Belilah Novel Aku!!!!

Wednesday, September 26, 2012

Lagu Yang Selalu Aku Dengar #10: Dewa 19 - Kasidah Cinta


Segmen 'Lagu yang selalu aku dengar' ini merupakan segmen dimana aku akan memperkenalkan lagu-lagu dari era 80'an, 90'an dan awal era 2000'an (lingkungan tahun 2000 sehingga 2005) kepada generasi baru (Generasi Indie) yang aku rasa tidak pernah mendegar lagu-lagu ini.

Atau mungkin juga aku akan letak lagu-lagu baru, tetapi lagu-lagu ini jarang (atau tidak pernah langsung) diputarkan di radio-radio yang kamu dengar saban hari.

Selain itu, segment ini juga akan memberikan sedikit info tentang lagu yang dipilih seperti erti lirik lagu tersebut, bagaimana lagu tersebut dihasilkan, fakta menarik tentang lagu tersebut dan lain-lain.

===============


Sudah agak lama aku tak tulis segmen ini dalam blog. Kali terakhir aku tulis pada tahun lepas, 28 Disember 2011, lagu Avenged Sevenfold, So Far Away.

Jadi aku kembalikan semula segmen ini. Yeah!!

Setakat ini, aku belum pernah menampilkan lagu dari artis Malaysia dalam segmen ini. Memang sengaja aku buat begitu. Bagi saspen sikit. Aku akan keluarkan juga lagu tempatan nanti. 

Untuk kali ini, aku ingin mempersembahkan lagu dari salah sebuah band dari seberang, Dewa 19.


Dewa 19 - Kasidah Cinta

Dewa 19 merupakan salah sebuah band yang terkenal di Indonesia. Dewa 19 ditubuhkan pada 1986, semasa aku sendiri baru berumur 2 tahun.

Dewa 19 ditubuhkan oleh Ahmad Dhani. Seperti band-band lain, Dewa 19 juga tidak terkecuali dengan pertukaran ahli kumpulan. Hanya Ahmad Dhani dan Andra Ramadhan yang kekal sehinggalah band ini dibubarkan pada tahun 2011.

Lagu Kasidah Cinta diambil dari album ke-6 mereka, Cintailah Cinta. Album ini merupakan album kedua yang menampilkan Once sebagai penyanyi utama selepas menggantikan Ari Lasso.

Lagu ini tidak sepopular lagu Pupus, Satu, Roman Picisan, Kosong, Risalah Hati dan lain-lain lagu ini. Dan aku rasa lagu ini juga agak jarang (atau mungkin tidak) diputar oleh radio di Malaysia. 

Hanya peminat mereka yang membeli kaset dan CD Dewa 19 sahaja (atau para lanun yang mendownload) sahaja yang mendengar lagu ini. Ini pandangan akulah sebab ramai kawan-kawan aku yang tak pernah dengar lagu ini.

Kenapa aku suka lagu ini? Dengarkan lagu ini berserta liriknya:


Ku jatuh cinta kepadamu
Saat pertama bertemu
Salahkah aku terlalu mencintai
Dirimu yang tak mungkin mencintai aku
Oh Tuhan tolong

Aku langsung jatuh cinta... kepadamu
Cinta pada pandangan pertama
Cinta yang bisa merubah jalan
Hidupku jadi lebih berarti

Oh mungkin, hanya keajaiban Tuhan
Yang bisa jadikan Hambanya yang cantik
Menjadi milikku


Aku langsung jatuh cinta... kepadamu
Cinta pada pandangan pertama
Cinta yang bisa merubah jalan
Hidupku jadi lebih berarti


Aku bukanlah laki-laki
Yang mudah jatuh hatinya


Lirik lagu ini agak deep. Sangat mendalam. Dengan rentak muzik yang sangat perlahan dan relax, serta suara latar perempuan pada lagu ini, ia membuatkan lagu ini bagai membuai emosi apabila mendengarnya.

Fuh! Lain macam ayat aku ini.

Apa pun, sekarang Dewa 19 sudah tidak ada lagi. Mereka sudah berpecah.

"Saya memutuskan band Dewa itu adalah band nostalgia. Jadi kalau main itu dalam konteks reuni. Kalau pun membuat album lagi adalah dalam bentuk Dewa 19 band nostalgia."

Itulah kenyataan Ahmad Dhani tentang perpecahan band Dewa 19 selepas 25 tahun.

Walaupun band ini sudah tiada, tetapi lagu-lagunya tetap menarik untuk didengari dan mampu membuatkan jiwa melayang.

Fuh! Sekali lagi, lain macam ayat aku.

Monday, September 24, 2012

Terbang Ke Tanah Suci

Pada 19 September 2012, kedua ibu dan ayah aku selamat berangkat ke tanah suci Makkah untuk menunaikan Rukun Islam ke-5, selepas tertangguh selama 2 tahun.

Bagi aku, ini satu momen yang besar dalam sejarah hidup keluarga aku, lebih-lebih lagi selepas satu dugaan besar menimpa keluarga aku 2 tahun lepas sehingga menyebabkan mereka berdua terpaksa menangguhkan hajat mereka selama 2 tahun.

2 tahun lepas, emak aku sakit. Aku ingat lagi, beberapa hari selepas final Piala Dunia 2010 yang menyaksikan Sepanyol menumbangkan Belanda di perlawanan akhir, ibu dan ayah aku pergi melakukan ujian kesihatan sebagai pengesahan untuk terbang ke tanah suci.

Tapi ketika itulah, doktor mengesahkan ibu aku tidak sihat dan tidak mendapat kebenaran untuk dilepaskan bagi menunaikan haji.

Dalam tempoh itu, aku membantu ayah aku menjaga ibu aku. Aku rasa sangat sedih melihat keadaan ibu aku. Hampir sahaja gugur air mata aku di hdapan ibu aku.

Tapi aku tahan. Tidak pernah sekali pun aku menangis dihadapan ibu aku. Aku cuba menggagahkan diri di hadapan ibu aku. Aku mahu nampak kuat dan memberi semangat kepada beliau. Kalau aku menangis dan menunjukkan rasa sedih di depan ibu, aku khuatir semangat ibu aku untuk menentang penyakit juga akan berkurangan.

Malam sebelum kedua orang tua aku berangkat ke tanah suci, mereka memanggil aku, abang aku, akak ipar aku & anak saudara aku masuk ke bilik. Mereka berdua meminta maaf dan memberikan sedikit ucapan yang agak penuh emosi. Tapi sekali lagi aku berjaya menahan air mata aku dari gugur.

Tapi pada hari ibu dan ayah aku mahu berangkat ke tanah suci di Lapangan Terbang Senai, aku tidak mampu lagi menahan air mata aku. Aku menangis semahunya.

Mungkin segala kesedihan yang aku bendung selama ini tidak dapat lagi tahan. Kesedihan selama 2 tahun itu akhirnya keluar. Biasanya, aku tidak menangis ketika orang lain menangis. Tapi kali ini, aku seorang pula yang menangis dikala semuanya mampu menahan air mata mereka.

Alhamdulillah, kedua orang tua ku selamat sampai ke tanah suci. Mereka berdua ada menelefon dan berSMS kepada abang aku dan aku. Mereka semua selamat.

Aku berharap ibu dan ayah selamat pergi dan selamat pulang dan dapat menunaikan haji yang mabrur.

Amin.....

Thursday, September 13, 2012

Cerita Dari Sudut Lain #7: Kisah Suami Isteri

Nazim & Jasmin merupakan sepasang suami isteri yang bahagia. 

Mereka sudah mendirikan rumah tangga selama 5 tahun, dan semenjak itu mereka tidak pernah bertengkar. Mereka setia kepada pasangan masing-masing dan tidak pernah terfikir untuk mejalankan hubungan sulit di belakang pasangan masing-masing.

Mereka telah dikurniakan dengan seorang cahaya mata. Hanim namanya. Wajah Hanim saling tidak tumpah menyerupai Jasmin.

Nazim & Jasmin mendirikan rumah tangga ketika usia mereka berdua mencecah 25 tahun. Agak awal berbanding kawan-kawan mereka.

Kawan-kawan Jasmin kebanyakannya sudah mendirikan rumah tangga. Berlainan dengan kawan-kawan Nazim. Kebanyakan mereka masih belum berkahwin walaupun umur mereka sudah mencecah 30 tahun.

Jefri, Nassarudin dan Ismail, ketiga-tiga kawan baik Nazim semuanya belum berkahwin. Dan apabila belum berkahwin, mereka menjalan cara hidup seperti orang bujang. Melepak di kedai mamak sehingga larut malam adalah aktiviti utama mereka.

Nazim tidak ketinggalan untuk turut serta dalam aktiviti kawan-kawan bujangnya.

"Bini kau tak marah ke kau lepak dengan kitorang ni?" Tanya Jefri.

Nazim cuma tersenyum.

Nazim beruntung kerana Jasmin selalu tidur awal setiap malam. Sampai sahaja pukul 10 malam, Jasmin pasti akan terus ke kamar untuk beradu. Sudahlah tidur awal, tidur mati pula. Jadi Nazim tiada masalah untuk bersiap dan keluar dari rumah pada pukul 10:30 malam. Nazim akan pulang dalam lingkungan pukul 3 pagi.

Aktiviti Nazim bersama kawan-kawan bujangnya tidak diketahui oleh Jasmin. Kalau ikutkan, Nazim tidak buat salah apa pun. Bukannya Nazim keluar bermain kayu tiga, cuma aktiviti melepaknya pada setiap malam itu sebenarnya kurang baik buat orang yang sudah berumah tangga.

Pada suatu malam, semasa Nazim keluar melepak dengan kawannya, Jasmin terbangun kerana sakit perut. Jasmin bangun pada pukul 12 tengah malam. Terkejut Jasmin apabila melihat Nazim tiada di sisinya. Jasmin mencari Nazim diseluruh pelosok rumah. Tiada.

Jasmin mula resah tetapi dia tidak mahu menelefon suaminya. Jasmin menyambung tidurnya.

Keesokannya, Jasmin bangun lagi pada pukul 12 tenga malam. Jasmin memasang alarm hand phone dan 2 jam locengn untuk memastikan dirinya yang tidur mati itu bangun pada waktu tersebut. Dan sekali lagi Nazim tiada. Jasmin melakukan rutin yang sama selama 10 hari berturut-turut.

Jasmin mula curiga. Akhirnya dia tidak dapat membendung lagi perasaan ingin tahunya. Dia perlu bertanya kepada suaminya sebelum perasaan syak itu menimbulkan persepsi negatif yang lebih buruk.

"Mana abang pergi tiap-tiap malam?" Jasmin memulakan perbualan di meja makan mereka ketika bersarapan.

Nazim sedikit tersentak. Tetapi dia cepat-cepat menenangkan dirinya.

"Pergi kemana pulak?" Nazim counter semula dengan satu lagi soalan. 

"Abang jangan buat-buat terkejut pulak. Abang pergi kemana? Tiap-tiap malam saya tengok abang hilang?"

"Pergi mana pulak ni?" Sekali lagi Nazim counter dengan soalannya. Soalan dibalas soalan. Sudah macam rancangan Super Spontan pula.

"Abang jangan buat tak tahu. Tiap-tiap malam saya bangun, tengok abang tak de pun."

Sekali lagi Nazim terkejut.

"Ah, sudah! Bukan bini aku ni jenis tidur mati ke?" Getus Nazim dalam hatinya.

Nazim mendiamkan diri. Nazim terus bersarapan tanpa menghiraukan isterinya dengan harapan isterinya berhenti menyoal siasat dirinya.

Jasmin memandang suaminya. Jasmin tahu suaminya sedang menyembunyikan sesuatu darinya. Jasmin juga sedar yang suaminya tidak curang kepadanya kerana suaminya tidak mempunyai rupa paras yang tampan. Jauh sekali mempunyai harta yang banyak. Mustahil ada perempuan yang boleh tergoda dengan suaminya. Jasmin beranggapan suaminya beruntung kerana berjaya mengahwini dirinya yang cantik itu.

"Saya jumpa ada bekas lipstik dekat baju abang. Baik abang cakap, siapa perempuan yang abang jumpa tiap-tiap malam tu?"

Nazim terkejut dengan tuduhan tersebut. Dengan segera Nazim menepis tuduhan itu.

"Awak jangan pandai-pandai nak buat fitnah. Mana ada lipstik? Saya lepak dengan Jefri, Din dengan Mail la. Kalau tak percaya, awak tanyalah dia..."

Nazim menghentikan ayatnya. Jasmin tersenyum besar. Nazim sedar soalan isterinya tadi telah berjaya membuatkan dirinya membuka pekung sendiri.

"La... Cakap la keluar dengan diorang bertiga tu. Saya bukan nak marah pun." Kata Jasmin sambil tersenyum. Hatinya lega kerana kini dia tahu suaminya betul-betul tidak curang.

Maka mereka pun bersarapan dengan gembira.

Tuesday, September 11, 2012

Profile Picture


Ada orang tanya aku: 

"Kau ni laki ke, perempuan? Kenapa pakai gambar perempuan jadi profile picture dekat Facebook dengan Twitter?"


Aku jawab balik:

"Kau pakai gambar kereta jadi profile picture, aku tak tanya pun kau ni manusia ke, ataupun transformers?"


Pada sesiapa yang tidak berkawan dengan aku di Facebook dan tidak follow aku di Twitter, inilah gambar perempuan yang aku gunakan sebagai profile picture aku:



Perempuan itu ialah Natasha Calis, yang melakonkan watak Emily dalam filem The Possession. Nak kata aku minat sangat dengan filem ini, tidaklah jugak. Cuma aku suka gambar ini. Aku suka scene ini.

Mungkin aku boleh letak jadi header blog ini satu hari nanti. 

Wednesday, September 5, 2012

Perihal Bendera

Dari hari Merdeka yang lepas sampailah ke hari ini, orang sibuk bercerita tentang hal bendera. 

Bila ada sesetengah pihak mengibarkan bendera Sang Saka Malaya semasa menyambut Hari Kemerdekaan yang lepas, mereka telah digelar sebagai pihak yang tidak menghormati Jalur Gemilang.

Sang Saka Malaya

Pihak yang mengibarkan bendera Sang Saka Malaya ini pula adalah pihak yang ingin mengubah bendera Malaysia sekarang iatu Jalur Gemilang ke bendera tersebut. Motifnya? Aku sendiri tak pasti.

Sang Saka Malaya adalah bendera yang diinspirasikan dari bendera Indonesia, iaitu Sang Saka Merah Putih. Bagi aku, kalau kita gunakan Sang Saka Malaya, memang kita bakal jadi bahan lagilah dengan orang Indonesia. Memang confirm kita akan dibedal sebagai "Malingsia" sekali lagi.

Aku tak berapa pasti siapa pencipta Sang Saka Malaya ini. Aku sendiri tak tahu kewujudan Sang Saka Malaya ini. Aku bukan hebat sangat hal sejarah. Mungkin kamu boleh cari sendiri diinternet ataupun tanya kepada Fahmi Reza. 

Tapi bila ada pihak kata Sang Saka Malaya dikibarkan oleh pihak PUTERA-AMCJA, ini aku rasa salah. Setahu aku, PUTERA-AMCJA mengibarkan Bendera Rakyat (atau juga dikenali sebagai Bendera Merdeka Malaya) pada 10 Disember 1947. Macam aku katakan, aku memang tak tahu pasal Sang Saka Malaya. Tapi aku memang tahu tentang kewujudan Bendera Rakyat.

Bendera Rakyat

Tapi kalau kita gunakan Bendera Rakyat, ini tidak adil kepada Sabah dan Sarawak. Ini kerana hanya ada 12 bintang pada bendera tersebut yang mana pada masa itu mewakili semua 11 negeri di Semenanjung dan Singapura.

Ada yang kata, kita perlu ubah bendera Malaysia kerana ia menyerupai dan meniru bendera Amerika. Tapi sebenarnya, bendera Malaysia diinspirasikan dari bendera British East India Company ataupun selalu kita baca dalam buku teks sejarah sebagai Syarikat Hindia Timur Inggeris.

Bendera Malaysia rekaanMohamed Hamzah.
Memang ada pengaruh bendera Johor

Bendera Malaysia menurut apa yang tertulis di dalam buku teks sejarah dihasilkan oleh Mohamed Hamzah, seorang jurutera yang bekerja di JKR Johor Bahru. Rekaan Mohamed Hamzah telah dipilih dalam satu pertandingan yang dianjurkan untuk mereka bendera Malaysia. Rekaan Mohamed Hamzah telah berjaya mengalahkan 372 yang lain dan diangkat sebagai pemenang.

Namun, ada fakta yang mengatakan rekaan Mohamed Hamzah tidak sama dengan bendera Malaysia sekarang. Rekaan Mohamed Hamzah adalah seperti dibawah:

Rekaan Mohamed Hamzah telah diubah dari segi warna dan juga pada bintang dari bintang 5 bucu kepada 11 bucu. Sekali imbas, kita nampak bendera rekaan Mohamed Hamzah menyerupai bendera Johor. Memang Johorian sejati saudara Mohamed Hamzah ini. Hidup Johor! Hidup Batu Pahat! eh?

Pihak yang berkenaan telah mengubahsuai bendera rekaan Mohamed Hamzah dan mengambil rekaan tersebut sebagai bendera rasmi Malaysia. 

Bendera Malaya: 11 jalur, 11 bucu bintang

Bezanya ketika itu, jalur yang ada pada bendera tersebut hanyalah 11, begitu juga bucu bintang yang juga hanya ada 11. bendera ini diubahsuai menjadi 14 jalur dan 14 bucu bintang pada 16 September 1963 apabila Sabah dan Sarawak menyertai gagasan Malaysia.

Bendera Malaysia sekarang

Mohamed Hamzah telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 3 Februari 1993 di Jalan Stulang Baru, Kampung Melayu Majidee, Johor.

Berbalik kepada topik asal, ada sesetengah pihak yang ingin menukarkan bendera Malaysia kerana ia menyerupai bendera Amerika. Memang betul. Kalau kau bawa bendera Malaysia pergi Iraq, nescaya kau akan kena tembak kerana mereka menyangkakan kau orang Amerika.

Tapi kalaulah betul nak mengubah bendera Malaysia, kenapa gunakan bendera lama? Kenapa tidak reka bendera yang baru sahaja kalau betul-betul dah tak nak guna Jalur Gemilang?

Bendera yang lama jadikan kenangan dan sejarah. bendera-bendera seperti Sang Saka Malaya dan Bendera Rakyat mempunyai nilai tersendiri. Eloklah jangan diguna pakai bendera tersebut supaya "sentimental value" bendera itu tidak hilang begitu sahaja.

Kalau betul-betul nak ubah bendera Malaysia, baik reka satu bendera baru yang original. Yang tidak meniru bendera lain. Yang tidak maling. Kata nak jadi lebih maju, kenalah guna benda baru.

Kalau nak guna sangat bendera lama, kenapa tak guna bendera di bawah ni? Yang ni baru olskool.

Bendera Persekutuan Tanah Melayu yang digunakan
pada tahun 1896 sehingga 1950

Jadi, perlukah kita mengubah Jalur Gemilang? Itu kamu semua fikirkan sendiri. Aku ada banyak benda lagi yang perlu aku fikirkan. Lain orang, lain pendapat. Tapi kalau kerana hal bendera ini semua orang nak bergaduh sampai berpecah belah, memang banganglah.

Dan tidak dilupai, bendera UMNO pun menyerupai bendera Sang Saka Malaya dan Indonesia. Nama bendera UMNO ialah Sang Saka Bangsa.

Sang Saka Bangsa

Ini kalau ada orang buat propaganda dalam internet, mahu UMNO tukar bendera dengan segera. Macam isu orang samakan lambang Petronas dengan bendera PAS dulu. Hehehehehe...

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-55 dan Selamat menyambut Hari Malaysia.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...