Belilah Novel Aku!!!!

Monday, July 9, 2012

Cerita Dari Sudut Lain #6: Mengingati Tarikh Penting

"Rasanya, tak jadi nak buat pilihan raya tahun ni. Katanya, nak genapkan 5 tahun. Pilihan Raya Malaysia yang sebelum ni bila ya?" Tanya Kassim kepada Rahim.

"Tak ingatlah aku. Bulan April 2008 kot. Tapi aku tak ingat tarikh betul dia." Jawab Rahim ragu-ragu.

"April? Bukan bulan Mei ke?" Kassim tidak yakin dengan jawapan Rahim.

"Apa pulak April, Mei. Bulan Mac la. 8 Mac 2008. Itu pun korang tak ingat." Fahmi yang sedang asyik membaca surat khabar menyampuk selepas merasa kebijaksanaannya tercabar bila mendengar kawan-kawannya gagal mengingati tarikh pilihan raya tersebut.

"Ye ke? Ish... Aku tak ingat la tarikh-tarikh ni...." Kata Kassim sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.

"Kita kena ingat semua tarikh bersejarah dan tarikh-tarikh penting kat Malaysia ni. Tarikh yang simple macam tu pun kau tak ingat. Tengok macam aku, semua aku ingat." Kata-kata Fahmi berbau riak dan takbur.

"Eleh! Setakat ingat satu tarikh, dah sombong. Cuba kau bacakan tarikh-tarikh penting lain yang kau ingat?" Rahim mencabar.

"UMNO ditubuhkan pada 11 Mei 1946. Parti Perikatan didaftarkan secara rasmi sebagai parti politik pada 30 Oktober 1957. PAS ditubuhkan pada 4 April 1956. Sebelum menggunakan nama PAS, diorang pernah menggunakan nama Parti Orang Muslimin Malaya, ditubuhkan pada 17 Mac 1948. PKR ditubuhkan pada 4 APril 1999."

"Tun Mahathir dilahirkan pada 10 Julai 1925. Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia pada 16 Julai 1981, meletakkan jawatan pada 31 Oktober 2003. Tun Abdul Razak meninggal dunia pada 14 Januari 1976. Anwar Ibrahim dipecat dari jawatan timbalan perdana menteri pada 2 September 1998."

"Balai Polis Bukit Kepung diserang pada 23 Februari 1950. Tentera jepun menyerang Tanah Melayu 8 Disember 1941. Perjanjian Pangkor terjadi pada 20 Januari 1874..."

"OK! Cukup. Kau memang power bab-bab ingat tarikh peristiwa ni. Aku salute kau." Kata Rahim sambil berdiri dan membuat isyarat tabik kepada Fahmi. Kassim juga menganggukkan kepala dan menunjukkan isyarat "bagus" kepada Fahmi. Fahmi kembang hidung sekejap.

Selepas berbual dengan 2 rakan sekerjanya, Fahmi pulang ke rumah. Sudah menjadi tabiat Fahmi, apabila sampai ke rumah, perkara pertama yang akan dibuat ialah melihat apa lauk yang dimasak oleh isterinya.

Fahmi terus menuju ke arah dapur. Dia pun menganggkat tudung saji yang berada di atas meja. Terkejut Fahmi apabila melihat tiada apa yang terhidang di dalam tudung saji tersebut.

"Mah! Oh, Mah! Kenapa kau tak masak hari ni?" Jerit Fahmi. 

Tiada jawapam.

"Mah! Aku tanya ni! Kenapa kau tak masak hari ni?" Jerit Fahmi lagi.

"Mak merajuk la, ayah. Mak tak nak masak." Tiba-tiba, Fazrun, anak Fahmi mencelah.

"Merajuk? Apa jadah nak merajuk pulak ni?"

"Mak kata, ayah tak ingat pun tarikh hari jadi emak. Dah lepas 3 hari dah. Tu yang mak merajuk tu." Jawab Fazrun.

Fahmi menepuk dahinya.

"Haram! Tarikh sejarah Malaysia semua dalam kepala aku. Birthday bini aku sendiri aku lupa."

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...