Belilah Novel Aku!!!!

Wednesday, May 16, 2012

Di Sebalik My Way: Kisah Pelumba Marathon Dari Korea dan Askar Korea Yang Berjuang Untuk Tentera Nazi Jerman

Dalam entri yang lepas-lepas, aku ada membuat review tentang filem Korea yang bertajuk My Way

My Way adalah sebuah filem perang mengisahkan permusuhan dan persahabatan antara dua sahabat dari bangsa dan negara yang lain.

Filem ini ditayangkan di pawagam pada bulan April yang lepas. Sesiapa yang terlepas untuk menontonnya, bolehlah melanggan filem ini di Astro First. Tapi kalau kamu jenis generasi muda yan gsuka download-mendownload, bolehlah cari filem ini di dalam internet.



Antara babak terpenting dalam filem ini adalah kemunculan watak pemenang pingat emas dalam Temasya Sukan Olimpik 1936 di Berlin, Sohn Kee-chung, yang mencadangkan supaya rakyat Korea Selatan (selepas ini ditulis sebagai 'Korea' sahaja) juga sepatutnya diberikan peluang untuk menyertai perlumbaan kelayakan untuk menyertai Temasya Sukan Olimpik. 

Korea berada di bawah jajahan Jepun ketika itu (Korea berada dibawah jajahan Jepun dari tahun 1910 sehingga 1945), jadi hanya atlet berbangsa Jepun sahaja yang pergi menyertai dalam Sukan Olimpik. Atlet Korea terpaksa bertanding di bawah bendera jepun, iaitu terpaksa bertanding sebagai atlet dari Jepun, bukannya Korea.

Selepas habis menonton filem tersebut, kawan aku yang menonton bersama aku pun bertanya, "Betul ke ada atlet Korea yang dapat pingat emas masa Olimpik Berlin 1936 tu?"

Untuk menjawab persoalan kawan aku, aku pun membuat beberapa research. Setelah membuat research, aku pun menjumpai jawapan kepada persoalan kawan aku itu.


Kisah Pelumba Marathon Dari Korea

Ya! Memang ada atlet Korea yang berjaya mendapat pingat Emas dalam acara marathon semasa Temasya Sukan Olimpik Berlin 1936.

Tapi, kalau kamu cuba cari fakta di website rasmi Olimpik, pasti kamu tidak akan jumpa nama atlet Korea memenangi pingat emas dalam Temasya Olimpik 1936.

Ini kerana seperti apa yang aku katakan di peranggan awal tadi, Korea berada di bawah jajahan Jepun ketika itu, jadi hanya atlet berbangsa Jepun sahaja yang pergi menyertai dalam Sukan Olimpik. Atlet Korea terpaksa bertanding di bawah bendera jepun, iaitu terpaksa bertanding sebagai atlet dari Jepun, bukannya Korea.

Jadi atlet Korea yang menyertai sukan Olimpik terpaksa bertanding di bawah bendera Jepun. Menjadi atlet wakil dari Jepun dan terpaksa menggunakan nama Jepun.

Temasya Olimpik 1936 diadakan di Berlin, Jerman. Ketika itu, Jerman berada dibawah pemerintahan Nazi yang diketuai oleh pemimpinnya yang terkenal, Adolf Hitler.

Olimpik tersebut diingati sebagai Olimpik dimana atlet kulit hitam dari Amerika Syarikat, Jesse Owen, berjaya memahat namanya dalam sejarah sukan dengan memenangi 4 pingat emas. Adolf Hitler yang pada masa itu mahukan bangsa Aryan menguasai temasay tersebut kecewa apabila ada atlet kulit hitam yang menunjul di bumi Jerman.

Sohn Kee-chung bertanding dalam acara marathon, bersama seorang lagi atlet warga Korea, Nam Sung-yong. Oleh kerana atlet Korea hanya dapat menyertai Olimpik melalui tiket sebagai atlet dari Jepun, Sohn Kee-chung terpaksa menggunakan nama Jepun, Son Kitei, untuk menyertai Olimpik ketika itu. Nam Sung-yong pula menggunakan nama Nan Shōryū.

Sohn Kee-chung

Sohn Kee-chung berjaya merangkul pingat emas dalam acara tersebut. Nam Sung-yong pula berjaya mendapat pingat gangsa. Ernest Harper dari Great Britain berjaya mendapat pingat perak.

Sohn Kee-chung berlari sejauh 42.195 kilometer dalam acara tersebut dan berjaya menamatkan perlumbaan dalam tempoh 2 jam 29 minit 19.2 saat. Beliau berjaya memecahkan rekod Olimpik ketika itu.

Semasa upacara penyampian pingat, lagu Jepun telah dimainkan. Sohn Kee-chung dan Nam Sung-yong menundukkan kepala ketika bendera Jepun dinaikkan, sebagai tanda silent protest. Walaupun bertanding sebagai atlet Jepun, hati mereka masih datang sebagai atlet Korea.


Silent protest yang dibuat oleh Sohn Kee-chung dan
Nam Sung-yong ketika penyampaian pingat

Sohn Kee-chung dan Nam Sung-yong pulang disambut oleh semua warga Korea sebagai wira. Akhbar Korea, The Dong-a Ilbo, telah menyiarkan gambar Sohn Kee-chung ketika penyampaian pingat. Tetapi gambar itu telah diubah. Bendera Jepun pada baju Sohn Kee-chung telah dibuang.

Perbuatan tersebut telah menaikkan kemarahan pihak penjajah Jepun. Tentera Jepun telah menangkap 8 orang yang terlibat dalam penyiaran gambar tersebut dan memasukan mereka ke dalam penjara. Akhar The Dong-a Ilbo pula telah digantung penjualannya selama 9 bulan.

Di bawah adalah petikan klip yang menunjukkan kemenangan Sohn Kee-chung. Petikan klip ini diambil dari filem dokumentari (lebih kepada sebuah filem propaganda Nazi) bertajuk Olympia. Dokumentari ini dihasilkan oleh Leni Riefenstahl, seorang pengarah wanita yang menjadi kegemaran Hitler.


Olympia dihasilkan dengan teknik-teknik rakaman acara sukan yang selama ini belum digunakan pada waktu tersebut. Sehingga kini, teknik ini telah menjadi panduan ketika ingin merakam acara sukan. Leni Riefenstahl meninggal dunia pada tahun 2003, ketika usianya 101 tahun.

Dibawah adalah review acara yang dimenangi oleh Sohn Kee-chung:



Dibawah pula adalah petikan klip Olympia juga. Dihujung klip, ada acara penyampaian pingat kepada Sohn Kee-chung:



Sohn Kee-chung telah diberikan penghormatan sebagai pembawa bendera Korea dalam acara pembukaan temasya Sukan Olimpik 1948 di London. Buat pertama kalinya, Korea menyertai sukan Olimpik sebagai sebuah negara bebas selepas askar Jepun tewas dalam peperangan pada tahun 1945 apabila 2 biji bom ataom gugur di Hiroshima dan Nagasaki.

40 tahun kemudian, Sohn Kee-chung muncul sebagai pembawa obor dalam temasya sukan olimpik 1988 yang diadakan di Seoul, Korea Selatan. Sohn Kee-chung, yang ketika itu berumur 74 tahun masuk ke dalam stadium membawa obor rasmi Olimpik, telah menyalakan obor distadium tersebut. Sohn Kee-chung dan jutaan rakyat Korea mengalirkan air mata ketika detik itu kerana kemenangan beliau merupakan salah satu penawar buat warga Korea yang berada dalam tawanan Jepun ketika itu.

Sohn Kee-chung meninggal dunia pada 15 November 2002, ketika usianya 88 tahun akibat pneumonia.

Sehingga ke hari ini, warga Korea menganggap Sohn Kee-chung sebagai atlet pertama dari Korea yang memenangi pingat emas dalam temasya sukan Olimpik. Walaupun rekod Olimpik tertulis yang Sohn Kee-chung sebagai atlet Jepun ketika itu dan Jepun sendiri menganggap Sohn Kee-chung sebagai atlet Jepun, Sohn Kee-chung tetap dianggap wira sejati di dalam hati rakyat Korea.


Kisah Askar Korea Yang Berjuang Untuk Tentera Nazi Jerman

"Betul ke cerita My Way ni dari kisah benar?" Ini merupakan soalan kedua dari kawan aku.

Mengikut apa yang aku baca sebelum ini, filem ini diinspirasikan dari sebuah kisah benar. 'Inspirasi' merupakan keyword dalam ayat ini.

Ya. Filem ini diinspirasikan dari kisah benar. Bukannya 'filem ini berdasarkan kisah benar'. Apabila diinspirasikan, ia bermakna ia bukanlah 100% kisah benar. Sebaliknya ia telah diolah oleh pengarah.

Mungkin kerana orang yang mengalami peristiwa ini keberatan untuk membiarkan kisah hidupnya dipaparkan untuk tontonan umum. Ataupun pengarah sendiri mengubah supaya ia menjadi kisah yang lebih menarik untuk ditonton.

Pengarah filem ini, Kang Je-gyu, telah terjumpa sekeping gambar yang menginspirasikan beliau untuk membuat filem My Way.



Kang Je-gyu terkejut melihat seorang warga Korea sedang memakai uniform askar Jerman. Kang Je-gyu pun melakukan beberapa research untuk mendapatkan maklumat mengenai gambar tersebut.

Warga Korea yang berada dalam gambar tersebut bernama Kyoungjong Yang. Kyoungjong Yang dilahirkan pada 3 March 1920 di Shin Euijoo, Korea.

Oleh kerana Korea berada di bawah jajahan Jepun, beliau telah dipaksa untuk menyertai askar Jepun. Dalam peperangan dengan askar Soviet Union (kini dikenali sebagai Russia) dalam Perang Nomonhan (a.k.a. Battles of Khalkhin Gol) pada tahun 1939, Kyoungjong Yang telah ditangkap oleh pihak Soviet. Oleh kerana kebolehan beliau dalam bidang ketenteraan, Pihak Soviet telah menyerapkan beliau dalam askar mereka.

Kyoungjong Yang kemudiannya ditangkap oleh Tentera Jerman dalam Perang Kharkov (antara Third Battle of Kharkov atau Fourth Battle of Kharkov) pada tahun 1943. Kyoungjong Yang telah diserapkan pula ke dalam Tentera Jerman dan dipindahkan ke kem di Pantai Utah, Normandy.

Kyoungjong Yang akhirnya ditangkap oleh Tentera Amerika dalam Perang Normandy pada 6 Jun 1944. Beliau telah ditahan di kem tahanan perang di Britain. Pada mulanya, tiada siapa yang memahami kata-kata beliau kerana bahasa pertuturan yang asing buat mereka.

Kyoungjong Yang dengan tegas menyatakan yang beliau merupakan orang Korea dan telah dipaksa untuk menyertai Tentera Jepun. Akhirnya, Kyoungjong Yang telah dibebaskan pada Mei 1945 tanpa seberang pertuduhan.

Kyoungjong Yang akhirnya berpindah ke Amerika Syarikat. Beliau menetap di Illinois, berdekatan dengan Northwestern University sehinggalah beliau menghembuskan nafasnya pada 7 April 1992. Kyoungjong Yang hidup sebagai orang biasa di Amerika Syarikat tanpa menceritakan kisah hidupnya kepada 3 orang anaknya, sehinggalah sebelum beliau meninggal dunia.

Satu kisah hidup yang agak hebat bagi aku.  Kyoungjong Yang menempuh pelbagai jenis peperangan dan berperang bersama beberapa pihak tentera. Bagi aku, ini satu pencapaian hidup yang hebat bagi seorang tentera. Namun, Kyoungjong Yang lebih gemar hidup dalam keadaan sederhana tanpa menghebahkan kisah hidupnya yang hebat itu.

Semoga siapa yang sudah menonton My Way dan tertanya-tanya soalan yang sama, diharap persoalan kamu terjawab. Jika ada info tambahan, boleh dikongsikan bersama.

Bila agaknya Malaysia boleh menghasilkan filem perang yang mempunyai tahap yang tinggi seperti ini? Apa cerita filem Bukit Kepong yang dikahabarkan ingin dibuat remake?

2 comments:

Fairuz said...

Cerita ni terbaik! Aku tunggu versi Blu Ray keluar, lepas tu sedut la..hehe...

Amirul (aremierulez) said...

Fairuz:
Yup. Antara filem perang terbaik yang pernah aku tengok.

Satu hari, aku perlu ke rumah kau. Aku nak sedut semua yang ada dalam komputer kau. Hahaha

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...