Belilah Novel Aku!!!!

Friday, March 30, 2012

Bukan Movie Marathon: The Hunger Games

Sudah agak lama aku tak melakukan movie marathon. Aku tak melakukan movie marathon lagi kerana tiada movie yang sesuai untuk digandingkan buat masa sekarang. Mungkin bulan April nanti akan berlaku kembali aktiviti movie marathon

The Hunger Games

Semenjak tahun lepas, trailer filem ini sudah mula ditayangkan sehingga membuatkan aku teruja. Tapi bila aku terbaca satu review dari majalah luar negara yang bertajuk 'The Hunger Games: The New Twilight', aku dah mula risau nak tengok cerita ini. Tapi aku yakin cerita ini berbeza dengan Twilight.



Filem The Hunger Games merupakan adaptasi dari novel yang mempunyai tajuk yang sama, hasil nukilan Suzanne Collins. Novel tersebut diterbitkan pada tahun 2008.

The Hunger Games merupakan salah satu novel dalam siri The Hunger Games trilogy yang mempunyai 3 novel kesemuanya iaitu The Hunger GamesCatching Fire dan Mockingjay. Dengan kata lain, sudah pasti filem ini mempunyai sequel.

Filem ini berlatarkan kisah masa depan, dimana pemberontakan telah berlaku di benua Amerika Utara dan pihak kerajaan berjaya mematahkan pemberontakan tersebut. Kawasan tersebut kemudiannya dipecahkan kepada 12 district. Watak utama cerita ini Katniss Everdeen (lakonan Jennifer Lawrence) berasal dari District 12 yang mana kawasan tersebut merupakan penempatan orang yang miskin dan menjalankan perlombongan arang untuk menyara hidup.

Setiap tahun. The Capitol (ibu negara kawasan tersebut) menganjurkan satu pertandingan yang dinamakan The Hunger Games, dimana 2 peserta dari setiap district (seorang lelaki dan seorang perempuan yang berumur antara 12 hingga 18 tahun) dipilih untuk menyertai pertandingan tersebut. Dalam pertandingan tersebut, mereka perlu berbunuhan dan peserta yang terselamat akan memenangi perlawanan tersebut (sama seperti filem Jepun, Battle Royale).

Adik Katniss, Primrose Everdeen (lakonan Willow Shields) telah diundi sebagai salah seorang peserta The Hunger Games. Untuk mengelakkan adiknya menyertai pertandingan ganas itu, Katniss secara sukarela menawarkan dirinya untuk menggantikan tempatnya. Peserta lelaki dari District 12 ialah Peeta Mellark (Josh Hutcherson).

Katniss kemudiannya meminta kawan baiknya, Gale Hawthorne (Liam Hemsworth), supaya menjaga adik dan ibunya sepanjang ketiadaannya ketika menyertai The Hunger Games. Gale sebenarnya menyimpan perasaan terhadap Katniss, begitu juga Peeta.

Apakah yang terjadi seterusnya? Adakah Katniss akan terpaksa membunuh Peeta untuk memenangi pertandingan tersebut? Bagaimana dia mampu mengharungi cabaran ini?


Secara jujurnya, aku tidak pernah membaca novel The Hunger Games, jadi aku tidak akan membandingkan versi fiel mdan versi novel.

Sesiapa yang pernah menonton filem Jepun Battle Royale, pasti akan membandingkan kedua filem ini kerana ia mempunyai konsep yang hampir sama, tapi aku merasakan Battle Royale lebih ganas berbanding The Hunger Games.

Ada pada sesetengah scene yang aku rasakan ia bergerak agak perlahan, namun tidak membosankan. Scene dimana Katniss menyemadikan mayat Rue, wakil District 11, dan kemudian membuat tanda victory ke arah kamera sehingga membuatkan semua rakyat District 11 mengamuk dan menyerang askar (atau plois) dari capitol bagaikan menggambarkan mesej tentang apa yang sedang terjadi di beberapa negara di benua Afrika dan Timur Tengah.

Malah, penamat pertandingan ini, dimana Katniss dan Peeta cuba membunuh diri bersama supaya tiada pemenang untuk pertandingan tahun tersebut sehingga menyebabkan pihak penganjur terpaksa mengambil mereka berdua menjadi pemenang juga mempunyai mesej tersendiri. Ia bagaikan membayangkan yang rakyat mampu mengubah pendirian pentadbir jika rakyat lebih berani bangkit dari ditindas.

Dan banyak lagi metafora yang cuba disampaikan dalam filem ini. Ada baiknya kamu menonton filem ini sendiri.

Dan aku rasa majalah yang melebelkan The Hunger Games sebagai The New Twilight adalah mengarut. Hubungan cinta 3 segi dalam filem ini tidak sejelas seperti filem Twilight. Gale hanyalah watak sampingan yang hanya muncul di awal dan akhir cerita (tak mungkin lebih banyak dalam sequel akan datang). Malahan, filem ini lebih 'keras' dari Twilight dan banyak metafora yang tersembunyi dalam filem ini.

Oleh kerana ramai yang tanya kenapa aku tak letak rating dalam review aku, jadi mulai sekarang aku akan letak rating.

Rating aku untuk The Hunger Games: 82/100.

Nantikan sequel filem ini pada tahun 2014 (aku rasalah).

Wednesday, March 28, 2012

Persamaan atau Perbezaan?

Satu petang yang hening, semasa aku dan beberapa orang kawan aku yang masih bujang sedang melepak dalam sessi minum petang (ada diantara kami yang sudah ada awek, ada yang masih single lagi), maka terkeluarlah tajuk tentang persamaa dan perbezaan.

Salah seorang kawan aku (sudah ada awek) memberikan pendapat:

"Kalau aku nak cari awek, aku nak cari awek yang banyak in common dengan aku. Awek yang aku cari tu mesti suka muzik yang aku suka. Mesti suka genre filem yang sama dengan yang aku suka. Mesti suka makanan kegemaran aku dan mesti sokong parti politik yang sama aku sokong jugak."

Itulah sedikit kata-kata kawan aku. Okay, bab politik itu aku tambah sendiri. Yang lain-lain itu memang betul.

Itu pandangan dari kawan aku. Mungkin bila banyak persamaan, lebih mudah untuk merancang sesuatu. Kalau kedua-duanya sukakan bola speak dan menyokong pasukan yang sama, boleh date di kedai mamak sambil layan bola. Tak de lah nak kena layan awek pergi shopping, kemudian baru nak tengok bola. Dapat menjimatkan kos dan masa. Sehati dan sejiwa kata orang jiwa-jiwa.

Tapi ada pula yang kawan aku kata, "Kalau awek kita tu sama minat dengan kita, tak menarik. Bila tengok dia, kita nampak macam bayang-bayang kita dalam jantina yang berlainan."

Amboi! Deep semacam ayat kawan aku itu.

Ada pula yang suka pasangan mereka mempunyai citarasa yang berbeza. Baru ada variasi dalam hidup, kata mereka. Bila pasangan mempunyai citarasa yang berlainan, kita dapat belajar sesuatu yang baru dari pasangan kita itu. Tak de lah hidup kita asyik menghadap benda yang sama setiap hari.

Ada juga yang kata, bila banyak sangat persamaan, kita akan cepat jemu dengan pasangan tersebut. Kalau banyak sangat perbezaan pula, kita mungkin akan selalu bercanggah pendapat dan boleh mengakibatkan pergaduhan yang berlarutan.

Cinta memang complicated. Tapi bak kata pujangga cinta, jika kita memahami pasangan kita, tak kiralah banyak persamaan atau perbezaan, kita akan terus sayangkan dia sehingga akhir hayat.

Okay. Itu bukan ayat dari pujangga cinta pun. Aku yang memandai reka sendiri.


Monday, March 26, 2012

Happy (Belated) Birthday Yang Ke-5

Boleh pulak aku terlupa nak buat satu entri pasal ulang tahun ke-5 blog aku semalam. Masa bergerak dengan pantas sehingga aku terlupa pada semuanya.

Tak mengapa, lelaki memang sering terlupa pada tarikh-tarikh penting. Kalau tidak, tak kan banyak teman wanita yang mengamuk bila teman lelaki mereka terlupa tarikh lahir mereka atau tarik anniversary mereka.

Kalau kamu semua tengok dibahagian sidebar blog aku, mesti kamu perasan aku ada meletak ayat "Blog ini mula beroperasi semenjak 25 Mac 2007".

Semalam bertarikh 25 Mac 2012. Ini bermakna sudah 5 tahun aku berblog. kalau ada anak, dah boleh masuk sekolah tadika..

Aku masih ingat lagi semangat dan minat aku untuk menulis blog bermula semasa aku lepak dekat Cyber Cafe (CC) pada tahun 2002, selepas aku habis bersekolah dan sedang menunggu keputusan SPM keluar. 

Sepanjang aku belajar di sekolah menengah, aku tak tahu apa-apa pasal internet. Aku amat jarang-jarang berchatting (semasa itu chatting melalui IRC). Penah juga 4-5 kali aku cuba untuk berchatting. Itu pun aku chat dengan bantuan kawan aku sebab aku tak faham bahasa singkatan yang digunakan semasa chatting.

"Dah mkn ker?" Ayat tertera di skrin IRC aku.

"Apsal dia bubuh huruf R kat hujung tu?" Tanya aku.

"Memang stail dia macam tu kalau Chatting" Jawab kawan aku.

Zaman aku dulu, suka letak huruf 'R' pada ujung ayat. Zaman sekarang, huruf 'W' menjadi pilihan (Dah makan kew? Comel yew!)

Aku betul-betul naif di alam maya. Akhirnya selepas SPM, aku lepak CC untuk meningkatkan pengetahuan  aku berkenaan alam siber. Aku selalu lepak CC dekat Summit Batu Pahat. Nama CC tersebut ialah Welly Computer. 

Setiap kali aku lepak dekat situ, aku terperasan ada seorang gadis yang selalu lepak di CC tersebut. Aku terjumpa beberapa kali. Malah, dia suka duduk di komputer di barisan hujung. Aku pula selalu lepak di komputer sebelah gadis tersebut.

Dari situ aku perasan sesuatu. Dia tulis blog. Aku pun sebenarnya tak tahu sangat tentang blog ketika itu. Tapi aku betanya dengan dia. Malu bertanya sesat jalan. Supaya aku tidak sesat dan kembali ke jalan yang benar, aku memberanikan diri untuk bertanya kepada dia:

"Awak tulis ape nih?" Tanya aku membuka perbualan.

"Oh. Ini namanya blog." Jawab gadis tersebut

"Best ke tulis blog?"

"Awak tulis la satu blog. Nanti awak akan rasa, apa yang saya rasa."

"Tapi saya tak tahu pasal blog ni. Saya ni buta IT. Boleh awak ajar saya"

"Boleh aje. Tapi esoklah. Saya dah nak balik ni."

Aku gembira mendengar kata-kata dia. Esok dia nak ajar aku buat blog.

Esok, aku datang berkunjung ke CC seperti biasa. Tapi dia tiada. Mungkin dia sakit, kata hati aku untuk menyedapkan keadaan. 

Esoknya pun dia tidak muncul-muncul. Begitu juga hari-hari berikutnya. Aku pun tak tahu apa jadi dengan dia. Bila kau fikir-fikirkan balik, baru aku teringat. Kebanyakan budak-budak dah menerima tawaran Universiti. Mungkin dia dapat masuk kemana-mana universiti (aku masuk Politeknik bulan 12, lambat 1 semester).

Mungkin juga dia kedekut ilmu. Itu sebabnya dia sengaja janji dengan aku nak mengajar aku buat blog esok walaupun dia tahu dia tidak akan datang ke situ lagi esok. Ok. Tak baik aku bersangka jahat.

Semasa aku belajar di Politeknik Merlimau, ada seorang budak junior aku bagitahu aku yang dia ada blog. Aku pun pujuk dia suruh dia ajar aku buat blog. Tapi kerana kesibukan, aku terlupa untuk membuat blog. Ok, aku tipu. Aku tak sibuk mana pun. Sebenarnya aku tidak mempunyai laptop ketika itu. Itu sebabnya niat aku sekali lagi terpaksa dilupakan.

Akhirnya, di bumi Segamat, aku akhirnya berjaya juga membuat blog hasil dari titik peluh sendiri. Bermula dengan housemate aku ketika aku belajar di Politeknik Merlimau Melaka, Yusra Yusop, yang membuat blog untuk menyatukan kembali kawan-kawan di Politeknik Merlimau.

Kemudian roomate aku ketika aku tinggal di 32 Jementah di Segamat yang bernama gelaran Cendol, membuka niat untuk menulis di dalam blog. Aku pun teringat semula cita-cita aku yang ingin menulis di blog dari dulu lagi. 

Aku pun menyuruh dia buat blog terlebih dahulu, suruh dia jadi test market atau bahan uji kaji samada blog dia akan menjadi bahan ketawa dan cacian budak-budak rumah yang lain atau tidak. Setelah aku lihat dia selamat, aku pun buat blog sendiri.

Bila aku buat blog sekarang, baru aku tahu bukan susah mana pun mahu menguruskan blog. Kalau aku tahu yang mahu berblog sangatlah mudah, mungkin aku sudah mempunyai blog sejak tahun 2002 lagi. Tapi mungkin blog aku tak bertajuk "Warmness On The Soul".

Maka pada 25 Mac 2007, bermulalah kehidupan aku sebagai seorang blogger.

Untuk 3 bulan pertama, aku tak tahu apa yang aku mahu tulis di blog aku. Mungkin kerana tiada pengalaman menulis dan juga tiada kawan-kawan yang berada dalam kategori 'otai blog' untuk aku meminta nasihat. Kawan blogger yang aku ada pun hanyalah Cendol yang mempunyai blog yang tua 4 hari dari blog aku.

Aku tak pasti apa yang aku perlu tulis (taip) di blog aku. Aku hanya banyak meletakkan video musik dari Youtube atau pun meletakkan lirik lagu. Kalau aku ada menulis pun, hanyalah kisah hidup aku yang bosan dan biasanya hanya sepanjang 2 perenggan yang sangatlah pendek.

Lebih teruk, aku menulis dalam bahasa SMS. Aku banyak menggunakan perkataan short-form (yg, mkn, tgh, dlm) dan juga bahasa pasar yang melampau.

Sehinggalah Cendol menjumpai sebuah blog yang bernama Semusim Di Neraka, milik seorang penulis bebas (aku rasa itulah pekerjaannya), Ahmad Kamal Abu Bakar atau juga dikenali sebagai AKAB atau Abang Neraka.

Dari blog AKAB, aku seperti mendapat shafaat untuk mengubah gaya penulisan. Aku berhenti menggunakan perkataan short-form kerana bila aku baca kembali entri-entri aku yang lepas, ia tidak ubah seperti entri yang ditulis oleh budak berumur 10 tahun dan sangatlah annoying.

Kemudian, terjumpa pula dengan blog Lucius Maximus, yang juga banyak menulis tentang pendapatnya yang banyak bertentangan dengan pendapat manusia biasa. Dia sering mengutarkan pendapatnya dan tidak takut jika dia dikritik.

Tak lama selepas itu, aku berkenalan (melalui ruang siber) dengan kenalan Cendol yang juga masing-masing mempunyai blog. Rizuan Bulusan, Faerrin, Azrul dan Tongah semuanya aktif berblog ketika itu. Mereka juga semuanya blogger yang mempunyai gaya penulisan yang hebat. Dan kemudian aku terjumpa pula blog Mimizuzuhaha, Fairuz Mokti, Tentang Diya dan banyak lagi.

Daripada blog mereka, aku mempelajari gaya penulisan yang baru. Aku mula mengambil ikhtibar tentang gaya penulisan blog yang lebih nampak berilmiah (walaupun isi entri langsung tak berilmiah).

Aku mula menulis tentang apa yang berada diminda aku dan berhenti menulis tentang kisah hidup aku yang membosankan. Aku mula menulis tentang luahan minda aku dan pendapat aku tentang sesuatu isu samada isu tersebut ialah isu semasa atau pun apa-apa isu yang aku rasa boleh diketegahkan.

Aku juga cuba menulis dengan tatabahasa yang betul tapi kadang-kadang terlepas juga ayat pasar. Bukan apa, adakalanya lebih seronok menulis dalam bahasa pasar. Tapi aku tak kisah, janji aku tak menulis dalam bentuk short form lagi.

Aku rasa penulisan aku sudah banyak berubah dan menjadi lebih baik sekarang. Mungkin tidaklah sebaik penulis terkenal seperti Ahadiat Akashah atau A. Samad Said, tapi cukup baiklah dari entri 3 bulan pertama ketika aku mula berblog.

Bermacam entri aku sudah tulis di dalam blog ini. Entri kisah hidup aku, entri cinta-cinta, entri serius, entri kelakar, entri politik, entri sukan, entri tentang gadis-gadis hot, entri tak masuk akal dan juga beberapa entri yang berjaya menaikkan kemarahan pembaca blog aku, terutamanya entri politik dan entri mengutuk Justin Bieber dengan jayanya. Butthurt eh, mate?

Ada juga orang bertanya,"Sampai bila kau nak blogging?". Aku sendiri tak tahu. Biarlah takdir menentukan. Tapi kalau boleh, aku mahu terus menulis selagi daya. Aku juga tak sangka yang aku sebenarnya minat menulis blog. Betul kata orang, kita tak kan tahu minat kita sampai kita mencuba perkara tersebut.

Ada juga yang bertanya, "Sampai bila kau nak tulis dalam blog je? Tak nak cuba menulis dekat tempat lain ke?"

Yang ini buat aku tergelak. Writing on your blog, doesn't mean you are a real writter. Bukan senang nak menjadikan penulisan sebagai bidang pekerjaan. Mungkin adalah lebih baik kalau aku hanya terus menulis blog sahaja. Tapi, siapa tahu mungkin aku boleh menceburi bidang tersebut satu hari nanti kan? Mungkin kalau tidak secara full time, mungkin aku boleh jadikan sebagai karier part time aku kan?

Apa-apa pun, terima kasih kepada anda sekalian kerana sudi melawat dan membaca coretan aku yang tak seberapa ini. Terima kasih kerana menyokong blog aku selama 4 tahun. Semoga aku panjang umur dan terus dapat menaip di blog ini.

Happy birthday, Warmness On The Soul!

P/S: Aku menyambut ulang tahun ke-5 blog ini dengan pergi menyaksikan perlumbaan F1 di Sepang semalam, itu sebab tak sempat nak mengupdate blog. Tiket free!!!

Friday, March 23, 2012

Bukan Movie Marathon: John Carter

Aku taip intro panjang-panjang pun tak guna. So, straight to the point....

John Carter

Sebuah lagi filem yang diadaptasi dari sebuah novel.


Jika the Twilight Saga diadaptasi dari siri novel The Twilight Saga, filem John Carter pula diadaptasi dari siri novel John Carter of Mars (juga dikenali sebagai siri novel Barsoom). Filem John Carter merupakan adaptasi dari novel pertama dalam siri Novel John Carter of Mars, iaitu A Princess of Mars.

Jika siri novel Twilight mempunyai 4 judul novel (Twilight, New Moon, Eclipse, Breaking Dawn), siri novel John Carter of Mars pula mempunyai 11 judul novel (A Princess of Mars, The Gods of Mars, The Gods of Mars, The Warlord of Mars, Thuvia, Maid of Mars, The Chessmen of Mars, The Master Mind of Mars, A Fighting Man of Mars, Swords of Mars, Synthetic Men of Mars, Llana of Gathol, John Carter of Mars). Aku tak dapat bayangkan jika kesemua 11 novel ini difilemkan. Tak mungkin pelakon dalam filem ini dapat dikekalkan untuk 11 filem.

A Princess of Mars (tajuk asal novel ini ialah Under the Moons of Mars) merupakan sebuah novel hasil nukilan Edgar Rice Burroughs yang diterbitkan pada tahun 1917.

Pihak Disney sudah pun membuat perancangan untuk memfilemkan novel ini semenjak tahun 1931 lagi, namun pelbagai halangan telah menyebabkan mereka terpaksa melupakan hasrat tersebut. Mereka terus merancangan sehinggalah usaha tersebut terhenti sekitar tahun 1980'an.

Usaha tersebut bersambung semula pada tahun 2004 dan mereka merancang untuk melakukan penggambaran pada tahun 2005, namun sekali lagi usaha tersebut terbantut. Akhirnya, filem ini mula dirakam pada tahun 2010.



Filem ini bermula pada tahun 1881. Cerita bermula dengan berita kematian John Carter. Anak saudaranya, Edgar Rice Burroughs atau dikenali sebagai Ned didalam filem ini (ya, penulis novel ini mnggunakan namanya sebagai salah satu watak dalam novel ini), dipanggil oleh peguam John Carter untuk menyampaikan wasiat. Salah satu benda yang diterima merupakan journal yang ditulis oleh John Carter.

Ned pun membaca jurnal tersebut (menjadi flashback dalam filem ini). Jurnal itu menyingkap kisah hidup John Carter pada tahun 1868, dimana John Carter merupakan seorang bekas askar konfederasi Amerika yang mula meninggalkan kerjayanya sebagai askar dan mula mencari emas untuk kesenangan hidupnya.

Ketika menyembunyikan diri dari serangan Apache, John Carter telah bertemu dengan seorang Thern dan akhirnya telah ditransportkan ke Marikh dengan tidak sengaja. (Nama planet Marikh dalam filem ini ialah Barsoom). Oleh kerana graviti Marikh yang lebih rendah berbanding Bumi, John Carter mampu melompat dengan tinggi dan jauh, juga mempunyai kekuatan luarbiasa. Kemudian, John Carter telah bertemu dengan Tarks Tarkas, ketua makhluk asing dari kaum Tharks.

Dalam waktu yang sama di Marikh, Telah berlaku peperangan antara bandarHellium dan Zadonga. Raja Zadonga, Sab Than, telah memperolehi senjata pembunuh (Ninth Ray) dari Thern dan mampu mengalahkan musuh dengan mudah. Sab Than kemudiannya bersetuju untuk berdamai jika dia dikahwinkan dengan puteri Hellium, Dejah Thoris.

Bagaimana John Carter boleh terlibat dalam peperangan ini? Apakah peranan yang bakal dimainkan oleh John Carter dalam filem ini?

==========

Pemilihan Taylor Kitsch sebagai John Carter sangat bertepatan. Dia berjaya membawakan watak John Carter dengan baik. Oh ya, jangan lupa untuk menyaksikan Taylor Kitsch dalam filem Battleship (sebagai Alex Hopper) yang akan ditayangkan bulan April ini.


Bagi aku cerita ini boleh dikatakan okay. Bukan sains fiksyen yang terbaik yang pernah aku tonton, namun ia menghiburkan. Dan melihat dari ending filem ini, sudah pasti ada sequel untuk filem ini.

P/S: Aku juga ada menonton Bunohan. Tetapi aku agak sibuk untuk membuat review sekarang. Tapi Bunohan memang satu filem yang penu hseni dan menarik. Kalau masih ditayangkan, baik kamu pergi menontonnya.

Monday, March 19, 2012

Jangan Cepat Sangat Menghakimi Orang Lain


Mohon jangan cepat sangat menghakimi orang lain. Siasat dulu betul-betul.

Friday, March 16, 2012

That Awkward Moment.... The First Date

First date atau dalam bahasa ibunda temujanji pertama adalah antara perkara paling penting dalam membina kisah percintaan dengan perempuan/lelaki pilihan kita.

Selepas sessi berkenal-kenalan, bertukar-tukar nombor telefon (dan bertukar-tukar Yahoo! Messenger dan Facebook), sessi first date bakal menyusul dan bakal menjadi hala tuju perhubungan tersebut.

Semasa first date, kita kena berikan first impression yang baik kepada date kita, supaya date kita tersebut akan tertarik dengan kita dan bersetuju untuk berjumpa dalam date yang ke-2, date ke-3 dan seterusnya ke ranjang... Maksud aku, ke pelamin perkahwinan.

Tetapi, pasti akan terjadi beberapa perkara yang bakal menjahanamkan first date anda. Apakah 'The awkward moment' yang sering terjadi dan mungkin boleh menjahanamkan date tersebut?

============

That awkward moment...
Bila date kamu berjalan dengan baik, tiba-tiba semasa kamu hendak menyebut nama dia, kamu tersebut nama ex-girlfriend/ex-boyfriend kamu. Spoil!


That awkward moment...
Bila kamu secara tidak sedar telah menceritakan kisah percintaan kamu dengan bekas kekasih kamu. Ingat! Jangan sesekali menceritakan kisah percintaan kamu yang sebelum ini semasa first date kamu.


That awkward moment...
Bila kamu terkantol dengan date kamu semasa tengah asyik mengusha awek seksi yang sedang lalu lalang berdekatan dengan kamu.


That awkward moment...
Bila kamu begitu bersemangat untuk pergi ke date tersebut, siap dah susun segala ayat yang nak diperkatakan tetapi akhirnya diam membisu macam orang bodoh bila berdepan dengan date kamu.


That awkward moment...
Bila kamu tengok gambar date kamu di facebook, memang mengancam. Tetapi bila dah berjumpa..... Lain pula ceritanya.


That awkward moment...
Bila anda sering melihat jam dan hati kamu asyik berkata "Bila nak balik ni?", walaupun date kamu baru sahaja bermula 10 minit yang lalu.


That awkward moment...
Kamu tiba-tibe terkentut dengan kuat walaupun kamu tak rasa nak terkentut pun. Tiba-tiba, terdengar bunyi sahaja. 


That awkward moment...
Bila date kamu membawa adiknya yang berusia 7 tahun bersama ketika kamu berdating.


That awkward moment...
Bila date kamu lebih berminat memandang layar putih yang sedang menayangkan perlawanan bola sepak dari berbual dengan kamu.


That awkward moment...
Bila date anda sudah mula berbincang tentang hal kahwin apabila date kamu mencecah 20 minit.


That awkward moment...
Bila perempuan yang kamu date tersebut asyik merenung kam udari atas hingga ke bawah. Selepas merenung kamu, dia mengambil hand phone dan menghantar SMS kepada seseorang setiap 5 minit.


That awkward moment...
Bila perempuan yang kamu ingin date itu membawa bersama kawan perempuannya yang lebih hot daripada dia dan kamu lebih tertarik kepada kawannya berbanding dia.


That awkward moment...
Semasa kamu sedang date, tiba-tiba kamu terserempak dengan ex-boyfriend/ex-girlfriend kamu yang juga sedang turut date dengan pasangannya yang lebih kacak/hot dari kamu.


That awkward moment...
Bila kamu secara tidak sengaja menyebut "I love you" seperti contoh di bawah:


Tuesday, March 13, 2012

That Awkward Moment.... In A Meeting

Meeting ataupun mesyuarat dalam bahasa ibunda adalah sesuatu yang wajib diadakan apabila kau bekerja, lebih-lebih lagi kalau kau bekerja di pejabat.

Pelbagai topik akan dibincangkan dalam meeting. Hal untung-rugi, hal polisi syarikat, perkembangan baru syarikat dan macam-macam lagilah.

Tak semua meeting itu menyeronokan. Okay, bila masa pulak meeting ni seronok? Dan bila dalam meeting, pelbagai benda akan terjadi yang boleh menimbulkan situasi 'That awkward moment..'. Mari kita lihat beberapa perkara yang boleh membuatkan anda tumpuan ketika dalam meeting.

==========

That awkward moment...
Bila kau dalam meeting dan boss kau tengah serius menyampaikan amanat, tiba-tiba otak kau teringat satu perkara kelakar dan buat kau tergelak sorang-sorang secara mengejut. Semua orang pandang kau macam kau dah buat satu kesalahan maha besar.


That awkward moment...
Bila boss kau buat lawak dalam meeting, dan kau sorang saja yang faham dan gelak. Kemudian, semua ahli meeting pandang kau semacam dengan tanggapan "Dia ni gelak mesti sebab nak bodek boss."


That awkward moment...
Bila kau terlupa nak silent kan hand phone kau semasa meeting. Tengah meeting, ada orang call. Kebetulan kau pakai ringtone lagu metal. Semua orang pandang kau sambil buat tanggapan, "Pegh! Dengar lagu Black Metal budak ni. Menurut Harian Metro, dia ni mesti penyembah setan."


That awkward moment...
Bila kau tiba-tiba tersendawa kuat dan bau durian segera menjajah seluruh bilik meeting.


That awkward moment...
Bila kau nak sebut nama boss kau (yang berjantina perempuan) tiba-tiba kau tersebut nama bini kau.


That awkward moment...
Bila kau kantol ketika sedang seronok merenung breast rakan sekerja kau dengan penuh asyik.


That awkward moment...
Bila kau dah mula rasa boring dalam meeting dan dalam hati kau asyik menyebut "Bila meeting nak habis ni?" dan entah macam mana mulut kau turut tersebut "Bila meeting nak habis ni?". Boss kau pun memberikan satu renungan yang kau tak mungkin lupakan sepanjang hayat kau.

P/S: Sesetengah perkara di atas terjadi dalam meeting yang aku hadiri. Sesetengahnya aku dengar dari kawan-kawan.

Friday, March 9, 2012

Bergurau Senda Dengan Isteri Di Malam Jumaat

Sebelum Solat Jumaat, aku selalu lunch dekat sebuah kedai yang hanya wujud ketika Solat Jumaat. Memang trend di Kuala Lumpur dan Selangor, ada kedai makan yang akan dibuka ditepi masjid setiap Jumaat untuk memudahkan jemaah untuk lunch dan terus masuk masjid untuk bersembahyang.

Sambil menyuap baryani ayam ke dalam mulut dan terus turun ke perut yang tengah kelaparan, aku mendengar tazkirah dari imam/bilal yang bertugas.

Memang jadi trend juga di Selangor dan Kuala Lumpur, imam akan memberikan tazkirah sebelum khatib membacakan khutbah. Aku tak pasti dengan negeri lain, tapi aku rasa Johor memang tak de tazkirah sebelum khutbah.

Aku suka dengar tazkirah sebelum khutbah ini sebab isinya lebih jujur dan seronok didengar dari khutbah. Tajuk tazkirah hari ini ialah tentang bergurau senda.

"Islam tidak melarang umatnya bergurau senda. Malahan, Nabi Muhammad S.A.W. sendiri ada bergurau senda dengan sahabatnya."

"Tidak salah juga jika kita hendak bergurau senda. Bergurau senda dengan adik-beradik, bergurau senda dengan kawan-kawan, bergurau senda dengan isteri..."

"Bergurau senda dengan isteri lebih baik. Boleh dapat pahala."

Tiba-tiba ada seorang pelanggan yang sedang makan semeja dengan aku bersuara, "Aku selalu bergurau senda dengan isteri aku. Tapi aku bergurau senda dengan isteri aku masa malam Jumaat je."

Semua tergelak mendengar sahutan spontan dari beliau. Aku pun melihat siapakah gerangan orang yang cuba bergurau senda itu.

Bila aku ternampak orang itu, aku sedikit terkedu.

Jikalah ayat itu disebut oleh seseorang yang berusia 20'an atau 30'an, mungkin enak juga bunyinya. Tetapi orang yang menyebut ayat tersebut rupanya seorang pak cik berusia lebih kurang 60'an atau mungkin 70'an.

Dan tiba-tiba imiginasi aku meliar dan terfikir tentang pak cik tersebut "bergurau-senja" dengan isterinya yang sebaya dengannya di malam Jumaat.

Cilakak punya imiginasi. Kenapa kau boleh fikir benda yang bukan-bukan masa tengah makan ni?

Nasb baik aku menguatkan iltizam dan berjaya juga aku menghabiskan makanan aku.

Aku tengok pelanggan lain yang turut mendengar lawak pak cik itu tadi semuanya macam diam terus. Mungkin mereka juga sudah terimiginasi benda yang bukan-bukan macam aku. Bagus. Sekurang-kurangnya, bukan aku sahaja yan gsedang dipermainkan oleh minda aku.

P/S: Jika anda sudah berusia, jangan bergurau senda dengan perkara yang berkaitan seks. Kelak ia bakal membunuh imiginasi orang lain. Sekian

Wednesday, March 7, 2012

S.I.A.L.

Semasa aku menuntut di Politeknik Merlimau, pensyarah aku, Cik Nazila, bercerita tentang kisah lapangan terbang di sekitar dunia. Tentang bertapa besar, unik dan teknologi tinggi yang digunakan pada setiap lapangan terbang tersebut.

Cik Nazila sedang bercerita tentang Singapore International Airport (S.I.A.).

"Apa istimewanya S.I.A.? Ada sesiapa yang pernah pergi atau baca tentang S.I.A. ni?" Tanya Cik Nazila.

Senyap. Tiada yang mahu memberikan respond kepada pertanyaan tersebut.

"Aik? Tak kan kamu tak pernah baca apa-apa pasal S.I.A.?" Tanya Cik Nazila.

Sebagai pelajar yang cemerlang dalam hal-hal berfikiran tidak serius, aku pun dengan selamba menjawab:

"Kalau tambah huruf L kat belakang S.I.A., ia akan membawa maksud yang kurang baik, cik."

Senang bukan?

Jangan risau, aku tak kena denda apa-apa pun dari lecturer aku. Maklumlah, hero mana boleh kena denda. Ye dak?

P/S: Al-Fatihah kepada kawan baik Cik Nazila dan juga pensyarah kegemaran aku, Cik Nazimah.

Tuesday, March 6, 2012

Tulah Seorang Isteri

Selepas tamat waktu bekerja, aku dan beberapa rakan sepejabat akan melepak dahulu. Bukan apa, masing-masing malas nak merempuh traffic jam. Biar jalan reda sikit, baru balik ke rumah.

"Kau dah kahwin ke?" Tanya Malik kepada Hafiz.

"Dah. Baru je kahwin," Balas Hafiz sambil menyiat Roti Nan Cheese yang terhidang di atas meja.

"Berapa lama dah?" Tanya aku pula

"Baru 8 bulan," Hafiz membalas dengan mulut penuh dengan Roti Nan.

"Dah berisi ke orang rumah kau?" Tanya Malik.

"Belum ada rezeki lagi la. Kalau cukup setahun tak jadi apa jugak, aku nak pergi berubat la," Jawab Hafiz.

"Kau agak siapa yang tak sihat? Kau ke, bini kau?" Tanya aku.

"Mesti la bini aku. Sebelum ni, aku dah pernah mengandungkan 2 ex-girlfriend aku," Jawab Hafiz tenang.
Aku dan Malik buat muka terkejut.

"Hahaha... Relax la. Aku main-main je la. Aku masih teruna masa kahwin. Aku saja je jawab macam tu. Nak tengok reaksi muka korang," Jawab Hafiz sambil ketawa.

Malik buat muka geram sebab tertipu. Aku relx-relax sahaja. Kawan nak buat bergurau. Apa ada hal. Ye tak?

"Aku pernah saja la main-main bukak cerita kat bini aku pasal poligami. Aku kata, kalau aku kaya aku nak kahwin lagi," Hafiz buka topik lain, dan mulut masih dipenuhi Roti Nan.

"Apa bini kau jawab?" Tanya aku.

"Dia kata ok je. Janji aku boleh bagi RM 10 ribu tiap-tiap bulan," Jawab Hafiz.

"Benda tak jadi lagi, boleh la dia jawab macam tu. Cuba kalau dah jadi betul-betul. Mau menangis tak berlagu," Celah Malik. Malik sudah berkahwin, jadi lebih arif dalam hal-hal sebegini.

"Bini aku tu OK je. Dia nak payung emas la tu," Jawab Hafiz sambil gelak besar.

Tanpa disedari, Roti Nan dalam pinggannya terpelanting sehingga jatuh ke lantai. Semua orang dalam kedai memandang dia.

"Hah! Kau tengok tu. Tulah bini kau ni. Sampai terpelanting Roti Nan kau," Kata aku.

"Alamak. Belum kahwin lagi ni. Kalau macam ni, cancel la poligami." Kata Hafiz

Maka perbualan hal-hal tak subur dan poligami tamat selepas Roti Nan mencecah lantai kerana Hafiz takut tulah apa pula yang datang menimpanya selepas ini.

Monday, March 5, 2012

Petanda Kita Perlu Menukar...

Bila aku order teh ais, yang sampai atas meja aku ialah teh tarik.

Bila aku order teh tarik, yang sampai atas meja aku ialah teh ais.

Bila order mee goreng, yang sampai atas meja aku ialah mee goreng basah.

Bila order mee goreng letak telur mata, yan gsampai atas meja aku cuma mee goreng. Bila tanya mana telur mata, dia kata suruh tunggu. Setengah jam lepas tu baru telur mata tersebut sampai atas meja aku.

Bila kita duduk, kena tunggu lebih dari 15 minit baru ada pelayan datang mahu ambil order. Kadang-kadang boleh cecah setengah jam, baru nampak batang hidung.

Itulah petanda.

Petanda kita perlu menukar.

Petanda kita perlu menukar tempat lepak supaya kita boleh menumpukan perhatian kepada perbualan kosong bersama kawan-kawan sepejabat selepas waktu tamat bekerja tanpa perlu diganggu dengan perasaan amarah kepada kedai makan tersebut.

Friday, March 2, 2012

Bukan Movie Marathon: This Means War & Fist of Dragon

Kembali lagi dalam sessi bukan movie marathon di mana aku akan mereview filem yang aku tonton sesuka hati aku. 

Kali ini aku ingin mereview sebuah filem dari Hollywood dan sebuah lagi hasil karya tempatan.


This Means War

This Means War adalah sebuah filem bergenre romantic comedy (rom-com) juga diselit dengan sedikit aksi.


This Means War mengisahkan 2 orang perisik atau lebih mudah kita panggil spy, yang merupakan rakan sekerja di CIA, telah jatuh cinta kepada seorang perempuan yang sama. 

Dengan secara tak sengaja, Franklin Delano Roosevelt Foster a.k.a. FDR (lakonan Chris Pine) dan Tuck Henson (lakonan Tom Hardy) telah jatuh cinta dengan Lauren Scott (Reese Witherspoon).

FDR dan Tuck bersetuju untuk tidak memberitahu Lauren tentang perkara ini. Mereka berjanji untuk memikat lauren dengan kebolehan sendiri dan berjanji yang mereka akan terus kekal berkawan, tidak kira siapa yang dipilih oleh Lauren. Best Man Win!

Oleh kerana masing-masing sibuk ingin memikat Lauren, FDR dan Tuck mula menggunakan gadget dan kemudahan peralatan yang mereka miliki sebagai spy CIA untuk mengintip pergerakan masing-masing dan menyiasat latar belakang Lauren. Di sinilah bermulanya aksi komedi dalam cerita ini.

Dalam sibuk ingin merebut lauren, FDR dan Tuck juga sedang diburu oleh Heinrich (Til Schweiger) yang ingin membalas dendam atas kematian adiknya.

Apakah akan terjadi? Siapakah yang akan dipilih oleh Lauren? FDR atau Tuck? Adakah Heinrich berjaya melunaskan hutang darahnya terhadap FDR dan Tuck?


Apa yang aku suka:

1. Filem ini adalah gabungan genre romantic comedy dan aksi. Jadi serba sedikit, si perempuan boleh menjadikan modal untuk mengajak si lelaki menonton filem ini (terutama bagi lelaki yang jenis payah nak tengok cerita cinta).

2. Lakonan Reese Witherspoon memang tidak menghampakan. Watak Lauren, seorang perempuan yang berdikari tetapi kadang kala juga blur memang menjadi trademark buat beliau.

3. Scene di mana FDR dan Tuck menggunakan gadget dan alat perisik untuk merisik pergerakan masing-masing ketika sedang dating bersama Lauren memang menghiburkan.


Apa yang aku tak suka:

1. Watak Trish (Chelsea Handler) agak kurang menyerlah. Watak Trish dalam filem ini berfungsi untuk menambahkan rasa komedi dan kita tahu reputasi Chelsea Handler sebagai pelawak perempuan yang hebat, tetapi sayangnya watak beliau dalam filem ini agak kurang. Pengarah seakan tidak menggunakan beliau sepenuhnya.

2. Watak penjahat dalam filem ini, Heinrich, juga tidak menyerlah. Beliau hanya muncul pada awal dan akhir cerita. Tapi mungkin kerana ingin mengekalkan genre romantic comedy, itulah salah satu sebab watak penjahat tidak dititik beratkan.


Keseluruhan, filem ini aku kira boleh tahan. Nak kata terbaik sangat, tidak juga kerana aku pernah tengok filem rom-com yang lebih menarik tetapi bukan bermakna filem ini teruk. Filem ini memang menarik ditonton, lagi-lagi kalau kamu datang secara berpasangan.

Filem ini merupakan arahan McG. Rasanya, sesiapa yang selalu menonton filem arahan McG pasti akan nampak beberapa cliche yang selalu digunakan dalam filem beliau.

Kalau anda alert, sebelum cerita ini berakhir, anda sebenarnya sudah tahu siapa yang bakal dipilih oleh Lauren.


Fist of Dragon

Ramai yang sangka filem ini adalah filem dari Hong. Filem ini merupakan filem Malaysia-Singapura. Kawan aku beria-ia ingin menonton filem ini. Jadi, aku layankan saja. Lagipun, bila aku baca ayat "From The Producer of IP Man 2", itu serba sedikit berjaya menipu minda aku untuk mengikut pujukan rakan aku itu.


Fist of Dragon mengisahkan Jie (lakonan Michael Chuah yang juga pengarah filem ini) datang dari China untuk membantu pak ciknya, Chen (Hanry Thia) yang sering diperas ugut oleh sekumpulan samseng di kawasan mereka.

Anak pak cik Chen, Lily (Fiona Xie) pula telah menyertai kumpulan samseng tersebut demi menyiasat punca kematian ibunya yang sebenar.

Kehadiran Jie yang berani menentang kumpulan samseng tersebut telah membuatkan penduduk bersatu padu menentang mereka.


Fighting scene dalam filem ini memang boleh dipuji. Jika dibandingkan dalam industri perfileman Malaysia, ia boleh dianggap baik.

Tapi bukan fighting scene yang menjadi masalah buat filem ini, tetapi jalan ceritanya yang hancur.

Filem ini pada mulanya mengisahkan kumpulan samseng yang berleluasa dan mengugut peniaga kecil yang berhutang (atau membayar wang perlindungan) kepada mereka. Sesiapa yang tidak membayar akan dipukul.

Dipertengahan cerita, kumpulan samseng itu secara tiba-tiba menjadi kumpulan yang mengkaji dan cuba mencipta sejenis ubat, yan gaku sendiri tak pasti apa kegunaan ubat tersebut dan kepada siapa mereka mahu jualkan ubat itu.

Ubat ciptaan kumpulan samseng itu mampu membuatkan manusia menjadi hilang kawalan, lemah dan terus mati. Jadi aku rasa, ini bukan ubat. Tapi sejenis senjata biologi.

Dari sini kita sudah nampak yang skrip filem ini sudah jauh terbabas dari kumpulan samseng ke sindeket penjualan ubat/senjata biologi haram.

Kematian big boss kumpulan samseng ini (aku tidak ingat nama dia, tapi dia pelakon Malaysia) memang boleh buat aku facepalm. Salah seorang dari mangsa uji kaji ubat/senjata biologi yang dibuat oleh kumpulan samseng itu keluar dari kurungan dan menikam syringe kepada boss tersebut dan dia pun mati.

Kenapa boss tersebut tidak perasan yang dia akan ditikam? Kerana dia leka mendengar MP3. Facepalm to the max.

Ending filem ini seperti kelam kabut, seperti terlampau tergesa-gesa. Tiada scene yang menunjukkan yang Pak Cik Chen berpindah keluar, tiada scene si heroin menangisi kematian abangnya dan scene kononnya penduduk di situ sudah bersatu padu memang agak facepalm.

Kesimpulanya, scene gaduh memang boleh tahan. Tapi story line memang hancur lebur.

Sampai di sini sahaja review filem ala kadar dari aku. Aku sedang menunggu satu filem tempatan yang akan menerjah wayang minggu depan, Bunohan!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...