Belilah Novel Aku!!!!

Monday, November 26, 2012

"Saya Orang JB, bang..."


Zaman aku belajar dulu, aku seorang senior yang baik. Aku tak pernah ragging junior aku.

Okay. Tipu. Pernah aku ragging tapi semua ragging yang jenis peri kemanusiaanlah.

Biasanya, aku mulakan sessi suai kenal dengan bertanyakan soalan umum seperti "Siapa nama?" "Asal mana?" dan kalau junior perempuan, "Boleh bagi nombor telefon?"

Biasanya kalau budak junior yang jawab, "Saya asal dari Johor", ada soalan susulan.

Aku akan tanya, "Johor dekat mana?"

Aku biasanya tak kan bagitahu yang aku asal dari Batu Pahat, Johor. Kenapa? Sebab aku cuba nak kesan satu fenomena?

Fenomena apa? Fenomena "Budak mengaku asal dari JB".

Selain dari KL, bandar yang boleh  dikatakan 'up' di mata anak-anak muda ialah JB.

Rasanya semua faham JB membawa maksud Johor Bahru. Semua rakyat Malaysia tahu yang JB itu Johor Bahru. Kalau benda pertama yang muncul di kepala kamu ialah Justin Bieber, itu bermaksud anda gila.

Johor Bahru merupakan satu lagi bandaraya yang urban dan dekat dengan jiran tertangga, Singapura. Dan jika kau mengaku kau budak JB, maka saham kau agak tinggi nilainya di mata anak muda sekalian.

"Habis tu, kenapa kau tak mengaku kau budak Johor jugak?"

Kalau aku mengaku aku budak Johor, budak tu akan bagi jawapan jujur dan tak menipu aku.

Aku bagi satu contoh yang jelas. Aku jumpa seorang budak junior. Aku pun tanya dia:

"Asal mana?

"Dari Johor, bang."

"Johor dekat mana?"

"Johor dekat JB, bang."

"JB dekat area mana?"

"Kota Tinggi, bang."

Nampak macam mana budak itu terkantoi? Dia mengaku dia budak JB, tapi sebenarnya dia budak Kota Tinggi. 

Oleh sebab aku tak memperkenalkan diri sebagai orang Johor, maka dia ingat aku ni bodoh dan senang-senang boleh tipu aku. Konon bajet budak town-lah ni.

Bukan seorang dua, tapi ramai juga budak-budak Johor yang mengaku budak JB.

Pernah sekali aku tanya:

"Asal mana?

"Dari Johor, bang."

"Johor dekat mana?"

"Johor dekat JB, bang."

"JB dekat area mana?"

"Mersing, bang."

Hamboi! Jauh Mersing dengan Johor Bahru tu, dik. Agak-agaklah kalau nak mengaku budak town pun.

Budak kampung aku pun sama. Asal Batu Pahat, mengaku budak JB.

Macam inilah adik-adik, berbanggalah dengan tempat asal-usul kita. Tempat asal-usul kita tu jugak yang banyak menyimpan kenangan hidup kita selama ini.

Pepatah ada mengatakan, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain.

Macam tak kena pulak pepatah yang aku gunakan.

Monday, November 19, 2012

Berbual Dengan Taliban

Pada hari Rabu minggu lepas, aku terus bergegas pergi ke masjid selepas habis waktu kerja.

Aku pergi ke masjid kerana ingin mendirikan Solat Maghrib secara berjemaah dan membaca Doa Awal Tahun semperna Maal Hijrah.

Aku pergi ke masjid yang paling hampir dari tempat kerja aku. Aku pergi ke Masjid Jamek Sri Petaling. Aku sering menunaikan Solat Jumaat di masjid ini.

Bagi yang biasa atau pernah bersembahyang di sini, pasti kamu tahu yang masjid ini menjadi pangkalan buat orang-orang tabligh.

Ramai orang golongan tabligh di masjid tersebut. Kalau tidak salah aku, ada asrama tempat tinggal untuk mereka di sebelah masjid tersebut.

Masjid ini bukan setakat menjadi tempat golongan tabligh dari Malaysia sahaja, malahan menjadi tempat singgah golongan tabligh dari seluruh dunia.

Selepas selesai sembahyang menunaikan Solat Maghrib, ada seorang pak cik telah menegur aku. Ini memang perkara biasa. Sesetengah ahli tabligh ini memang peramah orangnya.

Tengah aku berbual dengan pak cik tersebut, datang beberapa lagi ahli tabligh dan turut berbual bersama kami.

Aku tengok jam sudah hampir pukul 8 malam. Aku rasa baik aku pulang dahulu. Naik rimas juga aku yang masih memakai baju kemeja. Lagipun, aku belum makan malam lagi.

Aku pun meminta diri dulu untuk pulang. Dan sebelum pulang, aku memberikan kata-kata akhir kepada pak-cik pak-cik tabligh tersebut,

"Seronok juga saya tengok kumpulan taliban dekat sini. Aktif dan selalu buat aktiviti dekat masjid ni."

Aku tersalah cakap. Aku nak menyebut 'tabligh', tapi entah setan mana yang kacau lidah aku sampai boleh  terkeluar 'taliban' pula.

Muka-muka pak cik semua sudah lain macam. Sebelum aku mendapat, ada baiknya aku angkat kaki.

Aku harap, pak-cik tabligh ini tak cam muka aku. Sudahlah masjid lain jauh dari pejabat aku. mana aku nak sembahyang Jumaat lagi nanti.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...