Belilah Novel Aku!!!!

Wednesday, April 25, 2012

Movie Marathon: Lockout & My Way

Setelah sekian lama tidak melakukan aktiviti movie marathon, akhirnya pada weekends yang lepas, sempat juga aku dan kawan aku memovie marathonkan diri kami.


Lockout


Filem ini berlatar belakangkan tahun 2079. Lockout mengisahkan seorang bekas perisik kerajaan Snow (lakonan Guy Pearce) telah ditangkap dan dituduh membunuh dan terlibat dengan aktiviti perisikan menentang kerajaan Amerika.

Dalam masa yang sama, anak Presiden Amerika, Emilie Warnock (lakonan Maggie Grace) telah terperangkap di MS One, sebuah penjara yang menahan banduan yang merbahaya. Oleh kerana filem ini berlatarbelakangkan tahun 2079, maka dengan itu penjara tersebut terletak di angkasa lepa, bukannya di bumi seperti sekarang. Barulah nampak macam filem masa depan sikitkan?

Banduan di penjara tersebut telah berjaya melepaskan diri dan menawan MS One, dan menjadikan semua pekerja penjara tersebut termasuk Maggie, sebagai tebusan.

Snow berdepan hukuman penjara dalam jangka yang panjang, telah diberikan pilihan supaya dapat melepaskan diri dari hukuman tersebut dengan syarat dia perlu masuk ke MS One dan menyelamatkan anak presiden dengan selamat.

Snow bersetuju. Tapi bukan kerana ia dapat melepaskan diri dari hukuman tersebut, tetapi kerana kawannya, Mace (lakonan Tim Plester) juga sedang dipenjarakan di sana. Mace merupakan satu-satunya orang yang mempunyai bukti yang mungkin boleh membebaskan Snow dari tuduhan membunuh dan pengintipan tersebut.


Bagi aku, filem ini boleh tahanlah. Sekurangnya tak mengantuk dan boleh ditonton sampai habis. Walaupun cerita ini berlatarbelakangkan tahun 2079, tak banyak perkara atau gadjet moden ditonjolkan dalam filem ini. Mungkin kerana budget kecik?

Aksi dalam filem ini boleh dikategorikan agak baik. Scene pergaduhan yang simple namun menarik. Jalan ceritanya agak biasa sahaja. Tapi dialog dalam filem ini agak menarik. 

Hero filem ini, Snow, banyak melontarkan dialog komedi sepanjang filem ini. Dalam situasi yang serius, Snow boleh melontarkan dialog yang kelakar. Dan secara jujurnya, dialog komedi Snow sepanjang filem ini telah menyelamatkan filem ini dari menjadi filem yang biasa dan kaku. Anda pasti tergelak apabila mendengar dialog sarcasm dari Snow apabila pertama kali berjumpa dengan Emilie.

Oh, ya. Ini bukan filem produksi dari Amerika. Tapi ini filem produksi dari Perancis. Bonjour! 

Penilaian aku, 3/5 untuk filem ini.


My Way

Kali ini aku nak review filem Korea pulak. Tapi ini bukan filem Korea yang menampilkan hero muka jambu sampai aku confuse jantina hero tersebut, tapi ini sebuah filem perang, dengan persahabatan sebagai inti pati utama filem ini.


Filem My Way bermula pada era penjajahan Jepun ke atas Seoul, Korea, pada tahun 1938. Kim Joon-sik (lakonan Jang Dong-gun), seorang kanak-kanak berbangsa Korea telah bertemu dengan Tatsuo Hasegawa (lakonan Joe Odagiri), cucu kepada komander askar Jepun yang menetap disitu. Ibubapa Joon-sik bekerja dengan tentera Jepun ketika itu.

Kedua Jun-sik dan Tatsuo mempunyai minat yang sama, iaitu marathon. Mereka telah bersaing dari kecil sehinggalah mereka remaja dalam semua pertandingan marathon. Tatsuo berjaya mengalahkan Joon-sik dalam pertandingan ketika itu.

Satu hari, datuk Tatsuo telah dibunuh dengan sebuah bom yang dibungkus berupa seperti sebuah hadiah. Tatsuo marah dan menuduh ayah Joon-sik yang membunuh datuknya. Joon-sik sekeluarga telah diusir dan semenjak itu, semangat ketenteraan membuak dalam diri Tatsuo dan dia mula benci kepada orang Korea.

Beberapa tahun kemudian, bekas pemenang pingat emas acara marathon pada Sukan Olimpik 1936 di Berlin, Sohn Kee-chung, telah membuat cadangan yang rakyat Korea juga sepatutnya diberikan peluang untuk menyertai perlumbaan kelayakan untuk menyertai Temasya Sukan Olimpik. Sebelum ini, semua atlet Korea terpaksa bertandingan sebagai atlet Jepun. Malahan, mereka telah diberikan nama Jepun ketika bertanding. 

Kesempatan itu diambil oleh Joon-sik, yang ketika itu telah menjadi penarik beca namun masih menyimpan minat untuk bertanding dalam sukan marathon. Joon-sik telah menyertai pertandingan kelayakan tersebut, yang juga disertai Tatsuo. Joon-sik telah memenangi pertandingan tersebut namun pihak menganjur telah membatalkan penyertaan Joon-sik dan mengumumkan Tatsuo sebagai pemenang.

Penonton dari kalangan Korea tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut pun membuat rusuhan. Mereka semua ditangkap, termasuklah Joon-sik. Sebagai hukuman, mereka semua telah diserapkan menjadi askar Jepun dan perlu berperang untuk Jepun.

Nasib Joon-sik menjadi semakin malang apabila Tatsuo telah menjadi ketua askar dalam peperangan tersebut.

Filem ini berterusan sehinggalah melibatkan beberapa babak peperangan. Joon-sik akan bertemu Shirai (lakonan Fan Bingbing) sebagai rakyat China yang tidak berpuashati dengan layanan tentera Jepun terhadap mereka.

Dan filem ini akan berterusan sehinggalah Joon-sik dan Tatsuo terpaksa menyertai tentera Soviet (Russia), dan kemudian menyertai Tentera Jerman Nazi pula. Dan mereka berdua yang asalnya menjadi musuh telah menjadi kawan karib sepanjang peperangan tersebut.

Filem ini diarahkan oleh Kang Je-gyu, yang juga mengarahkan filem Shiri (1999), yang telah menjadi anjakan dalam dunia perfileman Korea, dan juga Taeguki (2004), satu lagi filem perang dalam kategori wajib tonton.

Pada asalnya, Kang Je-gyu ingin menamakan filem ini sebagai D-Day, sebelum menukarnya menjadi My Way.




Apa yang aku suka dengan filem ini:

1. Filem ini bergenrekan filem perang. Aku suka filem perang. Tapi aku bukan jenis suka semua jenis filem perang. Filem perang perlulah menonjolkan scene perang yang nampak seperti peperangan yang betul.

Bagi aku, semua scene perang dalam filem ini memang mengkagumkan. Memang nampak real terutamanya scene Normandy di serang oleh tentera Amerika.

2. Props yang digunakan memang menarik. Pengarah filem ini telah menempah kereta kebal jenis lama yang digunakan dalam peperangan oleh Tentera Soviet dan Tentera Jerman dari Jerman. 

Selain dari kereta kebal, uniform askar yang digunakan memang realistik. Bukan setakat baju askar yang ditampal dengan logo Jepun atau Jerman begitu sahaja, tetapi telah ditempah dengan rapi dan menyerupai uniform asal tentera tersebut.

Tidak hairanlah filem ini menjadi filem Asia termahal dalam sejarah, dengan budget 28 billion Won (US Dollar 25 Juta).

3. Walaupun filem ini merupakan filem perang, tapi elemen persahabatan dalam filem ini berjaya ditonjolkan dengan baik. Skrip filem My Way digarap dengan jalan cerita yang menarik. malahan, ada scene yang hampir menyebabkan aku hampir menitiskan manly tears aku.

4. Ending cerita ini memang di luar dugaan aku. Memang terbaik. Nak tahu apa endingnya? Pergi wayang, tengok sendiri.


Filem ini sebenarnya sudah ditayangkan di Korea pada tahun lepas. Filem My Way tidak ditayangkan secara meluas di Malaysia. Kalau tidak salah aku, MBO tidak menayangkan filem ini. Kalau mahu tonton, sila cari TGV atau GSC.

Filem ini memang berbaloi ditonton. Ini adalah salah satu filem yang tidak akan muak ditonton berulang kali. Peminat filem perang terutamanya fileam Saving Private Ryan wajib menonton My Way.

Penilaian aku: 5/5 bintang untuk filem ini.

Sebenarnya, ada banyak kisah menarik disebalik filem My Way ini, terutamanya dari segi sejarah perang dan sejarah Sukan Olimpik. Filem ini di inspirasikan dari sebuah kisah benar. Aku akan kupas tentang perkara ini dalam entri aku yang akan datang.

Wednesday, April 18, 2012

Jiwa Sejuk: Rancangan Realiti Yang Patut Dibuat Di Malaysia

Ini adalah entri yang aku pernah publish pada tahun lepas, dan hari ini aku publish balik. Kira macam siaran ulangan yang selalu Astro buat. Astro yang selalu kamu bayar buat siaran ulangan pun kamu tak marah, tak kan blog yang kamu baca percuma ni kamu nak melenting pulak kan?

Jadi aku memperkenalkan segmen Jiwa Sejuk, di mana aku akan mem-publish-kan semula entri lama atas alasan: (1) Writer's block,  tiada bahan untuk ditaip atau aku agak sibuk (2) Entri ini ada kaitan dengan hari perayaan atau memperingati sesuatu kejadian (3) Ada idea tambahan yang timbul dan ingin aku selitkan kembali pada entri ini (4) Suka hati akulah nak publish balik entri lama, ini blog aku.

Tapi jangan risau, aku ubah sikit (atau banyak) entri ini berbanding yang lepas supaya orang yang pernah baca entri ini tidak rasa tertipu sangat dan lebih update dengan isu semasa.

==========


Rasanya pasti ramai yang masih mengingati rancangan realiti Akedemi Fantasia yang pernah menjadi fenomena satu masa dahulu. Akademi Fantasia Musim ke-9 (AF9) merupakan musim terakhir dalam siri rancangan realiti tersebut, dan dimenangi oleh Hazama.

Media Prima juga sudah menghentikan One In A Million dan Gangstar. Banyak rancangan realiti sudah pun diberhentikan. Nampaknya rancangan realiti tarian Mari Menari juga sudah tidak diadakan oleh Astro lagi.

Punyalah banyak rancangan realiti sudah ditamatkan, tak kan tiada rancangan yang nak menggantikannya?

Di sini, aku ingin memberikan cadangan kepada mana-mana stesen TV untuk membuat rancangan realiti yang aku cadangkan di bawah. Di harap ada stesen TV yang berminat untuk membuat rancangan realiti cadangan aku ini:


Bengkel Rempit

What is this?
Pertandingan realiti mencari Mat Rempit paling kental di Malaysia

Contestant?
Semua Mat Rempit di seluruh Malaysia. Tidak mengira negeri asal, bangsa dan jenis motor yang digunakan.

How it work?
Antara cabaran yang perlu dilakukan oleh peserta ialah berlumba di lebuh raya dalam laluan menetang arus, menunggang motor dengan membuat aksi Superman selama setengah jam, membuat willy atau wikang paling jauh, melarikan diri dari dikejar polis melalui Jalan Tuanku Abdul Rahman, mengangkut Bohsia tanpa memberhentikan motor, pertandingan siapa paling banyak kali accident tapi masih mampu hidup dan banyak lagi.

How to determine the winner?
Peserta akan diadili oleh juri professional untuk menentukan siapa yang perlu disingkirkan setiap minggu. Juri profesional dipilih melalui otai-otai dalam dunia rempit.

Special feature?
Ahli Prlimen Rembau, Khairy Jammaluddin sebagai pengetua Bengkel Rempit.

What winner gets?
Pemenang akan memenangi sebuah motor baru, wang tunai RM 1,000, 2 orang Bohsia dengan body mantap, baucer rawatan percuma selama 5 tahun jika berlaku kemalangan di masa akan datang, pakej kain kapan percuma dan mendapat gelaran 'Mat Cemerlang'.

Good idea or Bad idea?
Satu idea menarik. Apa? Kamu fikir tiada orang yang mahu menonton rancangan ini? Tipu! Setiap kali ada filem bergenre Mat Rempit, pasti wayang akan penuh. Jadi, Bengkel Rempit bakal mendapat sambutan yang baik.

==========

So You Think You Can Do Traditional Dance?

What is this?
Rancangan realiti tarian. Kali ini, peserta perlu menari tarian tradisional tetapi menggunakan lagu-lagu moden.

Contestant?
Sesiapa sahaja. Janji boleh menari. Kalau pernah bekerja untuk persatuan kebudayaan negeri masing-masing, sila bawa sijil semasa audition untuk mendapat kelayakan automatik ke pusingan ke-2.

How it work?
Peserta perlu menari tarian tradisional tetapi menggunakan lagu-lagu moden seperti lagu dari kumpulan Hujan, Bunkface, Yuna, Justin Bieber dan lain-lain. Peserta perlu menari menggunakan pakaian tradisional dan pakaian menyerupai Lady Gaga adalah dilarang sama sekali.

How to determine the winner?
100% SMS.

Special feature?
Juri atau pengkritik tetap ialah Linda Jasmine, Apek Senario dan peserta AF yang paling hebat menari, Mawi.

What winner gets?
Dapat sijil penyertaan yang boleh dilampirkan ketika ingin memohon pekerja sebagai penari latar Stacy dan Adam (AF).

Good idea or Bad idea?
So You Think You Dance, dapat sambutan. Sehati berdansa, dapat sambutan. Mari Menari, dapat sambutan. Perlukah aku komen tentang rancangan ini pula?

==========

Adakah Anda Lebih Bijak Dari Budak Darjah 6?

What is this?
Rancangan kuiz pendidikan. Merupakan spin-off dari rancangan Are You Smarter That The Fifth Grader?

Contestant?
Sesiapa sahaja boleh menyertainya asalkan boleh mengeja nama sendiri dengan betul. Ulat buku dan bimbo amat digalakkan untuk menyertai rancangan ini. Ulat buku perlu untuk menaikkan rating (penonton akan menyokong penuh kepada peserta yang pandai dan akan mengkagumi bakatnya untuk seketika dan bimbo pula.... sesuai untuk menjadi bahan gelak kerana kebodohan mereka).

How it work?
Peserta akan disoal dengan soalan yang diambil dari buku teks pelajar darjah 1 sehingga darjah 6 sekolah di Malaysia. Peserta diberi 3 talian hayat untuk membantu mereka menang.

How to determine the winner?
Peserta yang mampu menjawab semua soalan dengan betul, dia yang akan memenangi hadiah.

Special feature?
Johan dan Zizan sebagai pengacara. Mampus peserta susah nak fokus sebab dengan Zizan dan Johan melawak.

What winner gets?
RM 1 juta kepada pelajar yang berjaya menjawab semua soalan dengan betul. Yang salah balik dengan tangan kosong dengan maruah yang tercalar kerana terpaksa kamu tidak sepintar budak darjah 6.

Good idea or Bad idea?
Tak banyak rancangan di Malaysia yang mampu menjana minda. Jadi, pasti dapat sambutan.

Penonton mempunyai peluang melihat peserta lulusan PHD pulang dengan tangan kosong apabila tersilap jawab soalan darjah 3. Ini akan membuatkan beliau malu dan tidak bongkak dengan ilmu yang mereka ada.

==========

Malaysian Most Top Gold Digger

What is this?
Rancangan mencari gold digger atau "pisau cukur" paling hebat di Malaysia.

Contestant?
Semua perempuan yang hot, sexy, foxy dan mempunyai kebolehan menggoda Dato', Tan Sri dan suami orang lain.

How it work?
12 peserta perempuan diberikan tugas untuk menggoda 12 orang kaya berpangkat Dato' dan Tan Sri yang  kesemuanya sudah berkahwin.

How to determine the winner?
Peserta yang berjaya mengikis harta pasangan mereka paling banyak bakal menjadi juara. Juga jika mereka berjaya membuatkan Dato' atau Tan Sri itu bercerai dengan isteri mereka, mereka akan mendapat markah bonus. Jika mereka terkantoi dengan para isteri dato', mereka akan tersingkir.

Special feature?
Fasha Sandha bakal menjadi mentor untuk setiap peserta.

What winner gets?
Semua harta yang berjaya dikikis oleh pemenang bakal menjadi milik mereka. Peserta yang kalah perlu memulangkan kembali semua harta yang dikikis.

Jika pemenang berjaya membuatkan dato' atau tan sri itu bercerai dengan isterinya, mereka mempunyai pilihan untuk berkahwin dengan dato' atau tan sri tersebut.

Good idea or Bad idea?
Sexy & Hot women + duit & pangkat + aksi ghairah ketika menggoda = good TV rating.

==========

Celebrity Fight

What is this?
Rancangan realiti yang menampilkan 2 selebriti Malaysia yang sering bertelagah dan bergaduh, bertarung di dalam gelanggang untuk menentukan kalah-menang secara muktamad.

Contestant?
Semua selebriti di Malaysia yang mempunyai pertelagahan dengan selebriti yang lain. Selebriti perempuan yang paling digalakkan bertanding.

How it work?
Dua selebriti yang bertelagah akan diletakkan di dalam gelanggang. Perlawanan dimulakan dengan 10 minit sessi perang mulut. Kemudian, baru perlawanan secara fizikal dimulakan. Selebriti boleh menggunakan apa sahaja teknik ilmu pertahankan diri dalam pergaduhan.

How to determine the winner?
Selebriti yang mampu menumbangkan lawannya sehingga lawannya tidak mampu bangun dalam kiraan 10, akan memenangi perlawanan.

Peserta yang mampu membuat hinaan yang paling menyakitkan hati lawan mereka dalam sessi perang mulut juga bakal mendapat anugerah khas.

Special feature?
Sapok Biki, pemenang pingat emas acara tinju di Sukan Komanwel 1998 bakal menjadi pengadil perlawanan.

Azwan Ali bakal menjadi juri dalam menentukan pemenang sessi perang mulut.

What winner gets?
Pemenang mendapat kebenaran untuk menghina pihak yang kalah selama sebulan di akhbar dan majalah hiburan. Yang kalah tidak boleh membalas kembali hinaan tersebut.

Good idea or Bad idea?
Inilah peluang untuk kita melihat Fasha Sandha dan Nora Danish melunaskan hutang dan dendam masing-masing. Tentulah satu idea yang baik. 

Dan yang paling terbaru, Zed Zaidi dan Aaron Aziz. Pertarungan yang bakal mempertaruhkan maruah negara masing-masing. Game on!

==========

Survivor: Mulut Murai

What is this?
Pertandingan untuk mencari peserta paling mulut laser di Malaysia. Merupakan spin-off dari rancangan realiti terkenal dari Amerika, Survivor.

Contestant?
Semua artis yang bermulut laser seperti Azwan Ali, Ogy Ahmad Daud, Shiela Rusly, Adlin Aman Ramlie dan juga semua wartawan hiburan di akhbar seperti Zubir, Mama Juwie, Siti Jarum dan juga wartawan-wartawan Melodi iaitu Nas Ahmad, Michelle, Kakak Rock dan lain-lain.

How it work?
Peserta akan diletakkan di sebuah pulau terpencil dan tidak berpenghuni dan tidak mempunyai sebarang kemudahan asas. Mereka perlu tinggal bersama di pulau tersebut.

How to determine the winner?
Peserta perlu membebel dan memaki hamun antara satu sama lain. Tujuan memaki hamun adalah untuk meruntuhkan emosi dan mengoyakkan minda para lawan.

Peserta yang sudah tidak ditahan boleh menyerah diri. Peserta terakhir yang paling bermulut laser dan beretelinga kuali menahan hinaan dari peserta lain, akan menjadi pemenang.

Special feature?
Ingatkah anda akan seorang yang bernama Mat Kepoh yang pernah muncul dalam rancangan Melodi sekitar tahun 90'an dulu? Ya, beliau bakal menjadi pengacara.

What winner gets?
Mendapat anugerah mulut kepoh dan menjadi ikon mulut laser di Malaysia. 

Good idea or Bad idea?
Bergantung kepada usaha peserta (terutamanya Azwan Ali) yang bakal menjadi tarikan penonton untuk menonton.

==========

Survivor: Malaysian Politician

What is this?
Pertandingan untuk mencari ahli politik yang mampu survive dalam dunia politik di Malaysia yang semakin hangat. Merupakan spin-off dari rancangan realiti terkenal dari Amerika, Survivor dan juga Survivor: Mulut Murai.

Contestant?
Ahli politik di Malaysia, BN ataupun PR. Ahli politik yang wajib masuk ialah Najib, Muhyiddin Yasin, Khairy Jamaluddin, Mukhriz Mahathir, Hishammuddin Hussein, Anwar Ibrahim, Nik Aziz, Lim Kit Siang, Azmin Ali, Lim Guan Eng dan Zaid Ibrahim. 

Rosmah Mansor dan Wan Azizah juga adalah peserta yang perlu masuk untuk menambahkan rencah pertandingan.

How it work?
Peserta akan diletakkan di sebuah pulau terpencil dan tidak berpenghuni dan tidak mempunyai sebarang kemudahan asas. Mereka perlu tinggal bersama di pulau tersebut.

How to determine the winner?
Mereka perlu keji mengeji, fitnah-memfitnah dan melakukan apa sahaja untuk menjatuhkan pihak lawan. Bantuan video seks adalah amat digalakkan. Jam Omega perlu disorokkan. Jika jam Omega dijumpai, maka bukti kukuh untuk pihak yang sebelah sana perlu mengaku kalah. 

Hukum Hudud juga bakal menjadi tajuk utama apabila 2 peserta dalam parti komponen yang sana akan bertelagah mengenai perlaksanaan Hudud apabila mereka berjaya memerintah Malaysia satu hari nanti. Kes pembelian lembu dan kondo juga pasti bakal menjadi topik hangat.

Special feature?
Tun Mahathir sebagai pengacara. Raja Petra Kamarudin akan membuat penampilan khas dalam rancangan ini. Lagu tema bagi rancangan ini bakal dinyanyikan oleh adik-adik yang menyertai PERMATA.

What winner gets?
Menjadi Perdana Menteri selama 1 penggal. 

Good idea or Bad idea?
Melihat ahli politik bertelagah adalah sesuatu yang diidamkan oleh rakyat. Lagipun, pertelagahan mereka memang sentiasa disiarkan di berita setiap pukul 8 malam sebelum ini.

Pertelagahan bukan setakat terjadi antara lawan, juga bakal terjadi sesama pihak sendiri. Cuma seorang pemenang dikira dan menjadi perdana menteri. Ini bukan macam pilihan raya di mana pemenang ditentukan secara berkumpulan.

Yang lebih menarik ialah berkemungkinan Rosmah Mansur dan Wan Azizah menang dan menjadi Perdana Menteri Malaysia. Wow!

==========

Akademi Fantasia Ultimatum

What is this?
Pertandingan realiti nyanyian. Kesinambungan kepada Akademi Fantasia. Kira macam Maharaja Lawak lah.

Contestant?
Semua pemenang, naib johan dan tempat ketiga dalam setiap musim Akademi Fantasia wajib menyertai pertandingan ini.


9 musim AF bersamaan 27 peserta. Maka, Astro boleh untung SMS secara besar-besaran.

How it work?
Sama seperti format Akademi Fantasia. Mereka akan dikurung disebuah banglo dan akan menyertai kelas vokal, tarian dan lain-lain lagi. 

How to determine the winner?
100% SMS dari peminat.

Special feature?
Juri tetap untuk pertandingan ini ialah Kudsia Kahar, Adlin Aman Ramlie, dan Ogy Ahmad Daud. Ambik kau. Semua mulut laser. 

What winner gets?
Mendapat gelaran "Raja SMS Ultimatum".

Good idea or Bad idea?
Sudah semestinya idea yang baik. Bayangkan berapa banyak keuntungan yang mampu dikaut oleh Astro melalui SMS. 

Paling menarik ialah jika Mawi tersingkir pada minggu pertama. Tapi jangan risau. Ada undian AFMASUK untuk menyelamatkan beliau. Malahan, undian AFMASUK kali ini akan dibuat sebanyak 3 kali sepanjang pertandingan ini.

==========

Kepada stesen TV yang berminat untuk membuat salah satu rancangan realiti di atas, sila hubungi aku. Aku mahu jadi penerbit eksklusif rancangan yang kamu ingin terbitkan.

Oh, ya. Aku mahu royalti juga jika bercadang membuat rancangan realiti seperti apa yang aku cadangkan.

Monday, April 16, 2012

Bukan Movie Marathon: Battleship

Akhirnya, salah satu filem yang aku tunggu-tunggu sejak tahun lepas selepas menonton tayangan trailer-nya, akhirnya menerjah skrin panggung wayang.

Battleship

Battleship merupakan sebuah filem yang diadaptasi dari sebuah board game terkenal, Battleship, keluaran Hasbro.



Selepas memegang watak utama dalam filem John Carter, Taylor Kitsch muncul lagi sebagai hero dalam filem ini. Filem ini sekali lagi telah menemukan Taylor Kitsch dengan Jesse Plemons, yang mana mereka berdua pernah berganding dalam TV series, Friday Night Lights.

Battleship mengisahkan peperangan antara manusia dan alien. Kedatangan alien tersebut kerana manusia sendiri yang menghubungi mereka. Mungkin benar kata Stephen Hawking yang pernah memberikan amaran supaya kita jangan sesekali menghubungi alien.

Alien tersebut telah datang mendarat di dalam laut berdekatan kepulauan Hawaii, semasa RIMPAC sedang diadakan. Alien tersebut mendarat semasa semua kapal perang sedang melakukan latihan. 3 dari kapal perang yang sedang menjalani latihan tersebut telah diarahkan untuk pergi menyiasat alien tersebut.

Maka, peperangan antara manusia dan alien pun bermula.

Pelakon:


Taylor Kitsch sebagai Lt. Alex Hopper, seorang US Navy Tactical Action Officer yang bertugas di kapal perang USS John Paul Jones

Alexander SkarsgÄrd sebagai Stone Hopper, abang kepada Alex Hopper, Commanding Officer di kapal perang USS Sampson.

Brooklyn Decker sebagai Samantha Shane, teman wanita Alex Hooper.

Rihanna sebagai Petty Officer Cora Raikes, bertugas di kapal perang USS John Paul Jones.

Liam Neeson sebagai Vice Admiral Shane, ayah kepada Samantha.

Tadanobu Asano sebagai Captain Nagata, JMSDF, Commanding Officer kapal perang JDS Myoko.

Gregory D. Gadson sebagai Lt. Colonel Mick Canales.

Jesse Plemons sebagai Ordy.

John Tui sebagai Beast.


Apa yang aku suka

1. Biasanya kalau bab berperang dengan alien, hero dalam filem tersebut mestilah dari kalangan tentera darat ataupun orang awam. Tapi kali ini, tentera laut diberikan penghargaan untuk menjadi hero dunia.

2. Biasanya kalau filem yang mengisahkan tentang alien, pasti alien tersebut mempunyai kekuatan senjata yang maha hebat dan sukar untuk dimusnahkan. Tetapi berbeza dengan filem ini, kapal yang dinaiki oleh alien tersebut sama kuat dengan kapal perang manusia. Senjata dari kapal perang manusia boleh memusnahkan kapal alien.

3. Action packed, dari awal sehinggalah ke akhir. Dengan diselangi dengan sedikit scene yang agak lucu.

4. Hero cerita ini, Alex Hooper, tidak menjadi hero yang klise. Biasanya hero akan menjadi watak paling pandai, serba boleh, paling kuat, paling pandai bergaduh dan boleh memenangi pertarungan tanpa bantuan orang lain.

Berbeza dengan cerita ini, Alex Hooper dengan rela hatinya memberikan laluan kepada Kapten Nagata yang lebih mahir dalam peperangan ketika ingin memusnahkan kapal perang alien.


Apa yang aku kurang suka

1. Lakonan Rihanna memang kaku habis. Rasa sedikit potong-stim melihat lakonan Rihanna. Rasanya watak Rihanna akan menjadi lebih baik jika ia dilakonkan oleh Michelle Rodriguez atau Eva Mendes. Lakonan Brooklyn Decker pula biasa-biasa sahaja.


Filem ini boleh dikategorikan sebagai berbaloi untuk ditonton. Filem ini jauh lebih baik dari Transformers 3.

Oh, ya. Jangan keluar awal sangat kerana ada post credit scene selepas semua credit habis ditayangkan. Ala, macam cerita Iron Man & Thor, selepas credit ada scene pendek. Mungkinkah ada sequel untuk Battleship?

Friday, April 13, 2012

Semasa Muda, Semasa Dewasa & Semasa Tua

Ini adalah entri yang ke-600


Semasa kita muda...

Kita dalam proses pembelajaran. Pembelajaran di sekolah dan juga pembelajaran tentang hidup. Kita hidup bebas. Hidup ceria. Tiada tanggungang yang perlu difikirkan. Kita hidup bebas untuk meneroka dunia.

Kehidupan dikelilingi kawan-kawan. Bangun pagi, pergi ke sekolah atau universiti. Bangun pagi, pergi belajar, balik rumah, tidur.

Kita punya banyak masa untuk melakukan semua benda. Kita punya banyak tenaga. Macam-macam perkara telah dirancang dalam kepala. Kalau boleh, kita mahu mengembara seluruh dunia. Melakukan semua benda. Membeli semua benda yang diidamkan.

Tetapi sayangnya, kita tidak mempunyai wang untuk melakukannya. Kita masih dibawah tanggungan ibubapa kita. Tidak baik kalau kita meminta wang untuk berbelanja sesuka hati.

Maka kita menyimpan hajat. Apabila kita sudah bekerja dan sudah mempunyai wang yang cukup, pasti kita buat apa yang kita hajati nanti.


Semasa kita dewasa...

Kita sudah mula bekerja. Mula mengenal erti kehidupan sebenar. Mula mengenal dunia dengan lebih baik. Mula mengenal jenis-jenis manusia di dunia. Proses pembelajaran di waktu remaja banyak membantu.

Kehidupan sudah mula berubah. Kita sudah punya banyak tanggungan. Kita lebih sudah mula berfikir tentang wang. Tanpa wang, apa pun tak jadi. Kepala semakin ligat mencari sumber pendapatan. 

Selain dari hutang kereta dan hutang rumah, tanggungjawab kepada isteri dan anak perlu dipenuhi.

Pada masa ini, kita sudah punya wang. Kita mempunyai tenaga untuk menunaikan hasrat sewaktu remaja. Tapi sayangnya, kita sudah tidak punyai masa. Masa sudah banyak dihabiskan untuk bekerja dan menghabiskan waktu kualiti bersama isteri dan anak.


Semasa kita tua...

Kita sudah berhenti bekerja. Anak-anak sudah pun dewasa dan memulakan hidup mereka sendiri. Kita sudah tiada lagi tanggungan. Anak-anak sudah berdikari.

Tidak perlu lagi bangun pagi dan merempuh kesesakan jalan raya untuk ke tempat kerja. Kita sudah boleh duduk di rumah. Mungkin sudah boleh pergi ke masjid untuk berjemaah solat subuh. Sudah boleh bersarapan dengan isteri/suami. Sudah boleh pergi berjogging bersama-sama sambil menghirup udara yang segar.

Pada masa ini, kita mempunyai wang dan kita mempunyai masa. Tapi sayangnya, kita tidak semuda dulu. Tidak segagah dulu. Kita sudah tidak punya tenaga untuk menunaikan hajat sewaktu kita muda. Kita hanya mampu duduk dan menikmati dunia bergerak begitu sahaja.


Adakah hidup kita semua selamanya begini?

Wednesday, April 11, 2012

Kerja dan Period

Sewaktu aku dan rakan sekerja aku melepak sambil menikmati sessi minum petang (mengeteh session), Shazwan (bukan nama sebenar) memulakan perbualan.

"Semenjak dah ganti boss baru ni, aku rasa dah tak bersemangat je nak pergi kerja. Tiap kali bangun pagi, mesti rasa malas nak pergi kerja. Kadang-kadang lepas bangun pagi tu, kepala dok ligat pikir alasan nak ambik MC pagi tu."

Osman (juga bukan nama sebenar) pun menjawab persoalan Sahzwan, "Kalau sampai tahap nak pergi kerja pun malas, aku rasa kau dah wajib cari kerja lain tu."

"Kalau lepas bangun pagi, kita rasa tak sabar-sabar nak pergi tempat kerja, itu nak kira macam mana pulak tu?" Tanya Jep pula. Ya, Jep itu bukan nama betulnya.

"Itu tandanya, kau kena gulingkan boss dengan segera. Kerja dan tempat kerja dah bersebati dalam diri kau." Jawab Osman.

"Kalau aku pulak, ada time lepas aku bangun tidur, aku rasa semangat betul aku nak pergi kerja. Tapi ada time pulak, aku rasa malas betul nak pergi kerja. Kalau macam tu, nak kira macam mana pulak?" Tanya Azza, bukan nama dalam kad pengenalan.

Dan aku pun mengambil peluang untuk menjawab, "Kalau masa kau bangun pagi dan kau rasa semangat nak pergi kerja meluap-luap, itu tandanya kau tengah normal. Kalau time kau bangun pagi tapi rasa malas nak pergi kerja, itu tandanya kau tengah datang bulan."

Logik bukan jawapan aku itu?

Monday, April 9, 2012

Mereka Yang Tidak Ada Idea Atau Kita Yang Mahukannya?

Kalau kita tengok pada industri filem Malaysia semenjak kebelakangan ini, kebanyakan genre filem yang diterbitkan ialah komedi seram, iaitu cerita hantu tetapi dibuat dalam versi komedi (tapi kebanyakannya tak lah kelakar mana dan hancur apabila ditonton).

Kebanyakan filem yang diterbitkan bagaikan filem yang cincai. Dihasilkan dengan idea ala-kadar. Bagaikan filem yang diterbitkan dengan idea yang mereka dapat sambil minum petang.

"Eh, aku dapat idea la. Apa kata kita buat filem pasal 2 perompak yang beli toyol. Tapi sebab diorang tak de duit, diorang beli toyol yang tak power." Sambil menghirup teh.

"Ok. Kita namakan Alamak Toyol!"

Dan segala idea hanya diperah dalam masa 2 jam mereka melepak minum teh itu.

Okay, aku taklah katakan yang cerita yang aku sebut di atas dihasilkan sebegitu. Itu hanya perumpamaan.

Ramai yang mengkritik filem sekarang dibuat bagaikan ala-kadar. Janji ada filem. Kadangkala ada drama yang ditayangkan di TV mempunyai jalan cerita yang lebih menarik dari filem.

Aku rasa, sepanjang kebelakangan ini, Songlap dan Bunohan adalah filem Malaysia yang aku rasa seronok ditonton. Yang lain, setakat bolehlah ataupun tahap hancur lebur.

Pernah tonton filem Apa Pandang-Pandang? Aku dah tonton di Astro minggu lepas, bersama abang aku. Aku dan abang aku lebih banyak menggelakkan kebodohan filem tersebut sepanjang menonton filem tersebut. Bak kata abang aku, "Bukan senang nak menyeksa minda. Tengok filem ni, baru rasa terseksa"

Ramai menyalahkan pengarah dan penulis skrip apabila filem yang teruk dihasilkan. Tentulah, takkan nak salahkan pelakon pulak kan? Mereka hanya berlakon dan berlakon adalah periuk nasi mereka.

Aku lihat ada sebuah syarikat perfileman (tak perlu aku tulis nama syarikat tersebut, kamu patut boleh menekanya) obsess untuk menghasilkan filem dalam kuantiti yang banyak setiap tahun, tanpa menghiraukan kualitinya.

Dalam setahun, aku rasa lebih dari 10 filem dihasilkan oleh syarikat perfileman ini. Adalah 1-2 filem dari syarikat ini yang boleh dikategorikan dalam filem yang baik atau filem yang 'boleh tahanlah'. Yang lain semua masuk dalam kategori 'Filem hancur. Aku tunggu keluar dekat Astro, baru aku tengok. Itupun belum tentu aku tengok sampai habis.'

Nak salahkan pengarah dan penulis skrip 100%, nampak seperti kejam. Mungkin ini permintaan penerbit yang mahukan pengarah memerah idea dan menghasilkan 4-5 filem dalam setahun. Itu sebabnya pengarah sudah kekeringan idea dan terhasillah filem merapu.

Bagi aku, pengarah sepatutnya hanya menghasilkan 1 atau 2 filem dalam setahun. Itu mungkin lebih dan mampu memberikan pengarah tersebut waktu brain storm yang lebih cukup untuk memikirkan idea filem yang lebih menarik.


Melihat trailer filem ini, aku dapat rasakan kelainan Bukan lagi filem seram-kelakar (atau seram-tak kelakar), tetapi sesuatu yang berlainan. Aku harap filem ini sehebat trailernya, dan mampu menjadi antara filem Malaysia terbaik tahun ini.

Ramai yang kata pengarah tak menghasilkan filem yang baik. Pengarah selalu memomokan minda penonton dengan filem yang bodoh. Tapi, benarkah orang Malaysia tidak sukakan filem tersebut? Kalau betul tidak suka, kenapa kutipan filem tersebut mencecah jutaan? Kenapa ramai yang melanggan di Astro First?

Jadi, adakah orang Malaysia betul-betul tidak sukakan filem sebegini? Ataupun hanya berpura-pura tak suka, tetapi dia jugalah yang pergi menonton filem tersebut di wayang?

Jadi, adakah pengarah yang tiada idea? Ataupun pemintaan penonton terhadap filem ini yang menyebabkan filem jenis ini terus dihasilkan saban tahun?

Friday, April 6, 2012

Ombak Rindu dan Twilight

Seperti biasa, selepas habis waktu bekerja, aku dan rakan-rakan kerja aku akan duduk lepak-lepak mengeteh (minum petang) atau kadang-kadang terus makan malam (kalau kerja banyak dan selesai menyiapkan kerja sampai pukul 7 malam atau lebih).

Setiap kali duduk melepak sambil makan dan minum, pasti banyak benda yang dijadikan tajuk perbualan. Dari isu semasa, berita global, jenaka Politik Malaysia, sukan, muzik dan filem adalah topik tetap setiap petang. Sessi mengutuk boss juga menjadi antara topik bualan.

"Semalam aku tengok jugak cerita Ombak Rindu," Kata Osman (bukan nama sebenar) membuka topik perbualan.

"Tengok jugak kau cerita tu, ya?" Jep (bukan nama sebenar) bercakap dengan nada separuh tergelak. Nak menganjing orang lah tu.

"Orang rumah aku ajak. Dia dah banyak kali tengok cerita tu. Aku layan aje la..." Osman membuat kenyataan untuk membela diri.

"So, bagi kau cerita tu okay tak?" Tanya Azza (juga bukan nama sebenar), seorang peminat hardcore Ombak Rindu, baik versi novel mahupun versi layar perak.

"Boleh tahan la. Dapat buat aku tengok sampai ending. Aku puji jalan cerita filem tu. Adalah kelainan sikit dari cerita seram kelakar cliche yang ada kat wayang sekarang ni," Ulas Osman bagaikan pengkritik filem bertauliah. Biasalah, everybody's a critic.

"Kalau kau baca novel dia, lagi best. Lagi feeling...." Azza menambah.

"Orang pompuan tengok cerita tu, sampai menangis-nangis. Best ke cerita tu sampai menangis diorang semua tu?" Jep menyampuk selepas mendengar komen positif dari Osman.

"Aku rasa, perempuan menangis sebab Ombak Rindu ni watak utama dia perempuan. So orang pompuan yang tengok cerita ni membayangkan diri diorang di tempat Maya Karin. Kira macam diorang bayangkan diorang dalam situasi Maya Karin. Bila-bila masa je diorang boleh dimadukan sebab memang realiti pun yang lelaki memang boleh berpoligami. Tu yang diorang menangis tu. Sambil tengok, dalam hati diorang mungkin terdetik, 'Kalaulah benda macam ni jadi kat aku'. Kira lebih kurang macam tu lah." 

Aku beri penerangan secara terperinci kepada persoalan Jep. Konon macam pakar percintaan kalau dibaca penerangan aku itu.

"Betul kata kau tu, Mirul. Kau ni memahami hati wanita la. Tu yang kitoang menangis bila tengok filem-filem atau drama yang bertemakan poligami. Kitorang selalu bayangkan apa jadi kat kitorang kalau kitorang menanggung nasib yang sama macam heroin cerita tu," Terang Azza bersungguh.

Tiba-tiba, Ina (Masih bukan nama sebenar) yang sibuk mengunyah nasi ayam tiba-tiba bersuara, "Samalah macam cerita Twilight. Terseksa tau perempuan kalau tiba-tiba ada 2 lelaki datang mengurat kita..."

Belum sempat Ina menghabiskan ayat, Azza menyampuk, "Kau jangan sesekali nak samakan cerita Ombak Rindu dengan cerita Twilight yang mengarut barut tu. Apa yang sama? Apa kau ingat boleh ke ada vampire dengan werewolf datang mengurat kita? Mengarut."

"Bukan macam tu. Kiranya kalau ada 2 lelaki datang serentak, kan susah nak buat pilihan. Macam tu la motif cerita tu," Terang Ina mempertahankan Twilight.

"Itu cerita tipu. Mengarut. Cerita Ombak Rindu ni boleh terjadi dalam hidup kita," Azza melawan kembali.

"Ala.... Tipu je tu. Dah la membohong mbak Rindu tu Ada ke cikgu mengaji cukur kening? Logik apa tu?" Ina tak mahu mengalah.

"Itu tak kira. Kita kira dari jalan cerita. Mana ada manusia bercinta dengan vampire?" Azza kembali dihadapan.

"Aleh! Ombak Rindu tu pun..."

Maka bergaduhlah peminat Ombak Rindu dan Twilight. Kami kaum lelaki meneruskan perbualan kami dengan tajuk yang baru, iaitu "Kau perasan tak tadi ada satu amoi seksi datang belanja kat sini?"

Sekian.

Monday, April 2, 2012

That Awkward Moment.... Reunion

Bila kita sudah menamatkan pengajian di sekolah dan universiti, kita akan membawa hala tuju kehidupan kita masing-masing. Kita akan mula bekerja (dan bertukar-tukar kerja untuk mendapatkan gaji yang terbaik), berkahwin, mendapat anak dan membina keluarga.

Dan pada masa itu, kamu mendapat undangan untuk menghadiri majlis reunion bersama rakan sekolah ataupun rakan universiti.

Dan selepas bertemu kembali dengan kawan-kawan kamu yang kamu tinggalakn selama belasan tahun, pasti ada beberapa perkara yang akan membuatkan kamu rasa kekok, janggal dan pelik ketika majlis tersebut.

Berikut adalah beberapa perkara awkward yang terjadi semasa majlis reunion.

==========

That awkward moment...
Bila rakan kamu yang mendapat keputusan SPM yang teruk hadir ke majlis reunion dengan kereta import berharga 6 angka dan kamu yang menjadi pelajar cemerlang SPM hanya memandu kereta buatan nasional sahaja.


That awkward moment...
Bila semua kawan kamu menegur kamu dengan soalan "Kau tak berubah lansung. Sama je dari zaman sekolah dulu", walaupun kamu kurus masa waktu persekolahan dan sekarang saiz badan kamu sudah hampir sama dengan seekor badak  air.


That awkward moment...
Kawan kamu yang satu masa dahulu terkenal sebagai playboy mengahwini perempuan yang memang tak kena dengan taste dia dan lelaki paling buruk dalam kelas berjaya mengahwini perempuan cantik ala-ala model.


That awkward moment...
Bila samseng sekolah hadir dengan jubah dan songkok, ayat Al-Quran tak lekang dari mulut. Manakala pelajar yang baik umpama ustaz semasa zaman persekolahan pula tidak menghadiri reunion kerana sudah meninggal 3 tahun lepas akibat ketagihan dadah.


That awkward moment...
Bila bekas kekasih kamu hadir bersama pasangan dan kamu datang keseorangan.


That awkward moment...
Bila kawan kamu yang baru keluar muka depan surat khabar kerana menjadi penjenayah yang disyaki, hadir ke majlis reunion dengan muka selamba.


That awkward moment...
Bila kawan kamu yang bernama Rahim kini sudah berubah menjadi Rahimah.


That awkward moment...
Semua orang yang menghadiri majlis reunion tidak mengenali kamu, termasuk bekas kekasih kamu walaupun kamu bercinta dengan dia selama 3 tahun.

==========

Itulah serba sedikit awkward moment yang mungkin terjadi di majlis reunion. Semoga sesiapa yang menghadiri majlis reunion tidak rasa canggung bila bertemu dengan kawan-kawan lama kamu. Enjoy!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...