerana Nama, Ramli Sarip terus menyanyikan sepotong ayat dari lagu Kamelia, "Gugusan hari-hari..." Penonton semua bersorak kerana menyangka yang Ramli Sarip ingin menyanyikan lagu Kamelia. Rupanya, Ramli Sarip hanya bergurau dan terus menamatkan persembahan sambil ketawa.

Selepas selesai menyanyi, Pyanhabib yang juga berada di atas pentas ketika itu terus memeluk Ramli Sarip. Itulah persahabtan antara mereka berdua. Juga persahabatan antara semua ahli Anak Alam.

Semoga suatu hari nanti, muncul penyair, penyajak dan penulis hebat seperti mereka dari generasi aku nanti.

Sebenarnya banyak lagi acara menarik seperti acara Wawancara Sofa Putih anjuran ITBM tapi cukup sampai di sini sahajalah ulasan aku. Booth kegemaran aku ialah booth Gerakbudaya, Fixi dan ITBM.

Bagi aku yang pertama kali ke pesta buku ini, aku sangat berpuashati dengan acara ini. Semoga acara ini diteruskan ditahun-tahun mendatang.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...