Belilah Novel Aku!!!!

Thursday, September 13, 2012

Cerita Dari Sudut Lain #7: Kisah Suami Isteri

Nazim & Jasmin merupakan sepasang suami isteri yang bahagia. 

Mereka sudah mendirikan rumah tangga selama 5 tahun, dan semenjak itu mereka tidak pernah bertengkar. Mereka setia kepada pasangan masing-masing dan tidak pernah terfikir untuk mejalankan hubungan sulit di belakang pasangan masing-masing.

Mereka telah dikurniakan dengan seorang cahaya mata. Hanim namanya. Wajah Hanim saling tidak tumpah menyerupai Jasmin.

Nazim & Jasmin mendirikan rumah tangga ketika usia mereka berdua mencecah 25 tahun. Agak awal berbanding kawan-kawan mereka.

Kawan-kawan Jasmin kebanyakannya sudah mendirikan rumah tangga. Berlainan dengan kawan-kawan Nazim. Kebanyakan mereka masih belum berkahwin walaupun umur mereka sudah mencecah 30 tahun.

Jefri, Nassarudin dan Ismail, ketiga-tiga kawan baik Nazim semuanya belum berkahwin. Dan apabila belum berkahwin, mereka menjalan cara hidup seperti orang bujang. Melepak di kedai mamak sehingga larut malam adalah aktiviti utama mereka.

Nazim tidak ketinggalan untuk turut serta dalam aktiviti kawan-kawan bujangnya.

"Bini kau tak marah ke kau lepak dengan kitorang ni?" Tanya Jefri.

Nazim cuma tersenyum.

Nazim beruntung kerana Jasmin selalu tidur awal setiap malam. Sampai sahaja pukul 10 malam, Jasmin pasti akan terus ke kamar untuk beradu. Sudahlah tidur awal, tidur mati pula. Jadi Nazim tiada masalah untuk bersiap dan keluar dari rumah pada pukul 10:30 malam. Nazim akan pulang dalam lingkungan pukul 3 pagi.

Aktiviti Nazim bersama kawan-kawan bujangnya tidak diketahui oleh Jasmin. Kalau ikutkan, Nazim tidak buat salah apa pun. Bukannya Nazim keluar bermain kayu tiga, cuma aktiviti melepaknya pada setiap malam itu sebenarnya kurang baik buat orang yang sudah berumah tangga.

Pada suatu malam, semasa Nazim keluar melepak dengan kawannya, Jasmin terbangun kerana sakit perut. Jasmin bangun pada pukul 12 tengah malam. Terkejut Jasmin apabila melihat Nazim tiada di sisinya. Jasmin mencari Nazim diseluruh pelosok rumah. Tiada.

Jasmin mula resah tetapi dia tidak mahu menelefon suaminya. Jasmin menyambung tidurnya.

Keesokannya, Jasmin bangun lagi pada pukul 12 tenga malam. Jasmin memasang alarm hand phone dan 2 jam locengn untuk memastikan dirinya yang tidur mati itu bangun pada waktu tersebut. Dan sekali lagi Nazim tiada. Jasmin melakukan rutin yang sama selama 10 hari berturut-turut.

Jasmin mula curiga. Akhirnya dia tidak dapat membendung lagi perasaan ingin tahunya. Dia perlu bertanya kepada suaminya sebelum perasaan syak itu menimbulkan persepsi negatif yang lebih buruk.

"Mana abang pergi tiap-tiap malam?" Jasmin memulakan perbualan di meja makan mereka ketika bersarapan.

Nazim sedikit tersentak. Tetapi dia cepat-cepat menenangkan dirinya.

"Pergi kemana pulak?" Nazim counter semula dengan satu lagi soalan. 

"Abang jangan buat-buat terkejut pulak. Abang pergi kemana? Tiap-tiap malam saya tengok abang hilang?"

"Pergi mana pulak ni?" Sekali lagi Nazim counter dengan soalannya. Soalan dibalas soalan. Sudah macam rancangan Super Spontan pula.

"Abang jangan buat tak tahu. Tiap-tiap malam saya bangun, tengok abang tak de pun."

Sekali lagi Nazim terkejut.

"Ah, sudah! Bukan bini aku ni jenis tidur mati ke?" Getus Nazim dalam hatinya.

Nazim mendiamkan diri. Nazim terus bersarapan tanpa menghiraukan isterinya dengan harapan isterinya berhenti menyoal siasat dirinya.

Jasmin memandang suaminya. Jasmin tahu suaminya sedang menyembunyikan sesuatu darinya. Jasmin juga sedar yang suaminya tidak curang kepadanya kerana suaminya tidak mempunyai rupa paras yang tampan. Jauh sekali mempunyai harta yang banyak. Mustahil ada perempuan yang boleh tergoda dengan suaminya. Jasmin beranggapan suaminya beruntung kerana berjaya mengahwini dirinya yang cantik itu.

"Saya jumpa ada bekas lipstik dekat baju abang. Baik abang cakap, siapa perempuan yang abang jumpa tiap-tiap malam tu?"

Nazim terkejut dengan tuduhan tersebut. Dengan segera Nazim menepis tuduhan itu.

"Awak jangan pandai-pandai nak buat fitnah. Mana ada lipstik? Saya lepak dengan Jefri, Din dengan Mail la. Kalau tak percaya, awak tanyalah dia..."

Nazim menghentikan ayatnya. Jasmin tersenyum besar. Nazim sedar soalan isterinya tadi telah berjaya membuatkan dirinya membuka pekung sendiri.

"La... Cakap la keluar dengan diorang bertiga tu. Saya bukan nak marah pun." Kata Jasmin sambil tersenyum. Hatinya lega kerana kini dia tahu suaminya betul-betul tidak curang.

Maka mereka pun bersarapan dengan gembira.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...