Belilah Novel Aku!!!!

Monday, May 7, 2012

Sejenak Di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur Ke-31

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur Ke-31 diadakan pada 27 April hingga 6 Mei yang lalu di PWTC. Rasanya ramai yang tahu sebab saban tahun, acara ini menerima ribuan pengunjung. Dikatakan pengunjung tahun ini mencecah 1.8 juta orang.

Bagi aku pula, ini merupakan pertama kali aku menjejakkan kaki ke acara ini. Aku pergi dua kali. Pertama kali pada 28 April dan kali kedua pada hari penutup pesta buku ini, 6 Mei.

Kenapa aku pergi 2 kali? Yang pertama, ada banyak buku pada hari pembukaan acara ini. Kalau pada hari terakhir, mesti banyak buku yang dah habis.

Sebab kedua, pada hari terakhir, banyak booth yang buat diskaun sehabis baik. Harga murah habis. Tak kan aku nak lepaskan peluang macam tu saja kan?

Lagipun, banyak acara menarik pada hari terakhir.


Buku Dari Penulis Indonesia

Dalam banyak-banyak booth di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIBF) kali ini, booth dari Gerakbudaya Enterprise antara booth kegemaran aku. Ini kerana booth tersebut banyak menjual buku-buku hasil oleh penulis dari Indonesia. 

Selain itu, pekerja di booth Gerakbudaya memang jenis yang baca buku. Mereka tahu isi setiap buku yang terjual dan juga latarbelakang penulis buku. Memang terbaik.

Ramai pernah berkata yang buku hasil penulis Indonesia mempunyai kualiti yang tinggi juga. Jadi akhirnya aku dapat juga menjumpai buku dari Indonesia ini.

Aku tak melepaskan peluang untuk mendapatkan beberapa buah buku hasil dari penulis dari seberang. Antara buku yang aku beli ialah Malaysia Macan Asia. Macan membawa maksud harimau.

Buku ini mengisahkan tentang Malaysia dari perspektif orang Indonesia,  termasuk juga hal perkelahian antara 2 negara ini.

Apa yang mengejutkan aku ialah buku-buku dari Indonesia ini lebih murah dari buku terbitan Malaysia. Aku membandingkan buku dari Malaysia yang mempunyai ketebalan yang sama. Buku dari Indonesia berharga RM 16, manakala buku terbitan penulis Malaysia pula hampir mencecah RM 30. Kebanyakan buku dari Indonesia berharga di bawah RM 20.

Adakah harga buku terbitan Malaysia mahal ataupun buku di Indonesia memang murah harganya?

Mungkin pihak kerajaan boleh memikirkan cara supaya buku terbitan di Malaysia boleh dijual lebih murah. Macam mana nak menggalakkan rakyat Malaysia kalau bukunya mahal belaka kan?


Pengajaran Positif

Semasa aku di booth Creative Enterprise, aku ternampak seorang bapa ingin membelikan novel untuk anak remajanya.

"Boleh suggest buku pada saya tak?" Tanya si bapa pada pembantu yang berada di booth tersebut.

"Encik nak buku yang macam mana?" Tanya si pembantu.

"Saya nak bagi kat anak saya. Anak saya perempuan, tingkatan 4. Kalau boleh, ending cerita tu ada pengajaran positif." Terang si bapa.

Pembantu booth tersebut mencadangkan beberapa buah novel bergenrekan cinta.

"Saya tak nak novel cinta. Saya tak nak ajar anak saya bercinta." Terang si bapa.

Aku mendiamkan diri sahaja. Bagi aku, manusia tidak perlu diajar tentang cinta. Sebaik sahaja dilahirkan, seorang anak sudah belajar untuk mencintai ibu dan ayahnya. Novel bergenre cinta sudah pasti tidak akan menjadi medium pertama yang memperkenalkan cinta kepada manusia.

"Kalau macam tu, encik boleh pilih novel dekat rak sana. Semua tu novel thriller." Terang si pembantu.

"Thriller? Kisah pasal apa tu?"

"Kisah pembunuhan.. Kisah penyiasatan..."

"Saya tak nak semua tu. Saya nak yang ada pengajaran positif."

"Tapi ending dia memang ada pengajaran positif.."

"Tapi ada bunuh-bunuh. Saya tak suka. Saya nak yang ada pengajaran positif, tak de cinta, tak de pembunuhan." Terang si bapa lagi.

Kalau aku jadi pembantu booth itu, nak saja aku suruh si bapa beli buku Sang Kancil dan Buaya. Tiada cinta, tiada pembunuhan dan ending yang positif.

Mungkin itu sebabnya aku tak boleh bekerja di kedai buku.


Pelancaran Buku Balada Pyanhabib


Rasanya, siapa yang menyukai sastera dan penulisan pasti kenal siapa Pyanhabib. Kalau tidak pun, kamu pasti ada menonton lakonan Pyanhabib dalam Kembara Seniman Jalanan dan Tak Kisahlah Beb!

Menurut apa yang aku dengar, buku berjudul Balada Pyanhabib merupakan buku pertama beliau yang diterbitkan. Buku ini diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), yang dulu dikenali sebagai Institut Terjemanah Negara Malaysia (ITNM).

"Tiga tahun ITBM perambat saya, suruh buat buku ni." Kata Pyanhabib semasa majlis pelancaran buku beliau.

Buku ini dilancarkan oleh Datuk Mohammad Nor Khalid, yang lebih mesra alam dengan nama Lat, pencipta kartun Lat The Kampong Boy.

Datuk Lat merupakan salah seorang ahli Anak Alam, bersama Pyanhabib. Ramai rakan-rakan Anak Alam seperti Khalid Salleh turut serta semasa pelancaran buku ini.

Ramli Sarip juga turut mendendangkan 3 buah lagu untuk majlis pelancaran Balada Pyanhabib ini. Ramli Sarip dan Pyanhabib sudah lama mengenali antara satu sama lain. Menurut Ramli Sarip, setiap kali bertemu beliau, Pyanhabib akan mengambil gambar bersama.  Kebanyakan lagu puisi Ramli Sarip adalah ciptaan Pyanhabib.

Semasa di pengakhiran lagu Bukan Kerana Nama, Ramli Sarip terus menyanyikan sepotong ayat dari lagu Kamelia, "Gugusan hari-hari..." Penonton semua bersorak kerana menyangka yang Ramli Sarip ingin menyanyikan lagu Kamelia. Rupanya, Ramli Sarip hanya bergurau dan terus menamatkan persembahan sambil ketawa.

Selepas selesai menyanyi, Pyanhabib yang juga berada di atas pentas ketika itu terus memeluk Ramli Sarip. Itulah persahabtan antara mereka berdua. Juga persahabatan antara semua ahli Anak Alam.

Semoga suatu hari nanti, muncul penyair, penyajak dan penulis hebat seperti mereka dari generasi aku nanti.

Sebenarnya banyak lagi acara menarik seperti acara Wawancara Sofa Putih anjuran ITBM tapi cukup sampai di sini sahajalah ulasan aku. Booth kegemaran aku ialah booth Gerakbudaya, Fixi dan ITBM.

Bagi aku yang pertama kali ke pesta buku ini, aku sangat berpuashati dengan acara ini. Semoga acara ini diteruskan ditahun-tahun mendatang.

6 comments:

una berry said...

wah, header baru
susahlah nak cari novel remaja tak ada unsur cinta. sikit2 pun mesti ada macam cinta platonik antara rakan2

Amirul (aremierulez) said...

Una:
Dah lama aku tukar header. Berapa lama kau tak melawat blog aku ni? Hehehe

Tu la. Kalau berunsurkan islamik pun, mesti ada cinta jugak

DOSEFIRE said...

best ke buku pyanhabib ni..buku dia pasal apa?

Amirul (aremierulez) said...

DOSEFIRE:

Himpunan puisi Pyanhabib sepanjang beliau berkarya.

Juga ada gambar-gambar beliau dan rakan-rakan dari zaman beliau muda sampailah sekarang

pinyu pjah said...

Nk pegi tp bajet sibuk ngan keje..tak pegi2sampai sudah..tp xpe..buku yg aku order online dh sampai kat tgan aku..tu kira suke sgt la..=D
Janji aku suka bc buku..

Amirul (aremierulez) said...

Pjah:
Akhirnya... Dapat jugak buku yang kau order.

Enjoy!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...