Belilah Novel Aku!!!!

Wednesday, August 29, 2012

Memandu Kereta Dengan Budak Umur 6 Tahun Sebagai Penumpang

Hari itu, aku bawa kereta. Penumpang aku adalah ayah aku yang duduk di tempat duduk belakang dan anak saudara aku yang berumur 6 tahun yang duduk di tempat duduk hadapan.

Memang sudah menjadi kebiasaan, anak saudara aku akan duduk di tempat duduk hadapan kalau dia naik kereta aku.

Tengah aku bawa kereta, sampailah aku ke satu simpang. Simpang tersebut memang tiada trafic light, jadi aku pun terpaksalah menunggu sampai jalan betul-betul clear, baru aku boleh jalan. Kebetulan jalan tersebut memanglah sesak, jadi memang ambil masa sikitlah kalau nak keluar dari simpang itu.

Ada satu kereta dekat belakang sudah hon-hon aku. Tapi bukanlah lama sangat aku tersangkut dengan simpang itu. Tak sampai seminit pun. Tapi kereta belakang aku dah hon-hon aku macam aku dah tersangkut dekat situ sebulan dua pulak.

Aku pun memaki secara sendiri, "Sambarlah. Kereta banyak ni, celaka!"

Tiba-tiba anak saudara aku tanya, "Siapa yang celaka tu, uncle?"

Bapak aku dekat belakang dah bantai gelak. Aku memekakan diri, buat tak dengar dan tak berminat nak menjawab soalan anak saudara aku itu.

Pengajarannya, jangan mencarut ketika memandu bersama budak kecil atau anak-anak kamu. Kelak dia akan belajar segala carutan tersebut dari kamu.

Sekian.

Wednesday, August 15, 2012

Lagu Hari Raya Dari Artis Generasi Baru

Bila bercerita tentang lagu raya, lagu raya yang menjadi pilihan ramai biasanya ialah lagu raya lama. Kata orang, lagu raya lama lebih evergreen, lebih menyentuh perasaan, lebih menusuk kalbu, dan berbagai-bagai lebih lagilah.

Lagu raya baru agak sukar diterima masyarakat. Bukan langsung tiada lagu baru yang boleh diterima, tapi tak banyak.

Lagu raya baru yang menjadi kegemaran adalah lagu raya dari M.Nasir (Satu Hari Di Hari Raya & Salam Hari Raya), Siti Nurhaliza (Sesuci Lebaran), Awie dan Ziana Zain (Halaman Asmara, walaupun kadang aku rasa lagu ini bukan lagu raya), Amy Mastura (Setahun Sekali), Mamat Exist (Ku Pohon Restu Ayah Bonda) dan beberapa lagu lain.

Dan dalam tempoh 2-3 tahun yang lepas, beberapa artis generasi baru (yang popular melalui Youtube dan dari scene Indie) mula mengorak langkah dengan menghasilkan lagu raya dengan irama yang lain dari yang lain, iaitu irama yang lebih menyerupai melodi lagu yang sering mereka nyanyikan.


Ana Raffali mencuba nasib dengan menulis lagu rayanya sendiri. Masa pertama kali dengar lagu ini, aku tergelak juga. Ramai yang bagi komen negatif pada lagu ini. Bagi aku lagu ini bukanlah teruk sangat, cuma kurang aura raya nya sahaja.

Lagu ini agak jarang keluar di radio tahuin ini. Kalau kamu rasa mahu dengar lagu ini, boleh pergi berkunjung ke Tesco. Ana Raffali dipilih sebagai salah seorang duta Tesco untuk kempen hari raya mereka tahun ini.



Yuna juga ada mencuba nasib. Lagu yang memang kalau kita dengar minus-one lagu ini sahaja pun kita sudah boleh agak ini lagu Yuna.

Lagu Yuna ini lebih baik dari lagu Ana Raffali. Tapi tajuknya yang agak urban menyebabkan golongan old timer agak kurang menerima lagu ini.



Oleh kerana kebanyakan artis baru membuat lagu raya dengan mood yang happy, Bittersweet membuat kelainan dengan membuat lagu raya dengan mood yang agak sedih.

Lagu ini mengisahkan tentang anak-anak yang tidak pulang ke kampung semasa hari raya dan membiarkan ibu mereka menyambut hari raya berseorangan di kampung.


Manusia menjalin hubungan dan cita
Ditentu oleh Maha Esa Yang Maha Kuasa
Yang mencipta detik indah antara kita
Hati sedih hilang gembira jika tiada di pagi raya

Bilal melaungkan takbir
Langsung janji aku mungkir
Diriku tak hadir
Pabila syawal menjelang hari yang dahulu tenang
Kini semakin menghilang 
Harus ku tabahkan hati
Hadapi next Aidilfitri

Manusia menjalin hubungan dan cita
Ditentu oleh Maha Esa Yang Maha Kuasa
Yang mencipta detik indah antara kita
Hati sedih hilang gembira bila kau tiada di pagi raya

Bilal melaungkan takbir
Langsung janji aku mungkir
Diriku tak hadir
Pabila syawal menjelang hari yang dahulu tenang
Kini semakin menghilang 
Oh Tuhan tabahkan hatiku
Hadapi next Aidilfitri



Dengan rentak lagu yang berbunyi sedikit retro dan lirik yang boleh dikatakan agak mendalam, lagu ini antara lagu baru yang aku boleh terima.

Tapi part "Next Aidilfitri" memang potong sikitlah.

Selamat Hari Raya Aidilfitri buat pembaca blog Warmness On The Soul. Aku ingin memohon maaf jika ada penulisan aku yang menyinggung perasaan para pembaca. Semoga hari raya ini memberikan seribu pengertian buat semua yang menyambutnya.

Monday, August 13, 2012

(Jiwa Sejuk) WOTS TOP TEN LIST: 10 Tanda Hari Raya Aidilfitri Semakin Hampir


Ini adalah entri yang aku pernah publish pada tahun lepas, dan hari ini aku publish balik. Kira macam siaran ulangan yang selalu Astro buat. Astro yang selalu kamu bayar buat siaran ulangan pun kamu tak marah, tak kan blog yang kamu baca percuma ni kamu nak melenting pulak kan?

Jadi aku memperkenalkan segmen Jiwa Sejuk, di mana aku akan mem-publish-kan semula entri lama atas alasan: (1) Writer's block,  tiada bahan untuk ditaip atau aku agak sibuk (2) Entri ini ada kaitan dengan hari perayaan atau memperingati sesuatu kejadian (3) Ada idea tambahan yang timbul dan ingin aku selitkan kembali pada entri ini (4) Suka hati akulah nak publish balik entri lama, ini blog aku.

Tapi jangan risau, aku ubah sikit (atau banyak) entri ini berbanding yang lepas supaya orang yang pernah baca entri ini tidak rasa tertipu sangat dan lebih update dengan isu semasa.

==========


Hari ini, sudah 13 Ogos 2012. Ini juga bermakna kita sudah 24 hari berpuasa. Tinggal lagi 5 hari lagi untuk kita menyambut hari kemenangan buat semua umat Islam (yang berpuasa), iatu Hari Raya Aidilfitri.

Bahang untuk menyambut hari raya semakin dirasai. Kanak-kanak tidak sabar kerana mereka bakal menerima sejumlah duit raya. Sang isteri tak sabar mahu melihat rumah dengan perabot baru yang dibeli sempena hari raya, dan sang suami pula hilang sabar melihat dompet yang menipis menjelang raya.

Hari ini, mari kita lihat tanda-tanda yang kita akan nampak apabila hari raya semakin hampir. Biasanya tanda ini akan lebih jelas kita akan nampak pada hari Isnin yang akan datang ini.


WOTS TOP TEN LIST: 10 Tanda Hari Raya Aidilfitri Semakin Hampir


10. Kita menerima kad raya/SMS raya

Kalau zaman dulu, menerima kad raya adalah sesuatu yang kebiasaan. Jumlah kad raya yang diterima akan menjadi ukuran tahap populariti seseorang. Semakin banyak, semakin kembang hidung.

Tapi di zaman moden ini, kad raya bukan satu benda yang relevan lagi. Kad raya kini diganti dengan SMS. Kadang-kadang jadi sesak juga. Bila terlampau banyak SMS diterima, inbox akan penuh. Kena jugalah delete SMS-SMS tersebut.


9. Berita budak putus jari akibat mercun buatan sendiri menghiasi dada akhbar (muka hadapan jika kamu baca Metro)

Yang ini aku paling tak faham. Tiap-tiap tahun akan keluar berita macam ini, tapi budak-budak macam tak belajar dari pengajaran. Bila sudah putus jari, baru buat muka kesian. Mintak simpati. 

Come on, kids. Jangan buat sesuatu yang budak tahun lepas gagal buat. Mercun buatan sendiri adalah suatu yang kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah tidak akan berjaya buat. Ingat pesan abang ini ya adik-adik sekalian!


8. Ops Sikap yang ke berapa juta entah akan dimulakan

Ops Sikap, suatu benda yang pasti kita akan dengar setiap tahun. Bukan setakat semasa hari raya, masa krismas, masa tahun Baru Cina, pun ada Ops Sikap.

Cuima aku kurang faham apa fungsi Ops Sikap. Adakah Ops Sikap adalah ops untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya sempena hari kerayaan, ataupun ops untuk mengira berapa jumlah orang yang terkorban di jalan raya? 

Kerana setiap tahun, jumlah korban semakin meningkat, dan aku rasa definasi Ops Sikap lebih dekat dengan definasi mengira jumlah mangsa korban jalan raya dari mengurangkan jumlahnya.


7. Saf  Sembahyang Terawikh tinggal satu saf

Rasanya, aku tidak perlu menerangkan apakah sebab perkara ini terjadi? Semua orang pun tahu apa sebabnya bukan?

Makin lama, jemaah semakin malas. Jangan sampai tinggal imam dengan bilal saja yang buat terawikh pulak.


6. Jualan murah di sana-sini

Setiap kali musim perayaan, pasar raya akan mengambil kesempatan untuk membuat jualan murah. Tidak kiralah samada jualan murah yang betul, atau jualan murah yang memperdayakan pengguna.

Oleh kerana Hari Raya Aidilfitri adalah perayaan yang paling besar di sambut di Malaysia, promosi jualan murahnya juga kadangkala lebih unik sehingga menyebabkan Mak Besah yang sudah ada 7 pasang baju raya juga bakal turun untuk bertempur dalam promosi jualan murah tersebut


5. Lagu raya mula berkumandang di radio

Tidak terasa bahang hari raya tanpa kehadiran lagu raya. Kombinasi lagu raya lama yang masih evergreen sehingga sekarang dan lagu raya baru (yang banyak mengarut dari yang menarik). akan keudara di radio, menaikkan semangat kita untuk menyambut hari raya.

Dekat office aku, lagu raya sudah dipasang 2 hari sebelum puasa. Jadi, aku kini dalam fasa muak mendengar lagu raya. Aku sedang menunggu satu lagi benda muncul di kaca TV iaitu....


4. Iklan raya mula menghiasi kaca TV

Ya! Iklan raya! Setiap tahun, syarikat-syarikat di Malaysia akan berlumba-lumba mengeluarkan iklan raya yang menarik dan mampu meninggalkan mesej kepada penonton yang melihatnya.

Semenjak kemunculan iklan raya Petronas (yang mana kebanyakannya ialah hasil karya Arwah Yasmin Ahmad) yang menonjolkan iklan raya bermesej, syarikat-syarikat lain juga mula mengikut jejak langkah untuk membuat iklan yang mempunyai mesej juga.

Semenjak pemergian Yasmin Ahmad, iklan petronas sudah hilang "kick", dan semenjak itu, iklan raya TM bagaikan menjadi iklan raya terbaik menggantikan iklan Petronas.


3. Kawasan Jalan Masjid Jamek mula dipenuhi manusia secara maksimum, tidak kira hari berkerja atau hari cuti

Ini biasanya timbul bahana dari shopping raya last minute. Ada pro dan contra bagi yang bershopping last minute.

Contra, terpaksa bersesak dengan orang yang ramai dan kemungkinan stok pakaian yang ingin dibeli sudah habis.

Pro, barangan dia jual dengan harga yang murah. Jualan penghabisan stok. Lagi-lagi kuih raya yang kena lelong pada malam raya. Murah gila!


2. Banner Selamat Hari Raya berserta gambar wakil rakyat yang tidak pernah pun melawat kawasan mula digantung

Ini adalah perkara paling wajib dilakukan oleh ahli politik, tidak kira part kerajaan atau pembangkang, lakukan untuk membeli jiwa rakyat.

Teknik ini kadang-kadang bejaya membutakan mata rakyat. Walaupun wakil rakyat tersebut tidak pernah datang melawat kawasan, dengan hanya meletakkan banner tersebut, rakyat terus terpedaya dan berkata, "Bagus betul wakil rakyat kita. Sanggup buat banner dan gantung untuk tatapan rakyat marhaen macam kita ni."

Yeah, right!


1. Bila kita rasa duduk dekat office pun sudah tidak ada makna lagi

Kepala asyik ingat cuti, raya dan kampung. Dah tak de nak fikir pasal kerja lagi. Hari raya berjaya mengatasi semuanya, termasuk bebelan daripada boss anda.

=============

Ok. Sampai di sini sahaja. nak ucap Selamat Hari raya, macam awal lagi. Lain kalilah aku ucap.

Friday, August 10, 2012

Pemakaian Samping dan Kahwin


Kalau kamu nak percaya apa yang dia cakap, terpulanglah. Tapi bagi aku, inilah benda paling lawak pernah aku baca sepanjang aku bulan Ramadan.

Aku tak pastilah kalau ini memang betul-betul adat orang Melayu zaman dulu, tapi bagi aku benda ini memang dah tak boleh pakai.

Sekarang, semua orang nak berfesyen. Cara mereka pakai samping memang ikut suka sahaja. Dah tak mengikut adat lagi. Jangan tak percaya pulak bila aku kata ada sesetengah perempuan pakai tudung pun kerana fesyen, bukan sebab hukum agama (aku pernah jumpa orang macam ini).

Aku selalu pakai samping lepas dari lutut. Kenapa? Sebab samping aku agak besar. Tiada kena mengena samada dah kahwin atau bujang.

Tapi aku yakin, orang Melayu cepat percaya benda-benda macam ini. Kalau tidak, kenapa majalah mengarut macam Mastika laku dipasaran, dan kalau tidak kenapa entri tentang Hitler menyokong Islam dan budak beranak anak tikus lagu sahaja di share di Facebook satu masa dulu.

Aku yakin, semua kaum isteri akan perhati habis-habis cara pemakaian samping tahun ini.

Dan si suami boleh juga troll si isteri dengan memakai samping singkat di pagi raya tahun ini, lagi-lagi kalau si suami kena balik ke kampung si isteri tahun ini.

Wednesday, August 8, 2012

Soalan Yang Sering Kita Dengar Menjelang Hari Raya

Raya sudah semakin hampir. Hari Ahad minggu depan sudah pun raya. Rasa macam sekejap sahaja kita berpuasa (ayat klise).

Bila sudah hampir raya, pelbagai soalan keluar dari mulut masing-masing. Baju raya dah siap? Berapa hari cuti raya? Bila nak beraya rumah aku? Bila nak buat open house?

Berikut adalah beberapa soalan yang yang popular bila menjelang hari raya:


Baju raya warna apa tahun ni?

Biasanya soalan ini disoal oleh kaum wanita, kepada kaum wanita atau lelaki. Jarang rasanya kaum lelaki nak tanya soalan ini kepada kawan mereka. Ada tu, memang adalah lelaki tanya soalan ini. Tapi soalan ini biasanya dijadikan sebagai conversation starter dan mereka tak ambik serius dengan jawapan tersebut. 

Jika kaum wanita yang menyoal soalan ini, selepas mendapat jawapan mereka akan menyusul dengan soalan di bawah pula....


Berapa pasang baju raya tahun ni?

Soalan ini ditanyakan untuk memastikan berapa banyak baju raya kawan/pesaing mereka tempah. 

Si penyoal biasanya akan merasa sentap jika mereka rasa mereka sudah cukup banyak tempah baju, tapi tiba-tiba kawannya pula tempah lagi banyak.

"Aku tempah 5 pasang baju tahun ni. Kau tempah berapa pasang baju tahun ni, Esah?" Tanya Kamariah

"Tak banyak. 7 pasang saja."

Maka Kamariah pun rasa sentap dan terus berbuka puasa kerana terlampau sentap.


Berapa hari cuti raya tahun ni?

Biasanya, soalan ini ditanyakan kepada mereka yang berkerja di syarikat swasta dan bekerja dalam bidang operasi. Kerja kerajaan, confirm dapat cutilah (kecuali polis, askar dan sewaktu dengannya).

Kalau dengan pantasnya mereka menjawab soalan ini, maka memang confirm dia dapat cuti.

Tapi kalau mereka tidak menjawab soalan ini dan air muka mereka juga berubah, maka jangan tanya soalan yang sama kepada beliau. Kelak kamu bakal berbuka awal dengan kaki atau penumbuk beliau.


Raya tahun ni balik mana?

Kalau soalan ini ditanya kepada orang bujang, dengan mudah dia akan menjawab nama kampung halamannya.

Dan kalau ditanya kepada orang kahwin, ini bakal menjadi mood changer.

Jika suami dan isteri menggunakan sistem penggiliran yang betul, mungkin soalan ini mungkin tidak akan menjadi hal. 

Tapi jika sistem penggiliran telah korup dan dikhianati, dan si isteri asyik menggunakan perisai air mata untuk memujuk suami pulang beraya ke kampungnya buat kali ke-4 berturut-turut, maka soalan ini mungkin dibiarkan tanpa jawapan. Macam kau tak dapat jawap soalan matematik tambahan masa SPM dulu.


Dah tukar duit raya dengan duit baru tak?

Soalan yang agak popular tahun ini.

Umum semua sudah mengetahui yang Bank Negara ada mengeluarkan note duit kertas yang baru tahun ini. Dan ia dikeluarkan betul-betul hampir dengan waktu hari raya. 

Walaupun ramai yang complain yang duit baru ini seakan duit Saidina atau duit sembahyang cina (no offense), tapi masih ramai yang berebut nak kan duit baru.

Dan soalan ini menjadi agak hip sekarang, dimana semua orang berebut nak tukar duit baru. Kalau dapat duit kertas yang lama, rasa tak puas hati. 

Kadang aku pun rasa pelik, kenapa nak sangat duit baru? Sedangkan duit tersebut hendak diberikan kepada orang lain. Pelik sungguh manusia.

Okay. Aku mengaku. Aku pun nak juga duit baru. Aku dah mintak ayah aku tukarkan dah. Hehehe....


Puasa cukup ke tak?

Soalan ini biasanya ditanyakan oleh golongan ayah, pak cik dan atok kepada anak, cucu dan cicitnya yang masih kecil, dalam lingkungan umur sekolah rendah.

Soalan ini ditanya sebagai gurauan. Pernah dengar ayat "kalau puasa tak penuh tak boleh raya" atau "Tak cukup puasa, tak dapat duit raya."? Jadi soalan ini lebih kepada gurauan kepada anak-anak kecil ini.

Tapi jika umur kamu sudah lebih 20 tahun dan mak ayah kamu tanya soalan ini dengan muka serius, kamu memang mempunyai rekod puasa tidak penuh walaupun sudah tua bangka dan masih tidak boleh membeli kepercayaan ibubapa kamu.

Macam mana mak ayah kamu nak percaya kalau tiap kali kamu mandi, mereka asyik terdengar bunyi orang tersedak minum air dalam bilik air setiap kali kamu mandi. Air paip pun jadilah.

Cukup sampai di sini buat masa ini. Aku penat nak menaip panjang-panjang. Maklumlah, puasa kan. Selamat berbuka puasa kepada kawan-kawan yang berpuasa.

Kalau tak dapat cuti raya, anggaplah ia sebagai cubaan....

Friday, August 3, 2012

Aku dan Duit Raya

Duit Raya

Tahun ini merupakan tahun kedua aku tidak akan menerima duit raya. Malahan, tahun ini merupakan tahun kedua aku terpaksa mengeluarkan duit raya.

Tahun lepas, aku tak bagi banyak duit raya untuk sepupu aku. Kalau tak salah, seorang dapat RM5 sahaja. Ke RM 3 ya? Gila apa nak bagi banyak-banyak, aku baru 2 bulan kerja masa tu. Lagipun, budak kecik mana boleh pegang duit banyak-banyak.

Tahun ni mungkin ada peningkatan sikit dari jumlah duit raya yang aku bagi. Tapi tidaklah banyak sangat pun. Almaklumlah, aku kena simpan duit juga, nak kahwin (bila aku dah jumpa calon yang sesuailah). Harap para sepupu semua memahami. Korang jugak yang selalu tanya bila aku nak kahwin kan?


Duit Baru

Sekarang ini sibuk juga orang bercerita pasal duit baru. Semua berebut nak duit baru untuk dijadikan duit raya.

Apa faedah kau beratur berjam-jam nak tukar duit raya, nak dapatkan duit baru tapi lepas tu kau bagi pada orang lain? Lainlah kau nak frame duit baru itu.

Setakat ini aku dah tengok note baru untuk RM1, RM5, RM 10 dan RM 20. Duit nilai yang lebih besar, aku belum pernah tengok.

Ramai juga yang complain pasal duit baru ini. Ada yang kata macam duit Saidina lah. Ada yang kata macam duit yang orang cina guna untuk sembahyang lah.

Bagi aku, rupa duit itu tak penting. Yang penting, aku boleh buat bayar beli murtabak dekat Bazar Ramadhan.


Collection Duit Raya

Collection duit raya paling banyak aku pernah dapat ialah RM 700 lebih. Tahun bila, itu aku tak ingat. Dan kemana arah tuju duit raya itu pun aku dah tak berapa nak ingat.

Ada sekali kawan aku kata, dia pernah collect duit raya sampai RM 2,000 lebih.

Terkejut juga aku. Aku tanya balik, macam mana dia boleh dapat duit raya banyak-banyak.

Jawapan dia mudah:

"Dari saudara mara, aku dapat dalam RM 800 lebih. Yang lain-lain tu, aku beraya rumah orang."

"Dan aku bukan setakat beraya dekat Batu Pahat je. Aku pergi Muar, Kluang, Segamat bagai. Pergi ramai-ramai dengan adik beradik aku dan sepupu. Tu yang dapata banyak tu."

Inilah yang dikatakan opportunistic. Memanupulasikan hari raya untuk mendapat keuntungan besar. Lebih hebat dari MLM ni.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...