Belilah Novel Aku!!!!

Thursday, July 5, 2012

Sekilas EURO 2012


EURO 2012 sudah melabuhkan tirai. Seperti yang aku jangka, pasukan Sepanyol muncul juara buat 2 kali berturut-turut dan mencatatkan hattrick dengan memenangi 3 kejohanan besar secara berturut-turut.

Berikut merupakan ringkasan serba sedikit setiap pasukan yang bertanding dalam kejohanan kali ini.


Kumpulan A

Kumpulan A dianggotai oleh tuan rumah Poland, bekas juara Greece, Russia dan Republik Czech. Kumpulan yang nampak kurang menarik perhatian penonton tetapi memberikan peluang cerah buat tuan rumah untuk melangkah jauh dalam kejohanan kali ini.


Poland

Poland muncul sebagai tuan rumah bersama, diberikan harapan untuk melakukan kejutan di dalam kejohanan kali ini.

Harapan diletakkan ke atas trio yang muncul juara Bundesliga bersama Borussia Dortmund, Łukasz Piszczek, Jakub Błaszczykowski dan Robert Lewandowski.

harapan mereka bagaikan menjadi realiti apabila Robert Lewandowski menjadi pemain pertama yang meledakkan gol dalam kejohanan kali ini ketika menentang Greece, tetapi hanya mampu menamatkan perlawana dengan keputusan seri.

Satu lagi keputusan seri menentang Russia dan tewas perlawanan terakhir peringkat kumpulan kepada Republik Czech menyaksikan kisah dongeng mereka berakhir dengan kehampaan.


Greece

Masih membawa reputasi sebagai salah satu negara yang berjaya memenangi kejohanan EURO sebagai pasukan bukan pilihan (selepas Denmark pada tahun 1992), Greece datang dengan harapan mampu pergi jauh dan bukan sekadar menjadi pasukan pelengkap kejohanan.

Berjaya mengelak kekalahan dalam perlawanan pertama menentang tuan rumah, Poland, harapan mereka seakan kabur selepas tewas kepada republik Czech dalam perlawanan kedua.

Kemenangan 1-0 ke atas Russia dalam perlawanan terakhir berjaya membawa mereka ke peringkat suku akhir selepas peraturan best head-to-head yang berjaya memeningkan segelintir peminat sukan diguna pakai.

Greece akhirnya tersembam 4-1 di peringkat suku akhir ketika menentang Jerman, perlawanan yang dibayangi unsur politik antara kedua negara.

Kapten pasukan, Giorgos Karagounis, hanya menjadu penonton ketika pasukannya tewas akibat penggantungan.


Russia

Memulakan kejohanan dengan garang selepas membelasah pasukan Republik Czech 4-1, dengan kapten, Andrei Arshavin, memainkan watak wira dalam perlawana tersebut.

Seri keatas tuan rumah Poland dianggap keputusan biasa sambil mengharapkan mereka mampu sekurangnya seri ke atas Greece.

Tapi nasib malang menimpa mereka. Mereka tewas mengejut keatas greece dan peraturan head-to-head menyaksikan mereka terpaksa meninggalkan kejohanan dengan lebih awal, walaupun midfielder Alan Dzagoev berjaya menjaringkan 3 gol dalam kejohanan tersebut.


Republik Czech

Dianggap akan tersingkir awal selepas dibelasah tanpa belas oleh Russia 4-1 dalam perlawanan pertama, Republik Czech melakukan comeback untuk layak ke suku akhir.

Republik Czech bangkit dengan membenam bekas juara 2004, Greece, 2-1 dan menang perlawanan terakhir menentang tuan rumah Poland, 1-0, dalam perlawanan yang penuh dengan tekanan.

Namun, cabaran Republik Czech tamat di pusingan suku akhir apabila bola tandukan Christiano Ronaldo berjaya menamatkan cabaran mereka.


Kumpulan B

Dianggap kumpulan maut. Dianggotai oleh juara EURO 3 kali, Jerman, Portugal yang mempunyai pemain termahal dunia, Christiano Ronaldo, naib juara Piala Dunia 2010, Belanda dan pasukan yang mampu menghadirkan kejutan, Denmark.


Jerman

Jerman sentiasa menjadi antara pasukan yang diramal menjadi juara. Dipenuhi dengan pemain berbakat, baik pemain senior mahupun pemain muda, Jerman diletakan di dalam kumpulan maut.

Langkah awal Jermana dalam kumpulan maut bermula dengan baik selepas jaringan tunggal Mario Gomez berjaya menundukkan Portugal. Gomez sekali lagi menjadi wira selepas menjaringkan 2 gol, menundukan Belanda 2-1.

Jerman mengakhiri peringkat kumpulan dengan kemenangan 2-1 ke atas Denmark.

Perlawanan suku akhir menentang Greece dibayangi cerita politik dan ekonomi antara 2 negara. Angela Merkel, cansellor negara Jerman, hadir ke stadium untuk memberikan sokongan moral untuk pasukan Jerman. Jerman berjaya meranapkan impian Greece untuk ke separuh akhir dengan kemenangan 4-2.

Final ulangan antara Jerman dan Sepanyol menjadi pilihan ramai. Ramai yang menjangkakan Jerman akan menang menentang Itali pada peringkat separuh akhir. Malangnya, Itali menunjukkan permainan cantik dan Mario Balotelli menjadi wira buat pasukan Itali. Jerman pulang kecewa sekali lagi.


Portugal

Portugal dianggap sebagai pasukan yang hanya bergantung kepada Christiano Ronaldo. Tanpa Ronaldo, pasukan ini tempang. Namun sepanjang kejohanan kali ini, Nani lebih cemerlang dan bermain dengan baik dalam semua perlawanan. Malah, Ronaldo diselar oleh akhbar Portugal sendiri kerana persembahan buruk beliau ketika perlawanan menetang Denmark.

Portugal tumbang 1-0 kepada Jerman dalam perlawanan pembukaan. Portugal menang tipis dalam perlawanan sengit menentang Denmark, 3-2, dengan Ronaldo melepaskan 2 peluang baik yang mungkin boleh memastikan Portugal menang selesa.

Portugal berjaya mengalahkan Belanda dalam perlawana terakhir kumpulan, yang mana ia menjadi perlawanan penentuan kepada kedua pasukan. Portugal menang 2-1, dan akhirnya Ronaldo berjaya mempamerkan bisanya.

Portugal menang tipis 1-0 ke atas Republik Czech, sekali lagi gol dijaringkan oleh Ronaldo. Portugal layak ke separuh akhir dan berdepan dengan musuh tradisi, Sepanyol.

Portugal tumbang kepada Sepanyol selepas terikat 0-0 dalam 90 minit. Ronaldo tidak sempat mengambil tendangan penalti ke-5 kerana Bruno Alves terlepas tendangan ke-4 dan Fabregas berjaya menyempurnakan penalti terakhir Sepanyol.

Ronaldo diselar oleh media kerana tidak ingin mengambil tendangan penalti dengan lebih awal. Ronaldo mendakwa jurulatih Portugal, Paulo Bento, yang menyuruhnya mengambil tendangan terakhir. Rakan sepasukan, Nani, pula mendakwan Ronaldo memaksa Bento supaya menyenaraikan namanya sebagai penyepak ke-5 supaya dia boleh menjadi wira kemenangan ke atas Sepanyol.

Mana satu yang benar, itu tidak dapat dipastikan. Namun yang nyata, Portugal sekali lagi menjadi pasukan yang gagal memenangi kejohanan.


Denmark

Diletakkan sebagai pasukan yang tidak mempunyai harapan untuk melangkah jauh, Denmark mengejutkan semua pengkritik apabila berjaya menundukkan Belanda 1-0 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B.

Denmark sekali lagi menunjukkan persembahan cemerlang apabila mereka berjaya mendesak Portugal walaupun akhirnya tewas 3-2.

Denmark mengakhiri kempen kejohanan kali ini dengan kekalahan 2-1 ke atas Jerman.

Tiada apa yang menarik mengenai pasukan Denmark kecuali Nicklas Bendtner yang didenda kerana menayangkan seluar dalamnya yang tertera nama syarikat perjudian yang menaja beliau. Yang peliknya, jumlah denda yang ditanggung Nicklas Bendtner lebih besar dari kesalahan yang berkaitan dengan perkauman.


Belanda

Datang dengan reputasi besar selaku naib juara Piala Dunia 2010, Belanda akhirnya menjadi bahan kritikan dan jenaka sepanjang kejohanan kali ini.

Skuad yang mempunyai penjaring terbanyak Liga Inggeris (Robin Van Persie) dan penjaring terbanyak Liga Jerman (Klaas-Jan Huntelaar) pulang dengan hanya melakukan 2 jaringan gol dan tanpa sebarang mata.

belanda tewas mengejut 1-0 ke atas Denmark dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B. Nasib malang mereka berterusan selepas mereka tewas dengan Jerman 2-1.

Belanda perlu menang dalam perlawanan terakhir menentang Portugal untuk melayakkan diri secara matematik, namun mereka tewas 2-1, kedua-dua gol hasil jaringan Ronaldo.


Kumpulan C

Kumpulan yang dianggotai oleh Juara Piala Dunia 2006, Itali, dan Juara Piala Dunia 2010, Sepanyol. Ireland dilihat sebagai pelengkap jadual manakala Croatia mungkin boleh mencipta kejutan dalam kumpulan ini.


Sepanyol

Sepanyol datang dengan reputasi sebagai juara bertahan EURO2008 dan juga juara Piala Dunia 2010. Sepanyol diletakkan sebagai pasukan pilihan untuk mengekalkan kejuaraan.

Vicente del Bosque melakukan satu taktikal kontroversi apabila tidak menurunkan penyerang dalam kesebelasan utamanya.

Vicente del Bosque dikiritik hebat kerana menggunakan formasi tersebut dan akhbar mendakwa mereka sepatutnya boleh menang ketika menentang Itali dalam perlawanan pembukaan Kumpulan C, hanya berkesudahan 1-1.

Vicente del Bosque akur, lalu menurunkan Fernando Torres ketika menentang Republik Ireland. Torres membalas kepercayaan del Bosque dengan menjaringkan 2 gol. Perlawanan tersebut berkesudahan dengan kemenangan 4-0.

Torres menunjukkan persembahan hambar dalam perlawanan ketiga ketika menentang Croatia. Torres dikeluarkan pada minit ke-61, digantikan dengan pemain sayap, Jesus Navas, yang akhirnya menjaringkan gol  tunggal kemenangan Sepanyol dalam perlawanan tersebut.

Persembahan buruk Torres mendorong del Bosque untuk tidak menurunkan sebarang penyerang dalam perlawanan suku akhir menentang Perancis. Sepanyol menang 2-0, terima kasih kepada Xabi Alonso yang berjaya menjaringkan kedua-dua gol.

Sepanyol berjaya dikekang oleh Portugal sehingga ke penentuan penalti. Ego Ronaldo yang ingin menjadi wira dan mengambil sepakan penalti terakhir Portugal memakan dirinya, dan Sepanyol layak ke perlawanan akhir. Lawan yang menanti mereka di final ialah pasukan Itali.

Pada perlawanan akhir, Sepanyol menunjukkan keupayaan kenapa mereka berjaya memenangi EURO 2008 dan World Cup 2010. Sepanyol bermain dengan sangat baik dan berjaya mendominasi perlawanan ketika menentang Itali dalam perlawanan akhir.

Bahagian tengah Itali gagal berfungsi dengan baik selepas pasukan Sepanyol menggunakan taktik hantaran pendek untuk mematikan langkah pemain Itali.

David Silva membuka tirai jaringan dengan tandukan, hasil hantaran Cesc Fabregas. Pertahanan kiri, Jordi Alba, menjaringkan gol kedua Sepanyol.

Masih ingat gol fernando Torres semasa final EURO 2008? Xavi menghantar bola kepada Torres sebelum Torres meledakkan gol melepasi penjaga gol Jerman. Skrip sama berulang lagi. Xavi sekali lagi menjadi penyumbang dengan melorongkan bola kepada Torres yang masuk selaku pemain gantian dan menjaringkan gol ketiga Sepanyol.

Juan Mata masuk sebagai pemain gantian dan 1 minit 14 saat kemudian, beliau menerima bola umpanan Torres dan menjaringkan gol keempat Sepanyol. 4-0 keputusan penuh.

Sepanyol berjaya mempertahankan kejuaraan EURO, negara pertama yang melakukannya. Sepanyol juga menjadi negara pertama yang memenangi 3 kejohann besar (EURO 2008, World Cup 2010, EURO 2012) secara berturut-turut.

Dan generasi emas Sepanyol ini pasti akan mengganas di Brazil 2 tahun lagi.


Itali

Sama seperti kejohanan Piala Dunia 2006, Itali sekali lagi dilanda masalah rasuah bola sepak sebelum perlawanan bermula.

Keupyaan Itali diragui setelah mereka tewas kesemua perlawanan persahabatan yang dilangsungkan sebelum bermulanya kejohanan. Namun, Itali menunjukan persembahan yang memberangsangkan dengan mengikat Sepanyol dalam perlawanan pembukaan kumpulan C.

Itali seri 1-1 dengan Croatia ketika perlawana kedua dan memaksa Itali untuk menang dalam perlawanan terakhir dan mengharap Croatia tewas ke atas Sepanyol. Hajat mereka tercapai apabila mereka berjaya menundukkan Republik Ireland 2-0, dengan Mario Balotelli akhirnya berjaya menjaringkan gol, dan Croatia tewas ke atas Sepanyol.

Itali bertemu England dalam perlawanan peringakt suku akhir. Itali menguasai perlawanan namun ketumpulan jentera serangan menyebabkan perlawanan terpaksa ditentukan dengan sepakan penalti selepas perlawanan berkesudahan 0-0.

Andrea Pirlo melakukan sepakan penalti yang menarik dan England sekali lagi terjerumus dalam badi penentuan penalti.

Separuh akhir menemukan Itali dengan Jerman, dengan Jerman sebagai pasukan piliham untuk melangkah ke perlawanan akhir.

Tetapi, bola itu bulat. Itali berjaya mengusai perlawanan dan 2 gol Balotelli pada separuh masa pertama sudah cukup untuk menafikan Jerman ke perlawanan akhir.

Itali dibayangi insiden Piala Dunia 2006, dilanda dengan rasuah tapi mampu memenangi kejohana tersebut. Tetapi, Sepanyol terlampau kuat untuk Itali. Itali terpaksa akur dengan kekalahan 4-0. Kesilapan jurulatih, Cesare Prandelli, yang mengeluarkan Riccardo Montolivo dan menggantikan dengan Thiago Motta yang tidak cergas, akhirnya memakan diri.


Croatia

Croatia bermula garang, dengan membenam Republik Ireland 3-1, dengan Mario Mandžukić menjaringkan 2 gol. Croatia kemudian berjaya mengikat Itali dalam perlawanan kedua, 1-1.

Croatia menentang Sepanyol dalam perlawanan terakhir, dengan mengharapkan mereka berjaya mengalahkan Sepanyol dan Itali sekurangnya terikat dengan Ireland.

Croatia mengusai perlawanan ketika menentang Sepanyol. Malah, Croatia lebih banyak menyerang dan membuat percubaan merbahaya ke arah gawang Sepanyol. Kecekapan penjaga gol Sepanyol, Iker Casillas, menafikan semua percubaan tersebut.

Akhirnya, gol Jesus Navas pada minit ke-88 telah meranapkan impian Croatia. Dengan Itali berjaya menumbangkan Republik Ireland 2-0, impian Croatia untuk pergi jauh dalam kejohanan kali ini pun berkubur.


Republik Ireland

Tidak banyak yang kita boleh ceritakan mengenai pasukan ini. Kali terakhir pasukan ini melayakan diri ke kejohanan besar ialah pada Piala Dunia 2012 di Korea dan Jepun.

Republik Ireland tewas 3-1 dalam perlawanan pertama menentang Croatia. Kemudian, mereka dibelasah Sepanyol 4-0 sebelum tewas 2-0 ke atas Itali.

Hanya menjaringkan 1 gol dalam 3 perlawanan, tiada apa yang boleh diceritakan tentang pasukan ini. Oh ya, Ireland mencatat penyokong paling ramai yang hadir dalam pertandingan ini.

Ok, sudah tiada apa yang perlu diceritakan.


Kumpulan D

Apabila pasukan England berada dalam sesuatu kumpulan, maka kumpulan itu akan menjadi tumpuan. Englan terkenal dengan liga bola sepaknya yang bermutu tinggi, tetapi pasukan kebangsaan mereka sering mengecewakan. Kumpulan ini dilengkapkan dengan kehadiran Perancis, Sweden - boogie team bagi England, dan tuan rumah bersama Ukraine.


England

England hadir dengan jurulatih yang dilantik pada 1 Mei 2012, Roy Hodgson. Hodgson hanya berpeluang mengemudi pasukan tersebut dalam 2 perlawanan persahabatan sebelum bermulanya EURO 2012.

England menentang Perancis dalam perlawanan pembukaan menentang Perancis. Perlawanan berakhir 1-1. Hodgson menyifatkan mereka 'bernasib baik' kerana mampu mengikat Perancis walaupun bermain dengan kurang baik.

England menunjukkan persembahan bermutu apabila mereka berjaya membenam musuh tradisi yang sukar mereka tewaskan, Sweden, dengan jaringan 3-2. Persembahan Steven Gerrard dibahagian tengah yang bergandingan dengan Scott Parker berjaya mengawal bahagian tengah dengan baik dan Theo Walcott menjadi pemain gantian yang memberikan impak dalam perlawanan tersebut.

Wayne Rooney akhirnya membuat penampilan yang dinanti-nantikan oleh peminat England. Rooney menjaringkan gol tunggal kemenangan England. Namun, perlawanan tersebut diselubungi dengan kontroversi apabila gol Ukraine yang melepasi garis gol, tidak dikira.


Perancis

Perancis datang dengan misi membaik pulih nama pasukan kebangsaan di mata peminat mereka. Karim Benzema datang sebagai antara penyerang terbaik Eropah.

Bermula dengan seri dengan England 1-1, Perancis dilihat mempunyai potensi untuk pergi jauh dalam kejohanan kali ini. Kenyataan ini dikukuhkan lagi apabila mereka berjaya menewaskan Ukraine 2-0 dalam perlawanan kedua.

Namun, perlawanan ketika menjadi titik perubahan skuad Perancis. Mereka tewas 2-0 kepada Sweden. Perancis bernasib baik layak ke peringkat suku akhir apabila Ukraine tewas ditangan England.

Perkara yang sama terjadi lagi. Pergaduhan di dalam kem Perancis meletus. Ego pemain gagal dibendung. Akhirnya, Perancis tewas 2-0 ke atas Sepanyol dan sekali menjadi bahan kecaman di dada akhbar negara mereka.


Sweden

Menjadikan Zlatan Ibrahimovic sebagai pemain yang mampu membawa mereka ke peringkat suku akhir, Sweden sekali lagi gagal menyerlah.

Sweden dikejutkan oleh tuan rumah, Ukraine, 2-1 walaupun mendahului perlawanan. Luka Sweden semakin parah apabila mereka tewas kepada musuh tradisi, England, 3-2, walaupun pada seketikanya mendahului pasukan tersebut.

Selepas tewas 2 perlawanan, perlawanan ketiga sudah tidak membawa erti buat Sweden. Namun mereka mampu menghadirkan kejutan dan tidak pulang dengan tangan kosong apabila berjaya menewaskan Perancis 2-0.


Ukraine

Tuan rumah Ukraine, mempunyai misi sekurang-kurangnya layak ke pusingan suku akhir. Ukraine meletakkan kuda tua, Andriy Shevchenko, sebagai pertaruhan untuk menjulang nama negara.

Andriy Shevchenko membalas kepercayaan jurulatih apabila mejaringkan 2 gol untuk membenam Sweden 2-1. Namun, kekalahan ke atas Perancis, 2-0, membuatkan peminat mula ragu-ragu dengan misi mereka.

Perlawanan akhir menentang England menjadi titik tolak buat mereka. Ukraine bermain dengan cemerlang namun akhirnya tewas 1-0 di tangan England.

Namun perlawanan tersebut tidak terlepas dari kontroversi. Ukraine sepatutnya dianugerah dengan 1 gol apabila bola melepasi garis gol England, namun tidak dilihat oleh penjaga garisan yang betul-betul berada disebelah gol. Ukraine akhirnya tersingkir.

===========

Begitulah serba sedikit ulasan aku yang sudah agak terlambat. Jumpa 2 tahun lagi di Brazil!

Surat cabaran Neymar kepada Iniesta (atau SMS cabaran mungkin lebih tepat).



6 comments:

pinyu pjah said...

Aku xlarat nk baca post kali..sory bro..hehe..kepala pusing..

Fairuz said...

Kau patut akhiri entry ni dengan senarai ranking terkini jugak..

Amirul (aremierulez) said...

Pjah:
Haha.. kau mesti tak minat bola kan?


Fairuz:
Sebenarnya... Ak udah malas nak taip panjang-panjang. Hahaha

Anonymous said...

lebih darinsekilas ni abg am, hehe.

nway ada typo cket. portugal jd portugak, hee.

-Faradyba

Anonymous said...

hehehe..kau salah la bro..aku tak larat nk baca post kali ni sbb aku demam la..kpala aku xlarut nk tgok tulisan byak2..tp part sepanyol memang aku baca..ehehe..la roja espana..whewhewhe..

bro..pe kata ko buat 1 entry sal pepuan yang tak tau pasal bola tapi tiba2 leh concern sgt pasal bola sampaikan messi tetiba leh join main euro..mcm mana tu..aduiya..

-pjah =p

Amirul (aremierulez) said...

Fara:
Haha... Ini kira macam ulasan penuh la, walaupun asalnya nak buat simple2 je.

Typo tu terjadi sebab dah leti hsangat taip panjang-panjang

Pjah:
AKu macam tau siapa yang kau maksudkan. Hahaha

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...