Belilah Novel Aku!!!!

Wednesday, September 5, 2012

Perihal Bendera

Dari hari Merdeka yang lepas sampailah ke hari ini, orang sibuk bercerita tentang hal bendera. 

Bila ada sesetengah pihak mengibarkan bendera Sang Saka Malaya semasa menyambut Hari Kemerdekaan yang lepas, mereka telah digelar sebagai pihak yang tidak menghormati Jalur Gemilang.

Sang Saka Malaya

Pihak yang mengibarkan bendera Sang Saka Malaya ini pula adalah pihak yang ingin mengubah bendera Malaysia sekarang iatu Jalur Gemilang ke bendera tersebut. Motifnya? Aku sendiri tak pasti.

Sang Saka Malaya adalah bendera yang diinspirasikan dari bendera Indonesia, iaitu Sang Saka Merah Putih. Bagi aku, kalau kita gunakan Sang Saka Malaya, memang kita bakal jadi bahan lagilah dengan orang Indonesia. Memang confirm kita akan dibedal sebagai "Malingsia" sekali lagi.

Aku tak berapa pasti siapa pencipta Sang Saka Malaya ini. Aku sendiri tak tahu kewujudan Sang Saka Malaya ini. Aku bukan hebat sangat hal sejarah. Mungkin kamu boleh cari sendiri diinternet ataupun tanya kepada Fahmi Reza. 

Tapi bila ada pihak kata Sang Saka Malaya dikibarkan oleh pihak PUTERA-AMCJA, ini aku rasa salah. Setahu aku, PUTERA-AMCJA mengibarkan Bendera Rakyat (atau juga dikenali sebagai Bendera Merdeka Malaya) pada 10 Disember 1947. Macam aku katakan, aku memang tak tahu pasal Sang Saka Malaya. Tapi aku memang tahu tentang kewujudan Bendera Rakyat.

Bendera Rakyat

Tapi kalau kita gunakan Bendera Rakyat, ini tidak adil kepada Sabah dan Sarawak. Ini kerana hanya ada 12 bintang pada bendera tersebut yang mana pada masa itu mewakili semua 11 negeri di Semenanjung dan Singapura.

Ada yang kata, kita perlu ubah bendera Malaysia kerana ia menyerupai dan meniru bendera Amerika. Tapi sebenarnya, bendera Malaysia diinspirasikan dari bendera British East India Company ataupun selalu kita baca dalam buku teks sejarah sebagai Syarikat Hindia Timur Inggeris.

Bendera Malaysia rekaanMohamed Hamzah.
Memang ada pengaruh bendera Johor

Bendera Malaysia menurut apa yang tertulis di dalam buku teks sejarah dihasilkan oleh Mohamed Hamzah, seorang jurutera yang bekerja di JKR Johor Bahru. Rekaan Mohamed Hamzah telah dipilih dalam satu pertandingan yang dianjurkan untuk mereka bendera Malaysia. Rekaan Mohamed Hamzah telah berjaya mengalahkan 372 yang lain dan diangkat sebagai pemenang.

Namun, ada fakta yang mengatakan rekaan Mohamed Hamzah tidak sama dengan bendera Malaysia sekarang. Rekaan Mohamed Hamzah adalah seperti dibawah:

Rekaan Mohamed Hamzah telah diubah dari segi warna dan juga pada bintang dari bintang 5 bucu kepada 11 bucu. Sekali imbas, kita nampak bendera rekaan Mohamed Hamzah menyerupai bendera Johor. Memang Johorian sejati saudara Mohamed Hamzah ini. Hidup Johor! Hidup Batu Pahat! eh?

Pihak yang berkenaan telah mengubahsuai bendera rekaan Mohamed Hamzah dan mengambil rekaan tersebut sebagai bendera rasmi Malaysia. 

Bendera Malaya: 11 jalur, 11 bucu bintang

Bezanya ketika itu, jalur yang ada pada bendera tersebut hanyalah 11, begitu juga bucu bintang yang juga hanya ada 11. bendera ini diubahsuai menjadi 14 jalur dan 14 bucu bintang pada 16 September 1963 apabila Sabah dan Sarawak menyertai gagasan Malaysia.

Bendera Malaysia sekarang

Mohamed Hamzah telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 3 Februari 1993 di Jalan Stulang Baru, Kampung Melayu Majidee, Johor.

Berbalik kepada topik asal, ada sesetengah pihak yang ingin menukarkan bendera Malaysia kerana ia menyerupai bendera Amerika. Memang betul. Kalau kau bawa bendera Malaysia pergi Iraq, nescaya kau akan kena tembak kerana mereka menyangkakan kau orang Amerika.

Tapi kalaulah betul nak mengubah bendera Malaysia, kenapa gunakan bendera lama? Kenapa tidak reka bendera yang baru sahaja kalau betul-betul dah tak nak guna Jalur Gemilang?

Bendera yang lama jadikan kenangan dan sejarah. bendera-bendera seperti Sang Saka Malaya dan Bendera Rakyat mempunyai nilai tersendiri. Eloklah jangan diguna pakai bendera tersebut supaya "sentimental value" bendera itu tidak hilang begitu sahaja.

Kalau betul-betul nak ubah bendera Malaysia, baik reka satu bendera baru yang original. Yang tidak meniru bendera lain. Yang tidak maling. Kata nak jadi lebih maju, kenalah guna benda baru.

Kalau nak guna sangat bendera lama, kenapa tak guna bendera di bawah ni? Yang ni baru olskool.

Bendera Persekutuan Tanah Melayu yang digunakan
pada tahun 1896 sehingga 1950

Jadi, perlukah kita mengubah Jalur Gemilang? Itu kamu semua fikirkan sendiri. Aku ada banyak benda lagi yang perlu aku fikirkan. Lain orang, lain pendapat. Tapi kalau kerana hal bendera ini semua orang nak bergaduh sampai berpecah belah, memang banganglah.

Dan tidak dilupai, bendera UMNO pun menyerupai bendera Sang Saka Malaya dan Indonesia. Nama bendera UMNO ialah Sang Saka Bangsa.

Sang Saka Bangsa

Ini kalau ada orang buat propaganda dalam internet, mahu UMNO tukar bendera dengan segera. Macam isu orang samakan lambang Petronas dengan bendera PAS dulu. Hehehehehe...

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-55 dan Selamat menyambut Hari Malaysia.

2 comments:

alien said...

saka, saka.. jgn diseru
kui3

Amirul (aremierulez) said...

Alien:
Jangan diseru..

Jangan dibela..

Hahaha

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...